Mei
Jumaat, 1 Mei
Tuhan tidak berat sebelah.—Rm. 2:11.
Selepas membebaskan umat-Nya dari Mesir, Yehuwa melantik para imam untuk berkhidmat di khemah suci-Nya. Orang Lewi juga diberikan tugas di khemah suci. Adakah mereka yang berkhidmat di khemah suci atau yang tinggal dekat khemah suci menerima layanan istimewa daripada Yehuwa? Tidak, Yehuwa tidak berat sebelah! Setiap orang Israel dapat menghampiri Yehuwa. Contohnya, Yehuwa memastikan seluruh bangsa Israel dapat melihat tiang awan dan tiang api yang berada di atas khemah suci. (Kel. 40:38) Apabila tiang awan itu mula bergerak, orang yang tinggal paling jauh dari khemah suci pun dapat melihatnya, lalu mengemaskan barang dan bersedia untuk berpindah bersama orang Israel yang lain. (Bil. 9:15-23) Begitu juga hari ini, tidak kira di mana kita tinggal, kita dapat merasai kasih Yehuwa, jagaan-Nya, serta perlindungan-Nya. w24.06 4 ¶10-12
Sabtu, 2 Mei
Ayuh! Marilah kita melarikan diri. Jika tidak, tiada seorang pun yang dapat melepaskan diri daripada Absalom!—2 Sam. 15:14.
Nyawa Daud diancam. Anaknya, iaitu Absalom, ingin merampas takhtanya. (2 Sam. 15:12, 13) Jadi Daud perlu segera tinggalkan Yerusalem. Semasa hamba-hambanya beredar, Daud sedar bahawa seseorang perlu terus tinggal di Yerusalem dan memberitahunya rancangan Absalom. Maka dia minta Zadok dan imam-imam lain untuk membantunya. (2 Sam. 15:27-29) Mereka perlu berhati-hati kerana tugas ini amat bahaya. Daud buat rancangan yang melibatkan Zadok dan Husai, iaitu sahabat Daud yang setia. (2 Sam. 15:32-37) Dengan mengikut rancangan Daud, Husai berjaya dapat kepercayaan Absalom. Dia cadangkan strategi yang nampaknya bertujuan kalahkan Daud, tetapi sebenarnya membantu Daud. Kemudian, Husai beritahu rancangan itu kepada Zadok dan Abiatar. (2 Sam. 17:8-16) Selepas itu, mereka beritahu Daud apa yang berlaku dan berjaya melindunginya.—2 Sam. 17:21, 22. w24.07 4-5 ¶9-10
Ahad, 3 Mei
Yehuwa berfirman, “Marilah kita selesaikan perkara ini.”—Yes. 1:18.
Ada umat Yehuwa masih berasa bersalah akibat dosa lampau, tidak kira dosa mereka dilakukan sebelum atau selepas dibaptis. Namun ingatlah bahawa Yehuwa amat mengasihi kita. Itulah sebabnya Dia menyediakan tebusan agar dosa kita diampunkan. Sudah pasti Dia mahu kita terima pengampunan-Nya. Yehuwa menjamin bahawa selepas kita “selesaikan perkara ini” dengan-Nya, Dia akan ampuni kita dengan sepenuhnya dan tidak lagi ingat dosa kita. Pada masa yang sama, Dia tidak akan lupa perbuatan baik kita. Tuhan kita sangat pengasih, bukan? (Mzm. 103:9, 12; Ibr. 6:10) Jika anda dibelenggu rasa bersalah atas dosa lampau, berusahalah untuk berfikir tentang keadaan anda sekarang dan masa depan. Anda tidak dapat ubah apa yang sudah berlaku. Namun anda dapat memuliakan Yehuwa sekarang dan menantikan masa depan yang dijanjikan-Nya. w24.10 8 ¶8-9
Isnin, 4 Mei
Hendaklah kamu mengenakan keperibadian baharu.—Kol. 3:10.
Semasa baca Bible dan fikir cara untuk menerapkan nasihatnya, anda mungkin sedar bahawa ada terlalu banyak hal yang perlu dibaiki. Fikirkan situasi berikut: Hari ini, semasa baca Bible, anda belajar bahawa orang Kristian tidak patut berat sebelah. (Yak. 2:1-8) Anda sedar anda perlu memperbaiki cara anda layan orang, jadi anda memutuskan untuk berubah. Pada hari esok, anda baca ayat Bible yang menekankan pentingnya mengawal tutur kata. (Yak. 3:1-12) Anda sedar ada kalanya kata-kata anda negatif, jadi anda bertekad untuk ucapkan kata-kata yang lebih positif dan membina. Pada hari berikutnya, anda baca amaran dalam Bible bahawa kita tidak patut jadi sahabat dunia. (Yak. 4:4-12) Anda sedar anda harus lebih berhati-hati semasa pilih hiburan. Pada hari keempat, anda mungkin sedar bahawa ada banyak hal yang perlu dibaiki dan tidak mampu melakukannya. Janganlah tawar hati. Ingatlah, mengenakan “keperibadian baharu” ialah proses yang berterusan. w24.09 5-6 ¶11-12
Selasa, 5 Mei
Akuilah dalam hati kamu bahawa Kristus ialah Tuan dan bahawa dia suci. Hendaklah kamu sentiasa bersedia untuk membela diri di hadapan setiap orang yang menuntut penjelasan tentang harapan yang kamu miliki. Tetapi lakukanlah hal itu dengan lemah lembut dan hormat yang mendalam.—1 Ptr. 3:15.
