PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Watchtower
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • es26 ms. 57-67
  • Jun

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Jun
  • Mengkaji Ayat-Ayat Suci Setiap Hari—2026
  • Tajuk Kecil
  • Isnin, 1 Jun
  • Selasa, 2 Jun
  • Rabu, 3 Jun
  • Khamis, 4 Jun
  • Jumaat, 5 Jun
  • Sabtu, 6 Jun
  • Ahad, 7 Jun
  • Isnin, 8 Jun
  • Selasa, 9 Jun
  • Rabu, 10 Jun
  • Khamis, 11 Jun
  • Jumaat, 12 Jun
  • Sabtu, 13 Jun
  • Ahad, 14 Jun
  • Isnin, 15 Jun
  • Selasa, 16 Jun
  • Rabu, 17 Jun
  • Khamis, 18 Jun
  • Jumaat, 19 Jun
  • Sabtu, 20 Jun
  • Ahad, 21 Jun
  • Isnin, 22 Jun
  • Selasa, 23 Jun
  • Rabu, 24 Jun
  • Khamis, 25 Jun
  • Jumaat, 26 Jun
  • Sabtu, 27 Jun
  • Ahad, 28 Jun
  • Isnin, 29 Jun
  • Selasa, 30 Jun
Mengkaji Ayat-Ayat Suci Setiap Hari—2026
es26 ms. 57-67

Jun

Isnin, 1 Jun

Ya Yehuwa, Engkau baik dan suka mengampuni.​—Mzm. 86:5.

Kita sudah meraih manfaat daripada korban tebusan Kristus. Contohnya, atas dasar korban tebusan, Yehuwa dapat ampunkan dosa kita. Itu bukan kewajipan-Nya, tetapi Dia ingin melakukannya. (Mzm. 103:​3, 10-13) Ada orang rasa tidak layak diampuni oleh Yehuwa. Sebenarnya, kita semua tidak berhak dapat pengampunan Yehuwa. Paulus kata bahawa dia “tidak layak dipanggil rasul.” Namun dia menambah, “Tetapi aku dapat melakukan tugas yang diberikan kepadaku kerana kebaikan hati Tuhan yang unggul.” (1 Kor. 15:​9, 10) Semasa kita bertaubat, Yehuwa mengampuni kita, bukan kerana Dia patut melakukannya, tetapi kerana Dia mengasihi kita. Jadi jika anda rasa tidak layak diampuni, ingatlah bahawa Yehuwa sediakan tebusan untuk pendosa yang bertaubat, bukan untuk orang yang sempurna.​—Luk. 5:32; 1 Tim. 1:15. w25.01 26-27 ¶3-4

Selasa, 2 Jun

Orang yang baik hati menguntungkan diri sendiri, tetapi orang yang zalim merugikan diri sendiri.​—Ams. 11:17.

Kita tidak dapat kawal kata-kata atau perbuatan orang, tetapi kita dapat kawal reaksi kita. Biasanya, reaksi terbaik ialah mengampuni orang yang menyakiti kita. Mengapa? Kerana kita mengasihi Yehuwa dan Dia mahu kita saling mengampuni. Jika kita terus marah dan enggan mengampuni, kita mungkin bertindak bodoh dan menjejaskan kesihatan sendiri. (Ams. 14:​17, 29, 30) Dengan membuang rasa dendam, hati kita tidak lagi dibebani perasaan marah dan kecewa. Kita juga dapat mulakan lembaran hidup baharu dan bersukacita semula. Bagaimanakah anda dapat atasi perasaan sakit hati? Satu cara adalah dengan beri diri masa untuk sembuh secara emosi. Selepas dirawat, seseorang yang cedera parah perlu masa untuk sembuh. Begitu juga, hati kita yang terluka mungkin perlu masa untuk sembuh sebelum kita dapat benar-benar memaafkan orang. (Pkh. 3:3; 1 Ptr. 1:22) Berdoalah dan mintalah Yehuwa untuk bantu anda sudi mengampuni. w25.02 16-17 ¶8-11

Rabu, 3 Jun

Orang matang memakan makanan yang keras.​—Ibr. 5:14.

Contoh-contoh ajaran asas merangkumi hal seperti pertaubatan, iman, pembaptisan, dan pembangkitan. (Ibr. 6:​1, 2) Petrus telah menyebut ajaran-ajaran ini semasa memberikan kesaksian kepada orang ramai pada Pentakosta 33 M. (Kis. 2:​32-35, 38) Untuk menjadi pengikut Kristus, kita harus menerima ajaran-ajaran asas ini. Paulus berkata bahawa sesiapa yang tidak menerima ajaran pembangkitan bukanlah orang Kristian sejati. (1 Kor. 15:​12-14) Tetapi jika kita hanya tahu ajaran asas sebegini, kita tidak dapat menjadi matang. Tidak seperti ajaran asas Bible, makanan rohani yang keras bukan hanya merangkumi hukum Tuhan, tetapi juga prinsip-Nya yang bantu kita memahami fikiran-Nya. Untuk meraih manfaat daripada makanan sebegini, kita harus mengkaji dan merenungkan Bible, serta menerapkannya dengan teliti. Dengan itu, kita dapat melatih diri untuk buat keputusan yang menyenangkan hati Yehuwa. w24.04 5 ¶12-13

Khamis, 4 Jun

Pada masa penghakiman, penduduk Niniwe akan dibangkitkan bersama generasi ini.​—Mat. 12:41.

