Jumaat, 16 Oktober
Janganlah biarkan hatimu terpikat sehingga mengikut haluan perempuan itu, dan janganlah menyimpang ke jalannya.—Ams. 7:25.
Kata-kata Salomo menunjukkan bahaya yang mungkin menimpa mana-mana penyembah Yehuwa. Seseorang mungkin terjebak dalam dosa serius dan berasa semua itu berlaku secara tiba-tiba. Namun, jika dia fikir kembali, dia mungkin sedar bahawa dia telah terlibat dalam pergaulan buruk, menikmati hiburan yang tidak sihat, sering melawat tempat yang tidak sesuai bagi orang Kristian, atau melayari laman web yang tidak senonoh. Dia juga mungkin telah mengabaikan tabiat berdoa, membaca Bible, menghadiri perjumpaan, atau menginjil. Seperti pemuda di Amsal bab 7, dia telah mengambil langkah yang menyebabkannya beransur-ansur berdosa. Apakah pengajarannya? Kita bukan sahaja perlu menjauhi perbuatan berdosa, tetapi perlu menjauhi hal-hal yang menjurus kepada dosa. Itulah yang ditekankan oleh Salomo selepas menulis kisah tentang pemuda dan perempuan jalang itu.—Mat. 5:29, 30. w24.07 16 ¶10-11
Sabtu, 17 Oktober
Walaupun kami seperti bekas tanah liat, tugas suci yang bagaikan harta karun telah diberikan kepada kami.—2 Kor. 4:7.
Harta karun ialah tugas suci untuk menyebarkan mesej Kerajaan Tuhan yang membawa penyelamatan. (2 Kor. 4:1) Bekas tanah liat pula ialah hamba Tuhan yang menyebarkan berita baik. Pada zaman Paulus, pedagang biasanya menggunakan bekas tanah liat untuk menghantar barang berharga, seperti makanan, wain, dan duit. Begitu juga, Yehuwa menggunakan kita untuk “menghantar” sesuatu yang berharga, iaitu berita baik. Dengan bantuan Yehuwa, kita dikuatkan untuk menginjil dengan setia. Bagaimanakah jika kita takut akan reaksi orang? Perhatikan apa yang para rasul doakan semasa dilarang menginjil. Daripada tunduk kepada rasa takut, mereka minta Yehuwa untuk membantu mereka terus menginjil dengan berani. Yehuwa segera mengabulkan doa mereka. (Kis. 4:18, 29, 31) Jika anda berasa takut akan manusia, mintalah Yehuwa menguatkan kasih anda terhadap orang lain agar anda tidak lagi takut. w24.04 16 ¶8-9
Ahad, 18 Oktober
Bapa kami yang di syurga, semoga nama-Mu disucikan.—Mat. 6:9.
Kasih terhadap Yehuwa mendorong kita untuk menyucikan nama-Nya. Syaitan telah memfitnah dan memburuk-burukkan nama Yehuwa. (Kej. 3:1-5; Ayb. 2:4; Yoh. 8:44) Jadi kita mahu menyucikan nama Tuhan semasa menginjil dan mengumumkan kebenaran tentang-Nya kepada semua orang yang sudi mendengar. Kita berharap mereka akan tahu bahawa sifat utama-Nya ialah kasih, cara pemerintahan-Nya adil dan benar, dan bahawa Kerajaan-Nya akan melenyapkan segala penderitaan dan membawa kehidupan yang damai dan bahagia. (Mzm. 37:10, 11, 29; 1 Yoh. 4:8) Apabila kita mempertahankan nama Yehuwa dan memberitahu orang kebenaran tentang-Nya, kita sedang menyucikan nama-Nya. Kita juga berasa puas kerana dapat hidup selaras dengan nama kita sebagai Saksi-Saksi Yehuwa. w24.05 18 ¶12