Yesus tahu bahawa pandangan Yehuwalah yang terpenting. Dia percaya Yehuwa akan menegakkan keadilan pada masa yang tepat. Kita dapat meniru teladan Yesus dengan mengawal tutur kata kita semasa ditindas. Jika apa yang berlaku ialah hal kecil, kita boleh melupakannya atau tidak berkata apa-apa agar masalah tidak bertambah teruk. (Pkh. 3:7; Yak. 1:19, 20) Namun ada kalanya, kita mungkin perlu bersuara untuk mempertahankan kebenaran atau orang yang ditindas. (Kis. 6:1, 2) Pada masa itu, kita patut berusaha untuk bercakap dengan tenang dan hormat. Seperti Yesus, kita dapat mempercayakan diri kepada “[Tuhan] yang menghakimi dengan adil.”—1 Ptr. 2:23. w24.11 5-6 ¶10-12
Rabu, 6 Mei
Malaikat-malaikat Tuhan akan bersukacita apabila seorang pendosa bertaubat.—Luk. 15:10.
Semasa seorang pendosa bertaubat, kita bersukacita! (Luk. 15:7) Siapakah yang harus dipuji? Rasul Paulus menulis, “Barangkali Tuhan akan mengizinkan orang sebegini untuk bertaubat.” (2 Tim. 2:25) Nota pembelajaran bagi ayat ini menyatakan, “Memandangkan Yehuwalah yang membantu seorang pendosa untuk mengubah sikap dan pemikirannya, Dialah yang harus dipuji, bukannya manusia. Paulus memberitahu kita hasilnya apabila seorang pendosa bertaubat. Pendosa itu mendapat pengetahuan yang lebih tepat tentang kebenaran, sedar bahawa perbuatannya salah, dan dapat melepaskan diri daripada perangkap Syaitan.—2Ti 2:26.” Jika seorang pendosa bertaubat, para penatua akan terus mengunjunginya supaya dia dapat dibantu untuk melawan jerat Syaitan dan meluruskan jalan hidupnya.—Ibr. 12:12, 13. w24.08 23 ¶14-15
Khamis, 7 Mei
Kamu sedang mencari aku bukan kerana kamu sudah melihat mukjizat, tetapi kerana kamu kenyang selepas makan roti.—Yoh. 6:26.
Pada hari berikutnya, orang ramai datang ke tempat Yesus memberikan makanan, tetapi mereka tidak menjumpai Yesus dan para rasul. Maka orang ramai menaiki perahu yang datang dari Tiberias untuk mencari Yesus di Kapernaum. (Yoh. 6:22-24) Adakah mereka mencari Yesus kerana ingin belajar lebih banyak tentang Kerajaan Tuhan? Tidak. Mereka hanya mahu Yesus memberi mereka makanan. Bagaimanakah kita tahu? Apabila orang ramai menjumpai Yesus, dia berkata dengan terus terang bahawa mereka mahu mengenyangkan perut sahaja. Yesus berkata bahawa biarpun mereka “kenyang selepas makan roti,” itu hanya “makanan yang akan basi.” Maka dia menggesa mereka agar bekerja untuk mendapat “makanan yang kekal dan yang membawa kehidupan kekal.” (Yoh. 6:26, 27) Yesus berkata bahawa Yehuwa akan memberikan makanan sebegini. w24.12 5 ¶8-9
Jumaat, 8 Mei
Orang yang bijak memilih kata-katanya dengan cermat, dan kata-katanya dapat meyakinkan orang.—Ams. 16:23.