Tuhan mengingatkan Yunus bahawa orang Niniwe “tidak tahu membezakan apa yang benar daripada apa yang salah.” (Yun. 1:​1, 2; 3:10; 4:​9-11) Ratusan tahun kemudian, Yesus menggunakan contoh orang Niniwe untuk menonjolkan keadilan dan belas kasihan Yehuwa. Orang Niniwe akan dibangkitkan “pada masa penghakiman,” iaitu semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus. Ketika itu, “orang yang baik dan orang yang tidak baik” akan dibangkitkan. (Kis. 24:15) Orang yang tidak baik akan “bangkit dan dihakimi.” (Yoh. 5:29) Maksudnya, selepas dibangkitkan, Yehuwa dan Yesus akan melihat jika mereka sudi mengubah kelakuan mereka menurut standard Yehuwa. Jika seorang penduduk Niniwe yang dibangkitkan enggan menyertai ibadat sejati, dia tidak akan diberi kehidupan kekal. (Yes. 65:20) Tetapi orang yang memilih untuk menyembah Yehuwa dengan setia akan diberi peluang untuk hidup selamanya!​—Dan. 12:2. w24.05 5 ¶13-14

Jumaat, 5 Jun

Anak Manusia datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang sesat.​—Luk. 19:10.

Yesus mencerminkan belas kasihan Bapanya dengan sempurna. (Yoh. 14:9) Melalui kata-kata dan perbuatan, Yesus menunjukkan bahawa Bapanya mengasihi manusia dan ingin bantu mereka mengalahkan dosa. Yesus bantu pendosa agar ada keinginan untuk mengubah hidup mereka dan mengikutnya. (Luk. 5:​27, 28) Yesus tahu dia akan menderita lalu dibunuh. Lebih daripada sekali, dia memberitahu pengikutnya bahawa dia akan dikhianati lalu dihukum bunuh pada tiang. (Mat. 17:22; 20:​18, 19) Dia tahu kematiannya akan menghapuskan dosa dunia. Yesus juga mengajar murid-muridnya bahawa selepas dia mengorbankan nyawanya, dia dapat “memimpin segala macam orang” kepada dirinya. (Yoh. 12:32) Jika manusia yang berdosa menerima Yesus sebagai Tuan dan mengikut jejaknya, mereka dapat menyenangkan hati Yehuwa dan akhirnya “dibebaskan daripada dosa.” (Rm. 6:​14, 18, 22; Yoh. 8:32) Maka dengan berani, Yesus rela diseksa dan dibunuh.​—Yoh. 10:​17, 18. w24.08 5 ¶11-12

Sabtu, 6 Jun

Berita baik harus disebarkan kepada semua bangsa terlebih dahulu.​—Mrk. 13:10.

Fikirkan perasaan anda semasa mula belajar kebenaran Bible. Anda belajar bahawa Tuhan mengasihi anda, ingin anda menjadi penyembah-Nya, berjanji untuk mengakhiri kesakitan dan penderitaan, memberi anda peluang berjumpa semula dengan orang kesayangan yang telah meninggal, dan banyak lagi. (Mrk. 10:​29, 30; Yoh. 5:​28, 29; Rm. 8:​38, 39; Why. 21:​3, 4) Kebenaran sebegini telah menyentuh hati anda. (Luk. 24:32) Oleh sebab anda mengasihi kebenaran Bible, anda tidak sabar untuk memberitahu semua orang tentangnya! (Bandingkan Yeremia 20:9.) Apabila kasih terhadap kebenaran Bible berakar dalam hati kita, kita terdorong untuk mengongsinya. (Luk. 6:45) Kita berasa seperti para rasul abad pertama yang kata, “Kami tidak dapat berhenti bercakap tentang apa yang sudah kami lihat dan dengar.” (Kis. 4:20) Kita begitu mengasihi kebenaran sehingga ingin mengongsikannya kepada seramai yang mungkin. w24.05 15 ¶5; 16 ¶7

Ahad, 7 Jun

Berkhidmatlah kepada Yehuwa dengan gembira.​—Mzm. 100:2.