Saudara sekalian, untuk menjadi pengajar yang lebih mahir, ajaran dan nasihat anda mesti berdasarkan Bible. Maka, kajilah Bible dan bahan bacaan Bible dengan teliti. (Ams. 15:28) Perhatikanlah bagaimana bahan bacaan kita menjelaskan ayat-ayat Bible supaya anda dapat menerangkannya dalam cara yang betul. Semasa mengajar, cubalah mencapai hati pendengar anda. Selain itu, mintalah dan terapkanlah cadangan daripada penatua yang berpengalaman. (1 Tim. 5:17) Penatua juga haruslah sentiasa baik hati semasa memberikan galakan atau menegur. Apabila anda bersikap pengasih, lemah lembut, dan memberikan nasihat berdasarkan Bible, anda sedang meniru teladan Yesus dan dapat menjadi pengajar yang lebih mahir.—Mat. 11:28-30; 2 Tim. 2:24. w24.11 24 ¶16
Sabtu, 9 Mei
Hebahkanlah kemuliaan-Nya kepada bangsa-bangsa.—Mzm. 96:3.
Kita dapat memuliakan Yehuwa melalui kata-kata kita. Umat Yehuwa dijemput untuk ‘bernyanyi kepada Yehuwa, memuji nama-Nya, mengumumkan berita baik tentang penyelamatan-Nya, dan menghebahkan kemuliaan-Nya kepada bangsa-bangsa.’ (Mzm. 96:1-3) Inilah sesetengah cara kita dapat memuliakan-Nya. (Kis. 4:29) Kita juga dapat guna harta milik kita untuk memuliakan Yehuwa. Itulah yang dilakukan oleh penyembah Yehuwa sejak dahulu lagi. (Ams. 3:9) Contohnya, orang Israel beri sumbangan untuk menyokong kerja membina dan menjaga Rumah Tuhan. (2 Raj. 12:4, 5; 1 Taw. 29:3-9) Murid-murid Yesus “menggunakan harta milik mereka untuk menolong Yesus dan rasul-rasulnya.” (Luk. 8:1-3) Orang Kristian abad pertama juga kirim wang untuk bantu rakan seiman yang ditimpa kebuluran. (Kis. 11:27-29) Hari ini, kita juga dapat memuliakan Yehuwa melalui sumbangan kita. w25.01 4 ¶8; 5 ¶11
Ahad, 10 Mei
Bolehkah sesiapa menghalang mereka daripada dibaptis dengan air?—Kis. 10:47.
Apakah yang membantu Kornelius dibaptis? Bible kata bahawa “dia takut akan Tuhan dan menyembah Tuhan bersama seluruh keluarganya.” Kornelius juga sering berdoa kepada Tuhan. (Kis. 10:2) Semasa Petrus mengkhabarkan berita baik kepada Kornelius, dia dan keluarganya beriman terhadap Kristus dan segera dibaptis. (Kis. 10:47, 48) Sememangnya, Kornelius sudi membuat apa sahaja perubahan yang diperlukan supaya dia dan keluarganya dapat menyembah Yehuwa. (Yos. 24:15; Kis. 10:24, 33) Kornelius tidak membiarkan kedudukannya untuk menghalangnya daripada menjadi pengikut Kristus. Adakah anda perlu membuat perubahan yang besar dalam hidup anda supaya layak dibaptis? Jika ya, Yehuwa pasti akan menolong anda menerapkan prinsip Bible. Dia akan memberkati usaha anda untuk menyenangkan hati-Nya. w25.03 5 ¶12-13
Isnin, 11 Mei
Janganlah mendengarkan cerita-cerita palsu.—1 Tim. 4:7.
Jika anda terdengar cerita palsu tentang organisasi kita atau para saudara terlantik, ingatlah hal itu juga terjadi kepada Yesus dan orang Kristian abad pertama. Hari ini, umat Tuhan dianiaya dan difitnah, seperti yang dinubuatkan. (Mat. 5:11, 12) Jika kita tidak mahu diperdaya oleh cerita palsu, kita harus ingat siapa dalangnya dan segera menolaknya. Paulus jelaskan apa yang harus kita buat jika terdengar cerita palsu. Dia suruh Timotius untuk “memberikan perintah kepada orang tertentu supaya tidak . . . memberikan perhatian kepada cerita-cerita palsu” dan ‘tidak mendengarkan cerita-cerita palsu yang menghina Tuhan.’ (1 Tim. 1:3, 4) Kita menolak cerita palsu kerana kita tahu siapa dalangnya. Bertekadlah untuk berpegang pada ‘kata-kata yang sihat,’ iaitu ajaran benar.—2 Tim. 1:13. w24.04 11 ¶16; 13 ¶17
Selasa, 12 Mei
Mereka mengampu dan menggunakan kata-kata yang manis untuk menipu orang yang naif.—Rm. 16:18.
Tetaplah bersatu dengan mereka yang setia kepada Yehuwa. Tuhan mahu kita menyembah-Nya dengan bersatu padu. Kita akan bersatu selagi kita berpegang teguh pada kebenaran. Orang yang sebarkan maklumat palsu yang bercanggahan dengan kebenaran akan menyebabkan perpecahan. Maka Tuhan mengingatkan kita, “Jauhkanlah diri kamu daripada mereka.” Jika tidak, kita mungkin menjauhi kebenaran. (Rm. 16:17) Jika kita mengenali dan berpegang teguh pada kebenaran, iman dan hubungan kita dengan Yehuwa akan terpelihara. (Ef. 4:15, 16) Kita tidak akan disesatkan oleh ajaran dan maklumat palsu Syaitan, dan Yehuwa akan melindungi kita semasa kesengsaraan besar. Maka, teruslah berpaut pada apa yang benar, dan “Tuhan kedamaian akan menyertai kamu.”—Flp. 4:8, 9. w24.07 13 ¶16-17
Rabu, 13 Mei
Yesus mempersembahkan satu korban untuk menebus dosa, dan korban itu berlaku untuk selama-lamanya.—Ibr. 10:12.
Yesus bertumpu kepada orang yang menyesali dosa mereka dan jemput mereka jadi pengikutnya. Dia tahu dosa ialah sebab utama manusia menderita. Maka dia berusaha membantu mereka. Dengan menggunakan perumpamaan, Yesus kata, “Orang yang memerlukan doktor bukannya orang yang sihat, tetapi orang yang sakit.” Dia menambah, “Aku datang untuk memanggil pendosa, bukannya orang yang alim.” (Mat. 9:12, 13) Itulah yang Yesus buat. Apabila seorang wanita yang hidup dalam dosa basuh kaki Yesus dengan air matanya, Yesus memaafkan dosanya. (Luk. 7:37-50) Walaupun wanita Samaria yang jumpa Yesus dekat perigi hidup tidak bermoral, Yesus ajar kebenaran penting kepadanya. (Yoh. 4:7, 17-19, 25, 26) Tuhan bahkan beri Yesus kuasa untuk hilangkan kesan utama dosa, iaitu kematian. Bagaimana? Yesus dapat bangkitkan orang, tidak kira usia atau jantina mereka.—Mat. 11:5. w24.08 4 ¶9-10
Khamis, 14 Mei
Yehuwa akan menghakimi penduduk bumi dengan adil, dan menghakimi semua orang dengan setia.—Mzm. 96:13.
Bagaimanakah Yehuwa akan memuliakan nama-Nya tidak lama lagi? Dia akan hukum Babilon Besar kerana mencela nama-Nya yang suci. (Why. 17:5, 16; 19:1, 2) Pada masa itu, sesetengah orang yang menyaksikan kemusnahan Babilon Besar mungkin mula sembah Yehuwa. Akhirnya, semasa Armagedon, Yehuwa akan memusnahkan seluruh sistem Syaitan yang jahat. Dia akan membinasakan semua orang yang menentang-Nya dan yang menghina nama-Nya, tetapi Dia akan menyelamatkan orang yang mengasihi dan mematuhi-Nya dan yang mahu memuliakan-Nya. (Mrk. 8:38; 2 Tes. 1:6-10) Selepas ujian terakhir yang akan berlaku selepas Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, semua orang akan tahu bahawa nama Yehuwa layak dimuliakan. (Why. 20:7-10) Setelah itu, “sebagaimana lautan penuh dengan air, bumi juga akan penuh dengan pengetahuan tentang kemuliaan Yehuwa.” (Hab. 2:14) Bayangkan keadaannya semasa semua makhluk hidup memuliakan Yehuwa! w25.01 7 ¶15-16
Jumaat, 15 Mei
Kamu perlu bertabah kerana hal itu merupakan sebahagian daripada disiplin kamu.—Ibr. 12:7.
Apakah yang dapat bantu orang Kristian Ibrani untuk tabah hadapi penganiayaan? Paulus mahu mereka sedar bahawa cubaan dapat bawa hasil baik. Maka dia menjelaskan bahawa apabila orang Kristian hadapi cubaan, Tuhan dapat guna cubaan itu untuk melatih mereka. Hal ini dapat bantu mereka memupuk dan memantapkan sifat Kristian. Jika orang Kristian Ibrani berfokus kepada hasil baik ini, mereka akan lebih senang untuk bertabah. (Ibr. 12:11) Paulus menggalakkan mereka untuk bertabah dan tidak berputus asa semasa menghadapi cubaan. Mengapakah Paulus ialah orang yang sesuai untuk memberikan nasihat itu? Sebelum ini, dia pernah menganiaya orang Kristian dan tahu betapa teruknya mereka dilayan. Namun selepas menjadi orang Kristian, dia sendiri mengalami pelbagai penganiayaan.—2 Kor. 11:23-25. w24.09 12 ¶16-17
Sabtu, 16 Mei
Teruslah berjaga-jaga.—Mat. 25:13.