Sebagai umat Yehuwa, kita melakukan kerja penyebaran kerana kita mengasihi Yehuwa dan ingin membantu orang mengenali-Nya. Tetapi ada juga yang berasa kerja menginjil mencabar. Mengapa? Mereka mungkin pemalu dan kurang keyakinan diri. Ada yang tidak suka pergi ke rumah orang tanpa diundang. Yang lain mungkin takut orang menolak mesej mereka atau berdebat dengan mereka. Para penyiar ini berasa susah untuk menginjil kepada orang yang tidak dikenali. Adakah anda ada kalanya berasa susah untuk menikmati kerja penyebaran kerana sebab-sebab seperti itu? Jika ya, janganlah tawar hati. Barangkali, anda berasa kurang yakin kerana anda rendah hati dan tidak mahu menarik perhatian kepada diri sendiri, dan tidak suka berdebat dengan orang. Sudah tentu, kita tidak mahu orang menolak mesej kita, terutamanya jika mesej kita dapat membantu mereka. Bapa anda yang di syurga tahu benar cabaran yang anda hadapi dan ingin membantu anda.​—Yes. 41:13. w24.04 14 ¶1-2

Isnin, 8 Jun

Kebijaksanaan ada pada orang yang rendah hati.​—Ams. 11:2.

Setelah membaca Bible, daripada cuba membuat semua perubahan sekali gus, pilihlah beberapa matlamat yang mampu anda capai. Cubalah cadangan ini: Senaraikan semua hal yang perlu anda perbaiki, dan pilihlah satu atau dua hal itu untuk diusahakan dahulu. Apakah matlamat yang dapat anda pilih? Anda mungkin membuat keputusan untuk bermula dengan matlamat yang paling senang dicapai atau matlamat di mana anda perlu membuat paling banyak perubahan. Selepas menentukan matlamat yang ingin anda capai, buatlah penyelidikan dengan menggunakan bahan bacaan kita. Berdoalah agar Yehuwa memberi anda “keinginan dan kekuatan untuk bertindak.” (Flp. 2:13) Kemudian cuba terapkan apa yang anda belajar. Apabila anda berjaya membuat perubahan tertentu ataupun memperbaiki salah satu sifat Kristian anda, anda mungkin lebih terdorong untuk mencuba matlamat yang lain dan mendapati bahawa perubahan lain pun lebih mudah dicapai. w24.09 6 ¶13-14

Selasa, 9 Jun

Dalam hal ini, kamu sentiasa menunjukkan bahawa kamu murni.​—2 Kor. 7:11.

Jika dosa lampau anda telah menyakiti orang lain, apakah yang dapat anda buat? Lakukanlah apa yang terdaya untuk membaiki kesilapan anda, contohnya dengan meminta maaf. Berdoalah kepada Yehuwa supaya membantu orang yang anda lukai. Dia dapat membantu anda dan orang itu untuk bertabah dan terus menyembah-Nya dengan hati yang tenang. Belajarlah daripada kesilapan anda dan teruslah terima apa sahaja tugasan daripada Yehuwa. Perhatikan contoh Nabi Yunus. Tuhan mengutusnya ke Niniwe, tetapi dia melarikan diri ke arah bertentangan. Yunus telah diberi disiplin, dan dia belajar daripada kesilapannya. (Yun. 1:​1-4, 15-17; 2:​7-10) Selepas itu, Yehuwa terus guna Yunus sebagai nabi-Nya. Semasa Dia memberi Yunus peluang lagi untuk pergi ke Niniwe, Yunus segera mentaati-Nya. Biarpun Yunus menyesali kesilapannya, dia tidak membiarkan hal itu menghalangnya daripada terus berkhidmat kepada Yehuwa.​—Yun. 3:​1-3. w24.10 8-9 ¶10-11

Rabu, 10 Jun

Maka, bertaubatlah, dan berpalinglah kepada Tuhan supaya dosa kamu dihapuskan. Dengan itu, Yehuwa sendiri akan menyegarkan kamu.​—Kis. 3:19.

Dalam bahasa Yunani asal, perkataan “menghapuskan” boleh diterjemahkan sebagai “memadamkan.” Jadi, Yehuwa bukan sekadar batal hutang dosa kita, tetapi juga memadamkannya. Apakah perbezaan antara “membatalkan” dengan “memadamkan”? Semasa seseorang batalkan hutang, dia mungkin lukis tanda pangkah yang besar pada rekod hutang. Namun, apa yang ditulis pada rekod itu masih dapat dilihat. Ungkapan “memadamkan” pula beri gambaran berbeza. Dakwat zaman kuno mengandungi bahan seperti karbon, damar, dan air. Dengan guna span yang basah, tulisan dapat dipadamkan. Jadi apabila hutang seseorang “dipadamkan,” rekod hutangnya tidak dapat dilihat lagi. Begitu juga, semasa Yehuwa padam dosa kita, rekod dosa kita tidak wujud lagi. Tidakkah hati kita tersentuh semasa merenungkan pengampunan Yehuwa?​—Mzm. 51:9. w25.02 10 ¶11

Khamis, 11 Jun

Janganlah menjadi panas hati dan janganlah berbuat jahat.​—Mzm. 37:8.

Jika orang menindas kita atau berprasangka terhadap kita, kita percaya bahawa Yehuwa tahu keadaan sebenar dan pasti akan menegakkan keadilan. Keyakinan ini bantu kita menantikan Yehuwa dengan sabar dan tidak dikuasai perasaan marah atau benci. Hal ini penting kerana perasaan sebegini dapat buat kita hilang kawalan, meragut sukacita kita, dan merosakkan hubungan kita dengan Yehuwa. Sudah tentu, kita tidak dapat ikut jejak Yesus dengan sempurna. Ada kalanya, kita mungkin melakukan atau mengatakan sesuatu yang buat kita menyesal. (Yak. 3:2) Sesetengah ketidakadilan yang kita hadapi mungkin tinggalkan kesan berpanjangan secara emosi dan fizikal. Jika itu berlaku, yakinlah bahawa Yehuwa tahu apa yang anda lalui. Yesus juga faham perasaan anda kerana dia pernah jadi mangsa ketidakadilan. (Ibr. 4:​15, 16) Betapa bersyukurnya kita kerana terdapat nasihat Bible yang bantu kita hadapi ketidakadilan. w24.11 6 ¶12-13

Jumaat, 12 Jun

Kamu harus beriman kepada dia yang diutus oleh Tuhan. Demikianlah caranya kamu melakukan kerja yang diperkenankan Tuhan.​—Yoh. 6:29.

Untuk “mendapat kehidupan kekal,” seseorang mesti beriman kepada Yesus. (Yoh. 3:​16-18, 36; 17:3) Banyak orang Yahudi tidak percaya bahawa mereka perlu beriman kepada Yesus. Mereka bahkan bertanya kepadanya, “Apakah mukjizat yang akan Guru lakukan di depan mata kami supaya kami percaya kepada Guru?” (Yoh. 6:30) Mereka beritahu Yesus bahawa pada zaman Musa, nenek moyang mereka terima roti dari syurga, iaitu manna. (Neh. 9:15; Mzm. 78:​24, 25) Jelaslah, mereka masih fikir tentang makanan. Biarpun Yesus kemudiannya berkata bahawa dia ialah “roti sebenar dari syurga” yang dapat memberikan kehidupan kekal, mereka langsung tidak minat untuk tahu maksudnya. (Yoh. 6:32) Mereka hanya bertumpu kepada keperluan fizikal dan tidak menghiraukan kebenaran yang ingin Yesus kongsikan. w24.12 5-6 ¶10-11

Sabtu, 13 Jun

Tuhanlah yang membina segala sesuatu.​—Ibr. 3:4.

Semasa di sekolah, anak anda mungkin belajar tentang corak atau bentuk yang dilihat dalam alam semula jadi. Misalnya, setiap keping salji dibentuk mengikut corak yang berulang-ulang, yang dikenali sebagai corak fraktal. Corak fraktal juga didapati dalam benda lain dalam alam semula jadi. Siapakah yang menciptakan hukum alam yang membolehkan corak sebegini wujud? Apabila anak anda fikir soalan tentang ciptaan, dia akan semakin yakin bahawa Tuhan telah menciptakan segala sesuatu. Apabila dia lebih besar, anda boleh guna soalan lain untuk bantu dia faham mengapa penting untuk mematuhi hukum Yehuwa. Contohnya, anda boleh kata, “Memandangkan Tuhan telah menciptakan kita, adakah kamu rasa Dia akan beri kita bimbingan supaya kita hidup bahagia?” Kemudian, anda boleh jelaskan kepadanya bahawa bimbingan Tuhan ada dalam Bible. w24.12 16 ¶8

Ahad, 14 Jun

Aku menerima laporan bahawa ada orang dalam kalangan kamu yang melakukan perbuatan seks tidak bermoral. Perbuatan itu bahkan lebih teruk daripada apa yang berlaku dalam kalangan bangsa lain. Aku diberitahu bahawa seorang lelaki berbuat cabul dengan isteri bapanya.​—1 Kor. 5:1.

Yehuwa ilhami Paulus untuk tulis sepucuk surat dan menjelaskan bahawa pendosa yang tidak bertaubat mesti dikeluarkan daripada sidang. (1 Kor. 5:13) Bagaimanakah orang Kristian yang setia harus melayan pendosa itu? Paulus menjelaskan bahawa mereka ‘tidak patut bergaul lagi’ dengannya dan bahkan tidak ‘makan bersama dengannya.’ (1 Kor. 5:11) Semasa makan bersama seseorang, kita pasti berbual dengannya. Jelaslah Paulus mahu saudara saudari tidak lagi luangkan masa bersama lelaki itu. Dengan itu, mereka dilindungi daripada pengaruh buruknya. (1 Kor. 5:​5-7) Hal itu juga mungkin bantu lelaki itu sedar dia telah berdosa terhadap Yehuwa dan mendorongnya untuk menyesali perbuatannya lalu bertaubat. w24.08 15 ¶4-5

Isnin, 15 Jun

Tuhan begitu mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak tunggal-Nya.​—Yoh. 3:16.