Kerja penyebaran kita makin hari makin mendesak. Mengapa? Kerana kita sudah kesuntukan masa. Fikirkan apa yang dinubuatkan Yesus di Markus 13:10 tentang kerja penyebaran pada hari-hari terakhir. Menurut catatan Matius, Yesus berkata bahawa berita baik akan disebarkan ke seluruh bumi sebelum “akhir” tiba. (Mat. 24:14) “Akhir” itu merujuk kepada pembinasaan sistem dunia Syaitan. Yehuwa sudah menetapkan “hari atau waktunya” semua peristiwa ini berlaku, dan waktu itu sudah semakin dekat. (Mat. 24:36; Kis. 1:7; Rm. 13:11) Sementara menantikan akhir tiba, kita mesti terus menginjil. Kita semua perlu memikirkan soalan yang penting ini: Mengapakah kita menginjil? Pendek kata, kasih mendorong kita untuk menginjil. Kita menginjil kerana kita mengasihi berita baik, mengasihi orang lain, dan yang terpenting, kita mengasihi Yehuwa dan nama-Nya. w24.05 14-15 ¶2-3
Ahad, 17 Mei
Tuhan melihat semua ciptaan-Nya dan Dia sangat berpuas hati.—Kej. 1:31.
Ibu bapa, galakkan anak anda untuk meneliti alam semula jadi. Semasa bersiar-siar di kampung atau berkebun, bantulah anak meneliti corak yang ada di sekeliling anda. Mengapa? Corak-corak ini menunjukkan bahawa alam semesta diciptakan oleh Individu yang bijak. Misalnya, corak lingkaran telah dikaji oleh ahli sains selama bertahun-tahun. Seorang ahli sains yang bernama Nicola Fameli menjelaskan bahawa semasa anda mengira bilangan lingkaran dalam alam semula jadi, anda akan mendapati bahawa terdapat urutan nombor yang berulang-ulang. Siri nombor ini dipanggil urutan Fibonacci. Corak lingkaran sering diperhatikan dalam alam semula jadi, contohnya bentuk sesetengah galaksi, cangkerang siput nautilus, dedaun, dan benih-benih pada bunga matahari. w24.12 16 ¶7
Isnin, 18 Mei
Yehuwalah sumber kehidupan kamu.—Ul. 30:20.
Meskipun Musa, Daud, dan Yohanes hidup ribuan tahun lalu, kita ada banyak persamaan dengan mereka. Kita dan mereka menyembah Tuhan yang benar, berdoa kepada-Nya, bergantung pada-Nya, dan mencari bimbingan-Nya. Seperti mereka, kita juga yakin bahawa Yehuwa akan memberikan berkat yang berlimpah-limpah kepada orang yang mematuhi-Nya. Semoga kita mendengarkan nasihat yang diberikan oleh Musa, Daud, dan Yohanes. Jika kita mematuhi Yehuwa, kita akan berjaya dalam segala usaha kita dan menikmati “umur yang panjang,” bahkan untuk selama-lamanya! Kita juga akan bersukacita kerana dapat menggembirakan hati Yehuwa. Dia pasti menunaikan segala janji-Nya dalam cara yang jauh lebih hebat daripada apa yang kita bayangkan.—Ef. 3:20. w24.11 13 ¶20-21
Selasa, 19 Mei
Tuhan sudah menetapkan tugas yang berbeza-beza bagi mereka yang ada dalam sidang.—1 Kor. 12:28.
Pada abad pertama, sesetengah saudara dilantik sebagai pembantu sidang. (1 Tim. 3:8) Merekalah yang mungkin disebut oleh Paulus sebagai saudara-saudara yang “berkhidmat kepada orang lain.” Nampaknya, pembantu sidang melakukan banyak kerja yang penting dan praktikal agar para penatua dapat bertumpu kepada kerja mengajar dan menggembala sidang. Sebagai contoh, pembantu sidang mungkin membantu menyalin Ayat-Ayat Suci atau membeli bahan yang diperlukan untuk membuat salinan Ayat-Ayat Suci. Perhatikan sesetengah kerja baik yang dilakukan oleh pembantu sidang hari ini. (1 Ptr. 4:10) Mereka mungkin menjaga akaun atau kawasan penyebaran sidang, memesan bahan bacaan dan mengedarkannya kepada para penyiar, mengendalikan peralatan audio video, menjadi atendan, atau membantu menyelenggarakan Dewan Perjumpaan. Semua kerja ini penting agar aturan sidang dapat berjalan dengan baik.—1 Kor. 14:40. w24.10 19 ¶4-5
Rabu, 20 Mei
Melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.—Flp. 4:13.
Jika kita ingat bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang hidup, yang bersedia menyokong kita, kita dapat hadapi cubaan dengan tabah. Fikirkan, Tuhan kita ialah Tuhan Yang Maha Kuasa. Dia dapat beri kita kekuatan untuk bertabah. Maka, kita dapat hadapi cubaan dengan yakin. Apabila kita merasai sokongan Yehuwa semasa dilanda masalah kecil, kita bertambah yakin bahawa Dia pasti bantu kita hadapi masalah besar. Perhatikan dua pengalaman Daud yang menguatkan keyakinannya terhadap Yehuwa. Semasa dia muda, biri-biri bapanya pernah diterkam beruang dan singa. Dalam dua peristiwa itu, Daud dengan berani mengejar beruang dan singa itu dan menyelamatkan biri-biri. Namun, Daud tidak fikir bahawa dia buat semua itu dengan kekuatannya. Sebaliknya, dia tahu bahawa Yehuwalah yang membantunya. (1 Sam. 17:34-37) Dengan renungkan pengalaman itu, Daud yakin bahawa Tuhannya yang hidup akan menguatkannya pada masa depan. w24.06 21 ¶5-6
Khamis, 21 Mei
Orang yang menjawab sebelum mendengar, bukan sahaja bodoh malah memalukan diri sendiri.—Ams. 18:13.
Katakan anda dijemput untuk ke gathering. Jika anda tidak begitu kenal orang yang jemput anda atau aktiviti yang akan diadakan, tanyalah soalan seperti, “Di manakah dan bilakah gathering ini diadakan? Berapa ramai yang dijemput? Siapakah yang mengawasinya? Siapakah yang dijemput? Apakah aktiviti yang dirancang? Adakah minuman beralkohol akan dihidangkan?” Jawapan kepada soalan ini akan membantu anda buat keputusan bijak. Setelah mendapatkan maklumat yang tepat, nilailah situasi itu secara keseluruhan. Contohnya, jika anda mendapat tahu bahawa orang yang tidak menghormati prinsip Bible akan menghadiri gathering itu, atau jika para tetamu dibenarkan untuk meminum sebanyak alkohol yang mereka mahu, adakah anda rasa gathering itu mungkin menjadi pesta liar? (1 Ptr. 4:3) Setelah menilai situasi itu secara keseluruhan, anda dapat membuat keputusan yang lebih bijak. w25.01 15 ¶4-5
Jumaat, 22 Mei
Walaupun dosa-dosa kamu merah marak, semuanya akan menjadi putih seperti salji.—Yes. 1:18.
Yehuwa menggunakan gambaran untuk menunjukkan bagaimana Dia menggunakan korban tebusan untuk menghapuskan dosa orang yang bertaubat. Kotoran yang berwarna merah pada kain memang sangat susah dihilangkan. Namun, melalui gambaran ini, Yehuwa menjamin bahawa dosa kita dapat dibersihkan dengan sepenuhnya sehingga tidak dapat dilihat lagi. Dosa kita disamakan dengan “hutang.” (Mat. 6:12, nota kaki; Luk. 11:4, nota kaki) Setiap kali kita berdosa terhadap Yehuwa, hutang kita bertambah. Jadi bayangkan betapa besarnya hutang dosa kita! Namun apabila Yehuwa mengampuni kita, Dia seolah-olah membatalkan hutang kita. Kita berasa lega kerana tidak perlu berhutang lagi. Itulah perasaan kita semasa Yehuwa mengampuni kita! w25.02 9-10 ¶9-10
Sabtu, 23 Mei
Anak-anak tidak perlu mengumpulkan harta untuk ibu bapa, tetapi ibu bapalah yang perlu mengumpulkan harta untuk anak-anak.—2 Kor. 12:14.
Semasa ibu bapa yang tua memerlukan bantuan, anak-anak pasti gembira untuk membantu mereka. (1 Tim. 5:4) Namun ibu bapa Kristian sedar bahawa mereka akan jauh lebih bahagia jika mereka membesarkan anak untuk menjadi penyembah Yehuwa, dan bukan sebagai sumber pendapatan. (3 Yoh. 4) Untuk berbuat demikian, tunjukkanlah melalui teladan anda sekarang bahawa anda mempercayai Yehuwa. Semasa mereka kecil, ajarlah mereka pentingnya bersikap rajin. (Ams. 29:21; Ef. 4:28) Semasa mereka mula bersekolah, bantulah mereka belajar dengan bersungguh-sungguh. Matlamat ibu bapa Kristian adalah untuk membantu anak menyara diri ketika sudah dewasa, dan pada masa yang sama mengutamakan Yehuwa. Oleh itu, ibu bapa harus membuat penyelidikan dan mencari prinsip Bible yang dapat bantu anak-anak membuat keputusan yang bijak dalam soal pendidikan. w25.03 30-31 ¶15-16
Ahad, 24 Mei
Kenakan keperibadian baharu.—Ef. 4:24.