Orang Israel perlu menyambut Hari Pengampunan Dosa setiap tahun. Pada hari itu, imam agung akan mempersembahkan korban binatang bagi pihak mereka. Sudah tentu, kedudukan binatang lebih rendah daripada manusia. Jadi, korban binatang tidak dapat menutupi dosa manusia dengan sepenuhnya. Namun, selagi orang Israel bertaubat dan mempersembahkan korban yang dikehendaki Yehuwa, Dia sudi mengampunkan dosa mereka. (Ibr. 10:​1-4) Korban itu mengingatkan orang Israel bahawa mereka berdosa. Namun, Yehuwa juga menyediakan aturan yang kekal agar dosa manusia diampunkan dengan sepenuhnya. Dia mengaturkan supaya Anak-Nya “dipersembahkan sekali sahaja untuk selama-lamanya bagi menanggung dosa banyak orang.” (Ibr. 9:28) Yesus telah mengorbankan “nyawanya sebagai tebusan bagi banyak orang.”​—Mat. 20:28. w25.02 4 ¶9-10

Selasa, 16 Jun

Teruslah berjaga-jaga dan berdoa supaya kamu semua tidak terjerat oleh godaan.​—Mat. 26:41.

“Hati ingin membuat apa yang benar tetapi tubuh lemah.” (Mat. 26:41b) Kata-kata Yesus menunjukkan bahawa dia memahami kelemahan manusia yang tidak sempurna. Namun, kata-katanya juga mengingatkan kita agar tidak terlalu yakin pada diri. Beberapa jam sebelum Yesus mengucapkan kata-kata itu, murid-muridnya berkata dengan yakin bahawa mereka tidak akan sekali-kali meninggalkannya. (Mat. 26:35) Motif mereka memang baik. Namun mereka tidak sedar bahawa manusia mudah menyerah kepada godaan semasa di bawah tekanan. Itulah sebabnya Yesus mengingatkan mereka seperti dalam ayat harian hari ini. Sedihnya, murid-murid Yesus tidak berjaga-jaga. Semasa Yesus ditangkap, apakah reaksi mereka? Mereka melarikan diri padahal mereka sudah berkali-kali menegaskan bahawa mereka tidak akan meninggalkan Yesus.​—Mat. 26:56. w24.07 14 ¶1-2

Rabu, 17 Jun

Melalui kematian Anak-Nya, kita sudah berbaik semula dengan Tuhan.​—Rm. 5:10.

Adam dan Hawa kehilangan hubungan yang baik dengan Bapa mereka, Yehuwa. Pada mulanya, mereka sebahagian daripada keluarga Tuhan. (Luk. 3:38) Tetapi setelah mengingkari Yehuwa, mereka dibuang daripada keluarga Tuhan, dan hal itu berlaku sebelum mereka beranak cucu. (Kej. 3:​23, 24; 4:1) Jadi, sebagai keturunan Adam dan Hawa, kita perlu berbaik semula dengan Yehuwa. (Rm. 5:​10, 11) Maksudnya, hubungan kita dengan-Nya perlu dibaiki. Menurut satu rujukan, perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “berbaik semula” membawa maksud “mengubah musuh menjadi sahabat.” Yehuwa telah mengambil inisiatif untuk membolehkan kita berbaik semula dengan-Nya. Bagaimana? Melalui aturan pengampunan, yang disediakan oleh Yehuwa agar manusia yang berdosa berbaik semula dengan-Nya. Dalam aturan ini, sesuatu yang telah hilang atau dirosakkan akan digantikan dengan sesuatu yang sama nilainya. w25.02 3-4 ¶7-8

Khamis, 18 Jun

Kesedihan yang selaras dengan kehendak Tuhan menyebabkan orang bertaubat lalu diselamatkan.​—2 Kor. 7:10.

Paulus berkata, “Cukuplah disiplin yang sudah diberikan kepada orang itu.” (2 Kor. 2:​5-8) Dalam kata lain, disiplin itu telah capai tujuannya terhadap lelaki yang dahulunya melakukan hubungan seks dengan ibu tirinya. (1 Kor. 5:1) Apakah tujuan itu? Bantu pendosa itu bertaubat. (Ibr. 12:11) Paulus beritahu sidang, “Hendaklah kamu rela mengampuni dia dan melegakan hatinya.” Dia menambah bahawa mereka harus ‘meyakinkan dia bahawa mereka mengasihinya.’ Ya, Paulus bukan sekadar mahu saudara saudari membenarkannya kembali ke sidang. Dia juga mahu mereka tunjukkan melalui kata-kata dan perbuatan bahawa mereka memaafkannya dari hati dan amat mengasihinya. Hasilnya, pendosa itu dapat lihat dengan jelas bahawa dia diterima kembali dengan terbuka. w24.08 15 ¶4; 16-17 ¶6-8

Jumaat, 19 Jun

Kamu dihina dan menghadapi kesengsaraan di hadapan umum.​—Ibr. 10:33.

Paulus tahu apa yang diperlukan oleh orang Kristian agar dapat bertabah. Dia mengingatkan mereka bahawa semasa dianiaya, mereka perlu bergantung pada Yehuwa dan bukan diri sendiri. Dia berkata dengan yakin, “Yehuwa ialah penolongku; aku tidak akan berasa takut.” (Ibr. 13:6) Sesetengah rakan seiman sedang hadapi penganiayaan. Satu cara kita menunjukkan kasih ialah berdoa bagi mereka. Kadangkala, kita mungkin dapat berikan bantuan secara praktikal. Namun Bible jelas menyatakan bahawa “semua orang yang mahu mengabdikan diri kepada Tuhan dan hidup bersatu dengan Kristus Yesus juga akan dianiaya.” (2 Tim. 3:12) Maka kita semua harus bersedia menghadapi penganiayaan. Kita mahu percaya kepada Yehuwa dengan sepenuhnya dan yakin bahawa Dia akan bantu kita bertabah. Pada masa yang ditentukan-Nya, Dia akan bawa kelegaan kepada semua penyembah-Nya yang setia.​—2 Tes. 1:​7, 8. w24.09 12-13 ¶17-18

Sabtu, 20 Jun

Banyak orang di Korintus yang mendengar berita baik juga mula percaya kepada Yesus lalu dibaptis.​—Kis. 18:8.

Apakah yang membantu orang Korintus dibaptis? (2 Kor. 10:​4, 5) Firman Tuhan dan kuasa suci-Nya telah membantu orang Korintus untuk membuat perubahan yang besar dalam hidup mereka. (Ibr. 4:12) Selepas mereka menerima berita baik tentang Kristus, mereka dapat membuang tabiat buruk seperti kemabukan, mencuri, dan gaya hidup homoseksual. (1 Kor. 6:​9-11) Walaupun sesetengah orang Korintus perlu mengatasi tabiat buruk supaya dapat menjadi orang Kristian, mereka tidak berfikir bahawa hal itu mustahil dilakukan. Sebaliknya, mereka berusaha keras untuk mengikut jalan sempit yang menuju kehidupan kekal. (Mat. 7:​13, 14) Adakah anda sedang bergelut untuk mengatasi tabiat atau amalan buruk supaya layak dibaptis? Janganlah putus asa! Mintalah bantuan kuasa suci Yehuwa untuk melawan keinginan yang salah. w25.03 6 ¶15-17

Ahad, 21 Jun

Jika ada sesiapa antara kamu yang kurang bijaksana, hendaklah dia terus meminta kebijaksanaan daripada Tuhan.​—Yak. 1:5.

Yehuwa janji untuk memberi kita kebijaksanaan agar kita tahu keputusan yang menyenangkan hati-Nya. Apabila kita minta kebijaksanaan daripada-Nya, Dia “tidak akan memarahi [kita]. Sebaliknya, Tuhan akan menunaikan permintaan [kita] kerana Dia murah hati terhadap semua orang.” Selepas berdoa, “dengarlah” jawapan-Nya dengan teliti. Misalnya, jika anda sesat jalan semasa melancong, anda mungkin minta bantuan penduduk tempatan. Tetapi adakah anda tanya soalan dan terus beredar? Tidak! Anda pasti dengar jawapannya dengan teliti. Begitu juga, selepas minta kebijaksanaan, dengarlah jawapan Yehuwa dengan mengkaji hukum dan prinsip Bible yang berkaitan dengan situasi anda. Misalnya, sebelum buat keputusan tentang gathering, kajilah prinsip Bible tentang pesta liar, pergaulan buruk, dan pentingnya utamakan Kerajaan Tuhan dan bukan pilihan sendiri.​—Mat. 6:33; Rm. 13:13; 1 Kor. 15:33. w25.01 16 ¶6-7

Isnin, 22 Jun

Lihatlah! Hamba-hamba-Ku akan makan, tetapi kamu akan kelaparan.​—Yes. 65:13.

Nubuat Yesaya menggambarkan perbezaan besar antara kehidupan di dalam dengan kehidupan di luar firdaus rohani. Di dalam firdaus rohani, Yehuwa menyediakan jamuan rohani yang melimpah bagi para penyembah-Nya. Mereka dikurniai kuasa suci-Nya, Firman-Nya, dan makanan rohani supaya mereka dapat “makan, . . . minum, . . . [dan] bersukacita.” (Bandingkan Wahyu 22:17.) Mereka yang di luar firdaus rohani pula tidak dijaga secara rohani. (Amo. 8:11) Akibatnya, mereka “kelaparan . . . , kehausan . . . , [dan] dimalukan.” Yehuwa menyediakan semua keperluan umat-Nya, termasuk makanan rohani. (Yl. 2:​21-24) Yehuwa berbuat demikian menerusi Bible, bahan bacaan Bible, laman web kita, perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen. Oleh sebab Yehuwa begitu murah hati, kita dapat menikmati makanan rohani setiap hari. Hasilnya, kita berasa lebih sihat dan segar. w24.04 21 ¶5-6

Selasa, 23 Jun

Hendaklah kata-kata kamu sentiasa menyenangkan.​—Kol. 4:6.