Di Yesaya bab 65, Yehuwa menggambarkan keadaan hidup di firdaus rohani. Nubuat itu menjadi kenyataan buat kali pertama pada 537 SM. Pada masa itu, orang Yahudi yang bertaubat telah dibebaskan dari Babilon dan kembali ke tanah air mereka. Yehuwa memberkati umat-Nya dan membantu mereka membina semula kota Yerusalem dan menjadikan Rumah Tuhan pusat ibadat sejati sekali lagi. (Yes. 51:11; Za. 8:3) Nubuat di Yesaya bab 65 mula menjadi kenyataan buat kali kedua pada 1919. Pada tahun itu, penyembah Yehuwa pada zaman moden dibebaskan dari Babilon Besar. Kemudian, firdaus rohani mulai wujud di serata dunia. Penyiar yang bersemangat telah menubuhkan banyak sidang dan berusaha memupuk sifat-sifat Kristian. Hasilnya, lelaki dan wanita yang dahulunya bersifat seperti binatang buas telah “mengenakan keperibadian baharu yang diciptakan menurut kehendak Tuhan.” w24.04 20-21 ¶3-4
Isnin, 25 Mei
Setiap orang harus memikul tanggungan masing-masing.—Gal. 6:5.
Di sesetengah negara, adalah biasa bagi ibu bapa atau orang dewasa lain cari pasangan bagi ahli keluarga mereka yang bujang. Di tempat lain pula, keluarga atau sahabat mungkin mencarikan bakal teman hidup lalu mengaturkan agar kedua-dua pihak berjumpa dan lihat jika mereka mahu berdating. Jika anda diminta untuk cari bakal teman hidup untuk orang lain, fikirkan keperluan dan keinginan kedua-dua pihak. Selepas jumpa orang yang anda rasa sesuai, luangkan masa untuk kenal orang itu dan sifatnya dengan lebih baik. Hal terpenting ialah kerohaniannya kerana hubungan seseorang dengan Yehuwa jauh lebih penting daripada wang, pendidikan, atau kedudukan. Namun ingatlah, keputusan terakhir untuk berkahwin atau tidak ialah keputusan saudara atau saudari bujang itu. w24.05 23 ¶11
Selasa, 26 Mei
Sahabat sejati sentiasa menunjukkan kasih.—Ams. 17:17.
Kita dapat membantu pasangan yang sedang berdating dengan mengawal pertuturan kita. (Ams. 12:18) Contohnya, kita mungkin tidak sabar untuk memberitahu orang bahawa mereka sedang berdating, padahal mereka mungkin sendiri ingin mengumumkan hal itu. Kita juga tidak patut bergosip tentang mereka atau mengkritik keputusan mereka. (Ams. 20:19; Rm. 14:10; 1 Tes. 4:11) Selain itu, kita tidak patut kata sesuatu atau tanya soalan yang memberi mereka tekanan untuk berkahwin. Apakah sepatutnya reaksi kita jika pasangan yang berdating mengakhiri hubungan mereka? Janganlah jaga tepi kain mereka atau menyalahkan mana-mana pihak. (1 Ptr. 4:15) Pasangan yang berpisah tidak semestinya membuat keputusan buruk. Tujuan mereka berdating masih tercapai kerana mereka telah buat keputusan tentang masa depan mereka. Meskipun begitu, mereka mungkin sedih selepas berpisah. Jadi, fikirlah cara untuk menyokong mereka. w24.05 31 ¶15-16
Rabu, 27 Mei
Jika kamu tawar hati pada masa kesusahan, kekuatanmu akan berkurang.—Ams. 24:10.
Salah satu cabaran yang paling menyedihkan ialah apabila seorang ahli keluarga atau sahabat rapat meninggalkan Yehuwa. (Mzm. 78:40) Semakin rapat kita dengan orang itu, semakin besar tamparan itu bagi kita. Jika itulah perasaan anda, contoh Zadok dapat membantu anda. Dia tetap setia kepada Yehuwa biarpun kawan baiknya Abiatar meninggalkan Yehuwa. Hal ini berlaku semasa Daud hampir meninggal. Anaknya Adonia cuba merampas takhtanya biarpun Yehuwa telah berjanji bahawa Salomo akan menjadi raja. (1 Taw. 22:9, 10) Abiatar memilih untuk menyokong Adonia. (1 Raj. 1:5-8) Dengan berbuat demikian, Abiatar bukan sahaja tidak setia kepada Daud dan Zadok, malah tidak setia kepada Yehuwa! Selama puluhan tahun, Zadok dan Abiatar telah bekerja bersama-sama sebagai imam.—2 Sam. 8:17; 19:11-14. w24.07 6 ¶14-15
Khamis, 28 Mei
Berbahagialah orang yang sentiasa berjaga-jaga.—Ams. 28:14, nota kaki.
Yakinlah bahawa usaha kita untuk tetap berjaga-jaga dan menjauhi godaan amat berbaloi. Biarpun menuruti keinginan berdosa mungkin seronok, itu hanya “bersifat sementara.” (Ibr. 11:25) Tetapi jika kita patuhi Yehuwa, kita akan lebih bahagia kerana Dia menciptakan kita untuk hidup menurut standard-Nya. (Kej. 1:27; Mzm. 19:8) Kita akan ada hati nurani yang murni dan berpeluang untuk hidup kekal. (1 Tim. 6:12; 2 Tim. 1:3; Yud. 20, 21) Memang benar kata-kata Yesus bahawa ‘tubuh kita lemah.’ (Mat. 26:41) Namun itu tidak bermaksud bahawa kita tidak mampu buat apa-apa. Yehuwa sedia beri kita kuasa yang diperlukan. (2 Kor. 4:7) Dia berjanji untuk beri kita kuasa luar biasa. Tetapi kita perlu guna kuasa sendiri terlebih dahulu untuk jauhi godaan setiap hari. Itulah tanggungjawab kita. Yehuwa pasti beri kita kuasa luar biasa ketika kita memerlukannya. (1 Kor. 10:13) Dengan bantuan Yehuwa, kita dapat terus berjaga-jaga agar dapat lawan godaan. w24.07 19 ¶19-21
Jumaat, 29 Mei
Orang yang mengamalkan perbuatan yang berdosa haruslah ditegur di hadapan umum.—1 Tim. 5:20.
Kata-kata Paulus kepada Timotius dalam ayat harian hari ini menunjukkan apa yang harus dilakukan kepada “orang yang mengamalkan perbuatan yang berdosa.” Adakah Paulus bermaksud pengumuman perlu dibuat kepada seluruh sidang tentang hal itu? Tidak semestinya. Sebaliknya, Paulus memaksudkan orang yang sudah tahu tentang dosa orang itu. Mereka mungkin menyaksikan sendiri perbuatannya atau mendengar pengakuannya. Dalam keadaan sebegini, para penatua akan jumpa mereka secara peribadi dan beritahu bahawa kes itu sudah ditangani dan pendosa itu sudah ditegur. Dalam sesetengah situasi, perbuatan salah itu mungkin sudah atau akan diketahui banyak orang dalam sidang. Jika begitu, seorang penatua akan umumkan kepada seluruh sidang bahawa pendosa itu sudah ditegur. Apabila pendosa “ditegur di hadapan umum” dalam cara sebegini, itu menjadi “amaran kepada orang lain” agar tidak jatuh ke dalam dosa. w24.08 23-24 ¶16-17
Sabtu, 30 Mei
Inilah firman yang benar daripada Tuhan.—Why. 19:9.
Kita harus sibuk berkhidmat kepada Yehuwa sampai akhir datang. Orang Kristian terurap mesti tetap berjaga-jaga agar “dibawa pergi” ke syurga. (Mat. 24:40) Itulah ganjaran yang dinantikan mereka. Mereka akan “dikumpulkan bersama-sama” Yesus di syurga dan menjadi pengantin perempuannya selepas perang Armagedon. (2 Tes. 2:1) Walaupun masa penghakiman sudah sangat dekat, kita tidak perlu takut. Jika kita tetap setia, Bapa kita yang pengasih akan memberi kita “kuasa luar biasa” agar kita “dapat berdiri di hadapan Anak Manusia.” (2 Kor. 4:7; Luk. 21:36) Tidak kira harapan kita adalah untuk hidup di syurga atau di bumi, kita akan menggembirakan hati Yehuwa jika kita mendengarkan amaran yang terkandung dalam perumpamaan Yesus. Oleh sebab Yehuwa begitu baik hati, Dia akan membantu kita supaya nama kita ditulis dalam “kitab kehidupan.”—Why. 3:5; Dan. 12:1. w24.09 24-25 ¶19-20
Ahad, 31 Mei
Aku berasa bahawa sungguh baik untuk mendekati Tuhan.—Mzm. 73:28.
Kita dapat menikmati fikiran yang tenang dengan bantuan Firman Tuhan. Bagaimana? Renungkanlah nilai harta rohani yang anda miliki, termasuk harta anda di syurga, dan bandingkannya dengan apa yang orang dapat nikmati di dunia ini. Bagi mereka, mengejar hidup yang selesa sekarang ialah hal terpenting kerana mereka tiada harapan masa depan. Tetapi Yehuwa telah berjanji untuk memberi anda masa depan indah yang tiada tolok bandingnya. (Mzm. 145:16) Fikirkan juga hal ini: Apakah yang menjamin bahawa kehidupan anda sekarang akan jauh lebih bagus jika anda tidak membuat pengorbanan demi Yehuwa? Ingatlah: Orang yang membuat pilihan berdasarkan kasih mereka untuk Tuhan dan orang lain pasti menikmati kehidupan yang terbaik. w24.10 27 ¶12-13