Jika anda minat untuk berdating dengan seseorang, anda mungkin dapat mengaturkan untuk berbual dengannya, sama ada di tempat awam atau melalui telefon. Beritahulah dengan jelas bahawa anda berminat terhadapnya dan ingin lebih mengenalinya. (1 Kor. 14:9) Jika perlu, berilah dia masa untuk berfikir sebelum berikan jawapan. (Ams. 15:28) Kalau dia tidak berminat, hormatilah perasaannya. Bagaimana pula jika ada orang berminat terhadap anda? Dia perlukan keberanian untuk meluahkan perasaannya. Jadi layanlah dia dengan hormat dan baik hati. Jika anda perlukan masa untuk fikir, beritahulah dia. Namun, cubalah menjawabnya secepat yang mungkin. (Ams. 13:12) Jika anda tidak berminat, beritahu dengan jelas tetapi dalam cara yang baik hati. Jika anda berminat, bincangkanlah perasaan anda dan apa yang anda ingin lakukan semasa berdating. Apa yang anda harapkan mungkin berbeza. w24.05 23-24 ¶12-13

Rabu, 24 Jun

Aku datang melawanmu demi nama Yehuwa, ketua angkatan syurga.​—1 Sam. 17:45.

Semasa dia mungkin masih remaja, Daud pergi ke perkhemahan askar orang Israel. Di sana, dia mendapati askar-askar Israel sangat takut kerana seorang gergasi Filistin yang bernama Goliat telah “mencabar barisan tentera orang Israel.” (1 Sam. 17:​10, 11) Mengapakah askar Israel begitu takut? Kerana mereka bertumpu kepada gergasi itu dan celaannya. (1 Sam. 17:​24, 25) Namun, Daud mempunyai sudut pandangan yang berbeza. Dia menganggap celaan Goliat ditujukan bukan sahaja kepada barisan tentera orang Israel tetapi juga kepada “barisan tentera Tuhan yang hidup.” (1 Sam. 17:26) Daud berfokus kepada Yehuwa. Dia yakin Yehuwa akan membantunya mengalahkan Goliat sepertimana Yehuwa pernah membantunya mengalahkan beruang dan singa. Oleh sebab Daud bergantung pada Tuhan, dia berjaya menumpaskan Goliat!​—1 Sam. 17:​45-51. w24.06 21 ¶7

Khamis, 25 Jun

Janganlah takut kerana Aku menyertaimu. Janganlah risau kerana Akulah Tuhanmu. Aku akan meneguhkanmu, dan Aku akan membantumu. Aku pasti akan memegangmu dengan tangan kanan-Ku yang menegakkan keadilan.​—Yes. 41:10.

Fikirkan bagaimana kehidupan kita jika kita tidak sembah Yehuwa. Dengan demikian, kita akan bertekad untuk tetap setia dan berkata seperti pemazmur, “Bagiku, aku berasa bahawa sungguh baik untuk mendekati Tuhan.” (Mzm. 73:28) Kita dapat hadapi cabaran pada hari-hari terakhir kerana kita ialah “hamba kepada Tuhan yang hidup dan benar.” (1 Tes. 1:9) Tuhan kita ialah Tuhan yang hidup, yang akan jaga keperluan penyembah-Nya. Dia telah menyertai hamba-Nya sejak dahulu, dan Dia juga berbuat demikian sekarang. Tidak lama lagi, kita akan hadapi kesengsaraan besar, tetapi kita tidak akan keseorangan. Semoga kita berkata dengan berani, “Yehuwa ialah penolongku; aku tidak akan berasa takut.”​—Ibr. 13:​5, 6. w24.06 25 ¶17-18

Jumaat, 26 Jun

Mereka akan melihat perbezaan antara orang baik dengan orang jahat.​—Mal. 3:18.

Dalam Bible, ada lebih daripada 40 nama raja Israel. Raja yang baik pun pernah buat jahat. Contohnya Raja Daud. Yehuwa berkata, “Hamba-Ku Daud . . . menyembah-Ku dengan sepenuh hati, dan melakukan apa yang benar di mata-Ku.” (1 Raj. 14:8) Namun, Daud telah berzina dengan seorang wanita dan mengarahkan agar suami wanita itu dibunuh dalam perang. (2 Sam. 11:​4, 14, 15) Bible juga memberitahu kita bahawa banyak raja yang jahat pun pernah buat baik. Contohnya Raja Rehabeam. Dalam pandangan Yehuwa, dia “melakukan apa yang jahat.” (2 Taw. 12:14) Namun, Rehabeam mematuhi arahan Tuhan semasa Tuhan menyuruhnya agar tidak menyerang 10 suku Israel yang lain dan membiarkan mereka melantik raja sendiri. Dia juga mengukuhkan kota-kota di Yehuda. (1 Raj. 12:​21-24; 2 Taw. 11:​5-12) Bagaimanakah Yehuwa menentukan sama ada seorang raja setia atau tidak? Yehuwa mengambil kira jika raja itu menyembah-Nya dengan sepenuh hati, bertaubat dengan ikhlas, dan terus menyembah-Nya dengan setia. w24.07 20 ¶1-3

Sabtu, 27 Jun

Teruslah besarkan mereka dengan disiplin dan nasihat daripada Yehuwa.​—Ef. 6:4.

Bagaimanakah jika kes salah laku melibatkan penyiar terbaptis yang di bawah umur 18 tahun? Badan penatua akan atur dua orang penatua untuk berjumpa dengan anak itu bersama ibu bapanya yang merupakan Saksi. Tujuan dua orang penatua itu adalah untuk mengetahui langkah yang telah diambil oleh ibu bapa untuk bantu anak itu bertaubat. Jika anak itu ada sikap yang baik dan sudi ikut nasihat ibu bapanya, dua orang penatua itu mungkin memutuskan bahawa anak itu dan ibu bapanya tidak perlu bertemu dengan jawatankuasa penatua. Hal ini kerana Tuhan telah beri ibu bapa tanggungjawab untuk betulkan anak mereka dengan penuh kasih. (Ul. 6:​6, 7; Ams. 6:20; 22:6; Ef. 6:​2-4) Dari masa ke masa, penatua akan tanya ibu bapa tentang keadaan anak itu untuk pastikan dia sedang terima bantuan yang diperlukan. Bagaimana pula jika anak itu enggan bertaubat dan terus buat salah? Jawatankuasa penatua akan berjumpa dengannya bersama ibu bapanya yang merupakan Saksi. w24.08 24 ¶18

Ahad, 28 Jun

Lebih berbahagia memberi daripada menerima.​—Kis. 20:35.

Kita memang gembira semasa menerima hadiah. Tetapi kita lebih gembira semasa memberikan hadiah. Oleh sebab Yehuwa menciptakan kita dalam cara sebegini, kita sendiri dapat mencari kebahagiaan tanpa perlu bergantung pada orang lain. Kita dapat berbuat demikian dengan mencari peluang untuk memberi. Cara Yehuwa menciptakan kita sangat menakjubkan, bukan? (Mzm. 139:14) Bible mengajar kita bahawa orang yang memberi selalunya bahagia. Maka tidak hairanlah Yehuwa digambarkan dalam Bible sebagai “Tuhan yang gembira.” (1 Tim. 1:11) Dialah Pemberi yang pertama dan yang paling murah hati. Rasul Paulus berkata, “Kita hidup, bergerak, dan wujud kerana Dia.” (Kis. 17:28) Sememangnya, “setiap kurniaan yang baik dan setiap pemberian yang sempurna” berasal daripada Yehuwa. (Yak. 1:17) Kita semua mahu meningkatkan sukacita sendiri. Kita dapat berbuat demikian dengan meniru kemurahan hati Yehuwa semasa memberi.​—Ef. 5:1. w24.09 26 ¶1-4

Isnin, 29 Jun

Tidak kira apa tahap kemajuan kita, marilah kita terus maju dengan cara yang sama.​—Flp. 3:16.

Selepas mengkaji sifat-sifat yang diperlukan untuk menjadi penatua, sesetengah pembantu sidang mungkin rasa mereka tidak mampu mencapainya. Namun ingatlah bahawa Yehuwa dan organisasi-Nya tidak mengharapkan kesempurnaan daripada anda. (1 Ptr. 2:21) Ingatlah juga bahawa kuasa suci Yehuwa dapat membantu anda memupuk sifat-sifat itu. (Flp. 2:13) Adakah anda ingin memantapkan sifat tertentu? Berdoalah kepada Yehuwa, buatlah penyelidikan tentangnya, dan mintalah cadangan seorang penatua. Berusahalah melayakkan diri untuk menjadi penatua! Mintalah Yehuwa untuk melatih anda supaya anda menjadi lebih berguna bagi-Nya dan sidang. (Yes. 64:8) Semoga Yehuwa memberkati usaha anda! w24.11 25 ¶17-18

Selasa, 30 Jun

Tuhan bukannya tidak adil. Dia tidak melupakan kerja yang telah kamu lakukan dan kasih yang telah kamu tunjukkan demi nama-Nya dengan menolong umat suci-Nya, baik dahulu mahupun sekarang.​—Ibr. 6:10.

Kita tidak patut fikir bahawa Yehuwa wajib mengampuni kita kerana kita sudah lama berkhidmat kepada-Nya. Dia memang hargai kesetiaan kita. Namun korban tebusan disediakan sebagai kurniaan, bukan sebagai upah untuk kerja yang kita buat. Jadi, jika kita fikir bahawa Yehuwa patut ampuni kita kerana kita sudah buat banyak untuk-Nya, kita seperti kata, “Saya tidak memerlukan tebusan.” (Bandingkan Galatia 2:21.) Paulus tahu bahawa tidak kira berapa banyak yang dilakukannya untuk Yehuwa, usahanya tidak membuatnya layak diampuni. Jadi, mengapakah dia masih bekerja keras untuk Yehuwa? Kerana dia ingin tunjuk penghargaan atas kebaikan hati Yehuwa yang unggul. (Ef. 3:7) Seperti Paulus, kita mahu terus berkhidmat kepada Yehuwa dengan bersemangat, bukan supaya layak menerima pengampunan-Nya, tetapi untuk tunjuk penghargaan kepada-Nya. w25.01 27 ¶5-6

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2026 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Tetapan Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi