Julai
Rabu, 1 Julai
Aku tidak pernah melihat orang yang berbuat benar ditinggalkan Tuhan.—Mzm. 37:25.
Sesetengah hamba Yehuwa berasa tawar hati kerana apa yang mereka dapat buat terbatas akibat usia tua, masalah kesihatan, atau kerana kurang upaya. Mereka mungkin fikir, “Adakah saya masih berguna bagi Yehuwa?” Penulis Mazmur 71 pun ada perasaan yang sama. Dia berdoa, “Janganlah tinggalkan aku semasa aku menjadi lemah.” (Mzm. 71:9, 18) Biarpun dia berasa kemampuannya terbatas, dia yakin bahawa jika dia terus setia menyembah Yehuwa, Yehuwa akan membimbing dan menyokongnya. Dia tahu Yehuwa gembira dengan orang yang berusaha berkhidmat kepada-Nya biarpun sudah tua atau lemah. (Mzm. 37:23-25) Warga emas sekalian, lihatlah situasi anda dari sudut pandangan Yehuwa. Biarpun anda lemah secara fizikal, Dia dapat menguatkan anda secara rohani. (Mzm. 92:12-15) Janganlah fikir tentang apa yang tidak dapat anda buat. Sebaliknya, bertumpulah kepada apa yang dapat anda buat. w24.10 28 ¶14-16
Khamis, 2 Julai
Mengenai persoalan makan makanan yang dipersembahkan kepada berhala, kita tahu bahawa berhala langsung tidak bernilai.—1 Kor. 8:4.
Orang Kristian yang tidak matang biasanya susah buat keputusan jika tiada hukum spesifik dalam Bible. Mereka mungkin berfikir boleh bertindak sesuka hati, atau minta orang lain buat peraturan bagi mereka. Nampaknya, orang Kristian di Korintus telah menanya Paulus jika mereka boleh makan makanan yang dipersembahkan kepada berhala. Namun, daripada membuat peraturan, Paulus menjelaskan bahawa setiap orang ada ‘hak untuk membuat pilihan’ berdasarkan hati nurani sendiri. Dia juga sebut beberapa prinsip Bible yang bantu mereka membuat keputusan yang tidak mengganggu hati nurani sendiri dan tidak membuat orang lain tersandung. (1 Kor. 8:7-9) Dengan itu, Paulus membantu orang Kristian di Korintus menjadi matang secara rohani. Dia berharap agar mereka dapat menggunakan daya penilaian sendiri untuk buat keputusan tanpa memerlukan hukum spesifik atau bergantung pada orang lain. w24.04 5 ¶14
Jumaat, 3 Julai
Aku, Yehuwa, memeriksa hati manusia, agar Aku dapat memperlakukan setiap orang menurut tingkah lakunya.—Yer. 17:10.
Yesus pernah berkata bahawa “orang yang berbuat jahat” juga akan “bangkit dan dihakimi.” (Yoh. 5:29) Memandangkan orang Niniwe pada zaman Yunus diberi peluang untuk bertaubat, kita boleh simpulkan bahawa beberapa orang Sodom dan Gomora juga mungkin dibangkitkan “pada Hari Penghakiman” dan diberi peluang untuk bertaubat. Kita mungkin berpeluang mengajar mereka tentang Yehuwa dan Yesus. Yehuwa sentiasa ‘memeriksa hati dan menyelidiki fikiran manusia yang tersembunyi.’ Semasa memutuskan siapa yang akan Dia bangkitkan, Dia akan sentiasa “memperlakukan setiap orang menurut tingkah lakunya.” Yehuwa selalu cari peluang untuk menunjukkan belas kasihan dan hanya bersikap tegas jika perlu. Jadi, kita tidak patut membuat andaian bahawa seseorang tidak akan dibangkitkan, kecuali kita tahu Bible memang berkata demikian! w24.05 5-6 ¶15-16
Sabtu, 4 Julai
Janganlah takut. Aku akan menolongmu.—Yes. 41:13.
Sejak dulu lagi, perkhabaran daripada Tuhan menguatkan hamba-hamba-Nya untuk melakukan tugas yang mencabar. Fikirkan contoh Yeremia. Semasa Yehuwa menyuruhnya menjalankan kerja penyebaran, Yeremia berasa kurang yakin dan berkata, “Aku tidak pandai berkata-kata kerana aku masih sangat muda.” (Yer. 1:6) Bagaimanakah dia mengatasinya? Dia membiarkan firman Tuhan menguatkannya. Yeremia berkata, “Firman-Nya membara dalam hatiku, seperti api yang terkurung dalam tulang-tulangku. Aku letih kerana berusaha menahannya.” (Yer. 20:8, 9) Walaupun kawasan penyebaran Yeremia mencabar, mesej yang harus disebarkannya telah menguatkannya. Orang Kristian dapat meraih kekuatan daripada mesej dalam Bible. Paulus berkata bahawa pengetahuan yang tepat dapat menggerakkan rakan seimannya agar hidup “selaras dengan kehendak Yehuwa” dan terus “membuahkan hasil dalam setiap kerja baik.”—Kol. 1:9, 10. w24.04 14-15 ¶2-4
Ahad, 5 Julai
Imam Zadok mengurapi Salomo.—1 Raj. 1:39.
Zadok setia kepada Yehuwa meskipun Imam Agung Abiatar sokong anak Daud, iaitu Adonia, yang merancang untuk merampas takhta. Daud tahu bahawa Zadok seorang yang setia. Semasa mengetahui rancangan Adonia, Daud minta bantuan Zadok, Natan, dan Benaya untuk melantik Salomo sebagai raja. (1 Raj. 1:32-34) Teladan penyembah Yehuwa yang setia, seperti Natan dan penyokong Daud yang lain, pasti telah kuatkan dan galakkan Zadok. Selepas Salomo jadi raja, dia melantik Zadok sebagai “imam untuk menggantikan Abiatar.” (1 Raj. 2:35) Bagaimanakah anda dapat tiru Zadok? Jika orang yang rapat dengan anda memilih untuk tinggalkan Yehuwa, anda boleh pilih untuk tetap setia kepada Yehuwa. (Yos. 24:15) Yehuwa akan beri anda kekuatan dan keberanian yang diperlukan. Bergantunglah pada-Nya melalui doa dan teruslah bergaul rapat dengan rakan seiman yang setia. Yehuwa hargai kesetiaan anda dan akan berkati anda.—2 Sam. 22:26. w24.07 6-7 ¶16-17
Isnin, 6 Julai
Teruslah berbuat baik tanpa berputus asa.—Gal. 6:9.
Di Mazmur 15:2, sahabat Yehuwa digambarkan sebagai “orang yang hidup tanpa cela, yang mengamalkan perbuatan yang baik.” Ungkapan “hidup” dan “mengamalkan” menunjukkan bahawa kita perlu buat sesuatu secara berterusan. Namun, dapatkah kita “hidup tanpa cela”? Sudah tentu. Biarpun tiada manusia yang sempurna, jika kita berusaha mematuhi Yehuwa, Dia akan anggap kita “hidup tanpa cela.” Semasa membaktikan diri kepada Tuhan dan dibaptis, persahabatan kita dengan-Nya baru bermula. Pada zaman Bible, seseorang yang berbangsa Israel tidak semestinya memenuhi syarat untuk menjadi tetamu Yehuwa. Ada yang berseru kepada Tuhan tetapi “tidak melakukannya berdasarkan kebenaran dan keadilan.” (Yes. 48:1) Orang Israel yang ingin menjadi tetamu Yehuwa mesti belajar standard Yehuwa dan mematuhinya. Begitu juga, untuk mendapat perkenan Tuhan hari ini, sekadar dibaptis dan bergaul dengan sidang tidak cukup. Kita harus terus “mengamalkan perbuatan yang baik.” w24.06 9 ¶4; 10 ¶6
Selasa, 7 Julai
Ikutlah teladan Tuhan.—Ef. 5:1.
Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kemurahan hati? Perhatikan beberapa contoh. Yehuwa menyediakan barang keperluan kita. Dia tidak selalunya beri kita barang yang mewah, namun Dia memastikan kita ada keperluan asas seperti makanan, pakaian, dan tempat tinggal. (Mzm. 4:8; Mat. 6:31-33; 1 Tim. 6:6-8) Adakah Yehuwa buat demikian hanya kerana Dia wajib melakukannya? Tidak! Perhatikan kata-kata Yesus di Matius 6:25, 26. Dia kata, “Perhatikanlah burung di langit yang tidak menyemai benih, menuai, atau mengumpulkan hasil ke dalam jelapang. Namun Bapa kamu yang di syurga masih memberi burung makanan.” Kemudian Yesus bertanya, “Bukankah kamu jauh lebih berharga daripada burung-burung?” Apakah pengajarannya? Jika Yehuwa jaga keperluan binatang, Dia tentu akan jaga keperluan kita! Yehuwa ialah Bapa yang penyayang, dan kita ialah keluarga-Nya. Maka Dia pasti jaga kita kerana Dia mengasihi kita.—Mzm. 145:16; Mat. 6:32. w24.09 26-27 ¶4-6
Rabu, 8 Julai
Lelaki yang berkhidmat dengan baik dapat memperoleh nama yang baik. Mereka juga dapat bercakap dengan penuh keberanian sehubungan dengan kepercayaan.—1 Tim. 3:13.
Pembantu sidang merupakan saudara terbaptis yang dilantik menerusi kuasa suci Tuhan. Mereka membantu para penatua melakukan banyak kerja penting dalam sidang. Pembantu sidang mesti berfikiran rohani. Mereka mesti mengasihi Yehuwa, hidup selaras dengan standard-Nya, dan mengasihi saudara saudari dengan mendalam. (Mat. 22:37-39) Bagaimanakah saudara yang terbaptis dapat memenuhi syarat untuk menjadi pembantu sidang? Bible mengandungi syarat-syarat bagi mereka yang ingin dilantik sebagai pembantu sidang. (1 Tim. 3:8-10, 12) Jika anda ingin menjadi pembantu sidang, kajilah syarat-syarat ini dan berusahalah untuk memenuhinya. Namun, anda perlu memeriksa niat hati anda terlebih dahulu. w24.11 14-15 ¶4-5
Khamis, 9 Julai
Kamu menerimanya bukan sebagai perkhabaran daripada manusia, tetapi sebagai perkhabaran daripada Tuhan. Perkhabaran itu benar-benar daripada Tuhan.—1 Tes. 2:13.
Sesetengah orang kata mereka sudah baca Bible banyak kali. Namun, adakah mereka benar-benar mempercayai Bible? Adakah mereka menerapkan nasihatnya atau ubah hidup mereka agar selaras dengan ajaran Bible? Jawapannya sering kali ialah “tidak.” Namun umat Yehuwa sangat berbeza. Kita berusaha menerapkannya dalam kehidupan kita. Namun, kita mungkin menghadapi banyak cabaran untuk baca dan terapkan Firman Tuhan. Contohnya, kita mungkin terlalu sibuk, membaca dengan terlalu cepat sehingga tiada masa untuk buat perenungan, atau berasa tawar hati kerana perlu buat terlalu banyak perubahan. Namun ingatlah, tidak kira apa cabaran anda, dengan bantuan Yehuwa, anda dapat mengatasinya. Semoga kita bertekad untuk menerapkan Firman Tuhan. Dengan itu, kita akan jadi lebih bahagia.—Yak. 1:25. w24.09 7 ¶15-16
Jumaat, 10 Julai
Teruslah meminta, dan kamu akan menerimanya.—Luk. 11:9.
Apabila hal buruk berlaku kepada kita, Yehuwa melegakan kita menerusi kuasa suci-Nya. Jika anda alami cubaan besar, curahkanlah isi hati anda kepada Yehuwa. Anda boleh berdoa seberapa kerap dan lama yang anda mahu. (Mzm. 86:3; 88:1) Teruslah minta Yehuwa beri anda kuasa suci-Nya. Dia pasti tunaikan permintaan anda. Adakah anda rasa lemah setelah mengharungi cubaan yang berat? Kuasa suci Tuhan dapat beri anda kekuatan untuk terus setia menyembah-Nya. (Ef. 3:16) Selepas minta kuasa suci Tuhan, apakah yang perlu anda buat? Sertailah aktiviti yang memberi anda lebih banyak peluang untuk menerima kuasa suci-Nya, seperti pergi perjumpaan dan menginjil. Selain itu, bacalah Bible setiap hari agar minda anda diisi dengan fikiran Yehuwa. (Flp. 4:8, 9) Semasa baca Bible, perhatikan watak Bible yang hadapi kesusahan dan renungkan cara Yehuwa bantu mereka bertabah. w24.10 9 ¶12-14
Sabtu, 11 Julai
Tuhan begitu mengasihi dunia ini.—Yoh. 3:16.
Seperti Yehuwa dan Yesus, kita mengasihi orang. (Ams. 8:31) Kita mengasihani orang yang hidup “tanpa Tuhan” dan “tanpa harapan.” (Ef. 2:12) Mereka ditenggelami masalah kehidupan, tetapi kita mempunyai pelampung keselamatan yang mereka perlukan, iaitu berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Kasih dan belas kasihan untuk mereka mendorong kita untuk berusaha menginjil kepada mereka. Kebenaran Bible dapat memberi mereka harapan, membantu mereka menjalani kehidupan yang bermakna sekarang, dan memberi mereka peluang untuk menikmati “kehidupan yang sejati,” iaitu kehidupan kekal di dunia baharu. (1 Tim. 6:19) Kasih kita untuk orang juga mendorong kita untuk memberi mereka amaran bahawa akhir dunia jahat ini sudah dekat. (Yeh. 33:7, 8) Kita mahu mereka tahu bahawa semasa kesengsaraan besar, agama palsu akan dihapuskan, dan semasa Armagedon, seluruh sistem dunia Syaitan akan dihancurkan.—Why. 16:14, 16; 17:16, 17; 19:11, 19, 20. w24.05 16-17 ¶8-9
Ahad, 12 Julai
Hai saudara yang dikasihi, janganlah membalas dendam. Tetapi biarlah Tuhan memperlihatkan kemurkaan-Nya terhadap kejahatan yang dilakukan, kerana ada tertulis, “Yehuwa berfirman, ‘Akulah yang akan menuntut pembalasan, dan Akulah yang akan membalas kejahatan.’”—Rm. 12:19.
Paulus menggesa orang Kristian, “Biarlah Tuhan memperlihatkan kemurkaan-Nya.” Maksudnya, kita biarkan Yehuwa memutuskan bila dan bagaimana Dia akan menegakkan keadilan. Selepas dilayan dengan buruk, John berkata, “Saya perlu kawal keinginan untuk betulkan situasi itu dengan cara sendiri. Roma 12:19 bantu saya sabar menantikan Yehuwa.” Jika kita atasi ketidakadilan dengan cara sendiri, kita akan stres dan kecewa. Namun, jika kita serahkannya kepada Yehuwa, kita tidak perlu dibebani perasaan itu. Yehuwa ingin bantu kita. Dia seolah-olah berkata, “Biarlah Aku mengurus perkara ini.” Jika kita percaya Yehuwalah yang akan tegakkan keadilan dan pasti bertindak dalam cara yang terbaik, kita tidak perlu lagi berdendam. w24.11 6 ¶14-15
Isnin, 13 Julai
Berilah kami makanan yang kami perlukan setiap hari.—Luk. 11:3.
Kita mesti berhati-hati agar tidak terlalu utamakan keperluan fizikal. Dalam suratnya kepada orang Kristian, Paulus menulis tentang sejarah orang Israel, termasuk peristiwa berdekatan Gunung Sinai, dan ingatkan mereka agar “tidak menginginkan perkara yang jahat seperti yang diinginkan oleh [orang Israel].” (1 Kor. 10:6, 7, 11) Yehuwa telah sediakan makanan secara mukjizat, tetapi oleh sebab orang Israel tamak, pemberian Yehuwa jadi “perkara yang jahat” bagi mereka. (Bil. 11:4-6, 31-34) Semasa mereka sembah patung anak lembu, mereka menunjukkan bahawa makan, minum, dan berseronok, lebih penting daripada mematuhi Tuhan. (Kel. 32:4-6) Paulus guna contoh mereka sebagai amaran bagi orang Kristian yang hidup sebelum Yerusalem dibinasakan pada 70 M. Kita juga hidup sebelum dunia jahat Syaitan dibinasakan, maka kita patut anggap serius amaran Paulus. w24.12 6 ¶13
Selasa, 14 Julai
Bersukacitalah dengan isteri yang kamu kahwini sejak muda.—Ams. 5:18.
Yehuwa ialah “Tuhan yang gembira,” dan Dia juga mahu kita hidup gembira. (1 Tim. 1:11) Yehuwa telah memberi kita banyak kurniaan supaya kita dapat menikmati hidup. (Yak. 1:17) Salah satu kurniaan itu ialah perkahwinan. Semasa seorang lelaki dan seorang wanita berkahwin, mereka berikrar untuk saling mengasihi dan menghormati. Jika mereka terus mengasihi satu sama lain, mereka akan sangat bahagia. Sedihnya, banyak suami isteri lupa akan ikrar perkahwinan mereka. Akibatnya, mereka tidak bahagia. Bagaimanakah Yehuwa mahu suami melayan isteri? Yehuwa memerintahkan suami untuk menghormati isteri. Seorang suami menghormati isterinya semasa dia melayannya dengan baik dan penuh kasih.—1 Ptr. 3:7. w25.01 8 ¶1-2; 9 ¶4-5
Rabu, 15 Julai
Yehuwa ialah penolongku; aku tidak akan berasa takut.—Ibr. 13:6.
Surat Paulus kepada orang Kristian Ibrani tentu telah membantu mereka menghadapi kesengsaraan yang bakal menimpa mereka. Paulus menggesa saudara saudarinya untuk mengenali dan memahami Ayat-Ayat Suci dengan lebih baik. Dengan itu, mereka dapat mengenal pasti dan menolak ajaran yang dapat melemahkan iman mereka. Dia juga menggalakkan mereka untuk menguatkan iman mereka agar dapat mengikut arahan Yesus dan saudara yang mengambil pimpinan dengan segera. Selain itu, Paulus menggalakkan mereka untuk memandang cubaan sebagai peluang untuk dilatih oleh Yehuwa. Hasilnya, mereka dapat lebih bertabah semasa menghadapi cubaan. Semoga kita juga menerapkan nasihat praktikal yang diberikan oleh Paulus. Dengan itu, kita pasti berjaya bertabah sampai akhir.—Ibr. 3:14. w24.09 12-13 ¶17, 19
Khamis, 16 Julai
Kita telah disucikan menerusi tubuh Yesus Kristus yang dipersembahkan sekali untuk selama-lamanya.—Ibr. 10:10.
Menurut Bible, tebusan ialah harga yang dibayar agar dosa kita diampunkan dan kita dapat berbaik semula dengan Yehuwa. Yehuwa telah menetapkan harga tebusan untuk mendapat kembali apa yang Adam hilangkan. Apakah harganya? Adam dan Hawa telah hilang nyawa yang sempurna dan harapan untuk hidup kekal. Oleh itu, tebusan yang dibayar haruslah sama nilai dengan apa yang dihilangkan. (1 Tim. 2:6) Jadi, tebusan hanya dapat dibayar oleh seorang lelaki dewasa yang (1) ada nyawa yang sempurna; (2) ada harapan untuk hidup selamanya di bumi; dan (3) sudi mengorbankan nyawanya bagi kita. Perhatikan tiga sebab Yesus dapat bayar tebusan. (1) Dia dilahirkan sempurna dan “dia tidak melakukan dosa.” (1 Ptr. 2:22) (2) Oleh sebab dia tidak buat dosa, dia ada harapan untuk hidup kekal di bumi. (3) Dia rela mengorbankan nyawanya bagi kita.—Ibr. 10:9. w25.02 4-5 ¶11-12
Jumaat, 17 Julai
Tuhan memberikan kuasa suci-Nya secara berlimpah-limpah.—Yoh. 3:34.
Tidak kira apa masalah yang anda hadapi untuk dibaptis, yakinlah bahawa Yehuwa mengasihi anda dan ingin anda menjadi ahli keluarga-Nya. Yesus berkata kepada sekumpulan muridnya, “Jika kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu dapat berkata kepada gunung ini, ‘Beralihlah dari sini ke sana,’ lalu gunung ini akan beralih. Tiada apa-apa pun yang mustahil bagi kamu.” (Mat. 17:20) Murid-murid itu telah mengikut Yesus untuk beberapa tahun sahaja, maka iman mereka masih sedang bertumbuh. Namun, Yesus meyakinkan mereka bahawa jika iman mereka kuat, Yehuwa akan membantu mereka mengatasi masalah yang bagaikan gunung. Sudah pasti Yehuwa juga akan membantu anda! Jika ada sesuatu yang menghalang anda daripada dibaptis, bertindaklah dengan segera untuk mengatasinya. Baktikanlah diri kepada Yehuwa dan dibaptis. Inilah keputusan terbaik dalam hidup anda! w25.03 7 ¶18-20
Sabtu, 18 Julai
Aku tidak takut kerana Yehuwa berada di pihakku.—Mzm. 118:6.
Jika kita ingat bahawa Tuhan yang hidup sedia membantu kita, kita dapat menghadapi cubaan dengan berjaya. Untuk menguatkan keyakinan kita terhadap Tuhan, kita boleh memikirkan apa yang pernah dilakukan-Nya pada masa lalu. (Yes. 37:17, 33-37) Kita juga dapat membaca pengalaman di jw.org tentang bagaimana Yehuwa telah menyokong saudara saudari kita pada zaman moden. Ingatlah juga bagaimana kita sendiri pernah merasai bantuan Yehuwa. Biarpun pengalaman kita tidaklah luar biasa, jangan lupa bahawa Yehuwa telah banyak kali membantu kita. Misalnya, Dia telah memimpin kita kepada-Nya. (Yoh. 6:44) Maka, mintalah Yehuwa membantu anda mengingat semula bagaimana Dia telah menjawab doa anda, menolong anda tepat pada masanya, atau menguatkan anda untuk mengharungi masalah dengan tabah. Apabila anda merenungkan pengalaman sebegini, anda akan lebih yakin bahawa Yehuwa akan terus membantu anda. w24.06 21 ¶8
Ahad, 19 Julai
Kematian tersebar kepada semua orang kerana mereka semua berdosa.—Rm. 5:12.
Biarpun kita bertekad untuk tidak meninggalkan Yehuwa dalam apa jua situasi, kita tidak sempurna dan cenderung berdosa. (Rm. 7:21-23) Kita mungkin tiba-tiba berdepan dengan situasi yang menggoda kita untuk berdosa. Untuk membantu kita tetap setia kepada Yehuwa dan Anak-Nya, kita perlu mengikut nasihat Yesus untuk terus berjaga-jaga dan melawan godaan. Kita semua menghadapi godaan, tetapi kelemahan kita berbeza-beza. Ada yang cenderung melakukan dosa yang serius seperti perbuatan seks yang tidak bermoral. Yang lain pula cenderung melakukan amalan yang najis seperti melancap atau melihat pornografi. Ada juga yang bergelut dengan pemikiran yang salah seperti takut akan manusia, kesombongan, panas baran, atau hal-hal lain. w24.07 14 ¶3; 15 ¶5
Isnin, 20 Julai
Hendaklah kamu rela mengampuni dia dan melegakan hatinya, supaya dia tidak terlalu sedih sehingga putus asa.—2 Kor. 2:7.
Bayangkan apa yang akan berlaku jika para penatua enggan menerima kembali pendosa yang bertaubat, atau jika selepas dia kembali, saudara saudari enggan menunjukkan kasih terhadapnya. Dia mungkin berasa “terlalu sedih sehingga putus asa.” Dia bahkan mungkin berfikir bahawa mustahil dia dimaafkan oleh Yehuwa dan diterima oleh sidang, maka tiada gunanya dia mengubah sikapnya. Yang lebih teruk lagi, jika saudara saudari dalam sidang enggan memaafkan pendosa yang bertaubat, mereka sedang merosakkan hubungan mereka sendiri dengan Yehuwa. Mengapa? Kerana mereka sedang meniru sikap Syaitan yang kejam dan tidak berbelas kasihan. Yehuwa sudi mengampuni pendosa itu, tetapi mereka pula diperalatkan oleh Syaitan untuk menghalangnya daripada kembali kepada Yehuwa.—2 Kor. 2:10, 11; Ef. 4:27. w24.08 17 ¶7, 10-11
Selasa, 21 Julai
Ketika dia naik ke tempat yang tinggi, dia memberikan kurnia berupa manusia.—Ef. 4:8.
Selain memberikan pembantu sidang dan penatua sebagai “kurnia berupa manusia,” Yesus juga memberikan para penyelia lawatan untuk menguatkan sidang. (Kis. 15:40, 41) Pada abad pertama, di bawah arahannya, para penatua di Yerusalem utus Paulus, Barnabas, dan saudara lain untuk buat kerja lawatan. (Kis. 11:22) Penyelia litar perlu lawat banyak sidang. Ada yang perlu buat perjalanan jauh ke sidang seterusnya. Setiap minggu, penyelia litar perlu beri beberapa ceramah, buat kunjungan penggembalaan, adakan perjumpaan perintis di sidang, adakan mesyuarat penatua, dan mengendalikan perjumpaan sebelum kerja penyebaran. Mereka juga perlu atur perhimpunan dan konvensyen, sediakan ceramah untuk acara-acara ini, mengajar di sekolah perintis, dan atur perjumpaan perintis semasa perhimpunan litar. Ada kalanya, mereka ada tugasan tambahan daripada pejabat cawangan, dan sesetengah tugasan itu perlu segera ditangani. w24.10 21 ¶12-13
Rabu, 22 Julai
Aku akan mengampunkan kesalahan mereka dan Aku tidak akan mengingat dosa mereka.—Yer. 31:34.
Nabi Yeremia mencatatkan kata-kata Yehuwa dalam ayat harian hari ini. Paulus memetik kata-kata ini semasa dia menulis, “Aku tidak akan mengingat dosa-dosa mereka lagi.” (Ibr. 8:12) Apakah maksudnya? Dalam Bible, perkataan “mengingat” tidak selalunya bermaksud mengenang kembali atau berfikir tentang sesuatu. Perkataan ini juga membawa maksud mengambil tindakan. Fikirkan penjenayah yang dihukum mati di sebelah Yesus. Dia berkata, “Yesus, ingatlah aku apabila kamu masuk dalam Kerajaanmu.” (Luk. 23:42, 43) Adakah dia hanya meminta Yesus untuk mengenangnya pada masa depan? Tidak. Jawapan Yesus menunjukkan bahawa dia akan mengambil tindakan untuk membangkitkan penjenayah itu. Jadi, apabila Yehuwa berkata bahawa Dia tidak mengingat dosa kita lagi, maksudnya Dia tidak akan menghukum kita atas dosa yang sudah diampunkan-Nya. w25.02 11 ¶14-15
Khamis, 23 Julai
Pengetahuan tentang Tuhan Yang Maha Suci memberimu pemahaman.—Ams. 9:10.
Untuk mendapat pemahaman, kita perlu tahu sifat Yehuwa, tujuan-Nya, dan apa yang disukai atau dibenci-Nya. Maka tanyalah diri, “Berdasarkan apa yang saya tahu tentang Yehuwa, keputusan manakah yang dapat menyenangkan hati-Nya?” (Ef. 5:17) Kadangkala, kita mungkin terpaksa mengecewakan orang kesayangan kita demi menyenangkan Yehuwa. Misalnya, sesetengah ibu bapa mungkin mahu anak perempuan mereka kahwin dengan saudara yang kaya atau yang mampu bayar mas kahwin yang tinggi biarpun saudara itu lemah secara rohani. Barangkali, niat mereka baik kerana mahu anak perempuan mereka hidup selesa. Tetapi dapatkah saudara itu bantu anak perempuan mereka maju secara rohani? Apakah pandangan Yehuwa tentang hal ini? Matius 6:33 menggalakkan orang Kristian untuk “sentiasa mengutamakan Kerajaan Tuhan.” Jadi, biarpun kita hormat ibu bapa dan orang lain, kita akan utamakan perasaan Yehuwa. w25.01 17 ¶9-10
Jumaat, 24 Julai
Tuan berdiri berhampiranku dan memberikan kuasa kepadaku.—2 Tim. 4:17.
Kita perlukan bantuan Yehuwa untuk terus menginjil dengan bersemangat semasa ditentang. (Why. 12:17) Mengapakah anda dapat yakin bahawa Yehuwa akan menyokong anda? Dalam doa Yesus di Yohanes bab 17, dia meminta Yehuwa melindungi para rasul, dan Yehuwa menunaikan permintaannya. Buku Kisah mencatatkan bagaimana Yehuwa telah membantu para rasul untuk menginjil dengan bersemangat semasa dianiaya. Yesus juga minta Yehuwa melindungi orang yang mempercayai ajaran para rasul dan menjadi pengikutnya, termasuk anda. Sampai hari ini, Yehuwa masih sedang menjawab doa Yesus. Sepertimana Dia telah membantu para rasul, Dia juga akan membantu anda. (Yoh. 17:11, 15, 20) Seraya akhir semakin dekat, kita mungkin berasa lebih susah untuk menginjil dengan bersemangat, tetapi Yehuwa pasti membantu kita.—Luk. 21:12-15. w25.03 17-18 ¶13-14
Sabtu, 25 Julai
Hamba-hamba-Ku akan bersorak-sorai.—Yes. 65:14.
Umat Tuhan dapat “bersorak-sorai” kerana mereka sangat bersyukur kepada Yehuwa. Kebenaran dan janji dalam Bible, serta harapan yang berdasarkan korban tebusan Kristus, membuat “hati [kita] dipenuhi sukacita.” Kita sangat gembira semasa bercakap tentang hal-hal ini! (Mzm. 34:8; 133:1-3) Kasih dan perpaduan merupakan dua ciri penting firdaus rohani. (Kol. 3:14) Semasa melihat kasih dan perpaduan dalam kalangan umat Yehuwa hari ini, kita dapat membayangkan keadaan di dunia baharu nanti, di mana mereka akan menjadi lebih pengasih dan lebih bersatu padu. Seseorang yang mahu benar-benar gembira dan puas mesti berada di dalam firdaus rohani kita. Biarpun umat Yehuwa dipandang negatif oleh dunia ini, mereka sesungguhnya sekumpulan orang yang terhormat dalam mata Yehuwa dan keluarga besar-Nya.—Yes. 65:15. w24.04 21 ¶7-8
Ahad, 26 Julai
Teruslah menguatkan satu sama lain.—1 Tes. 5:11.
Bagaimanakah kita semua dapat menyokong orang Kristian bujang yang mahu berkahwin? Salah satu cara adalah melalui kata-kata kita. (Ef. 4:29) Tanyalah diri, “Adakah saya mengejek mereka yang ingin berkahwin? Semasa melihat seorang saudara dan saudari yang bujang sedang bercakap, adakah saya terus fikir mereka menyukai satu sama lain?” (1 Tim. 5:13) Selain itu, kita tidak mahu membuat orang Kristian yang bujang berasa bahawa mereka kekurangan sesuatu jika mereka tidak berkahwin. Bukankah lebih baik jika kita mencari peluang untuk memuji mereka yang bujang? Bagaimana pula jika anda rasa saudara saudari tertentu sangat serasi? Bible menggalakkan kita untuk memikirkan perasaan orang lain. (Rm. 15:2) Banyak orang bujang tidak mahu orang lain memperkenalkan bakal teman hidup mereka. Jadi kita harus hormat keputusan mereka. (2 Tes. 3:11) Yang lain pula mungkin menginginkan bantuan kita. Namun sebelum itu, tanyalah mereka dahulu.—Ams. 3:27. w24.05 24-25 ¶14-15
Isnin, 27 Julai
Tuhan-tuhan mereka tidak seperti Tuhan kita yang bagaikan gunung batu.—Ul. 32:31.
Dunia ini penuh dengan cubaan yang boleh membuat hidup kita tunggang terbalik. Namun, kita sangat bersyukur kerana Yehuwa berjanji untuk membantu kita. Apabila kita menerima bantuan Yehuwa, kita yakin bahawa Dia ialah “Tuhan yang hidup!” (Mzm. 18:46) Namun, selepas Daud memanggil Yehuwa Tuhan yang hidup, dia berkata bahawa Tuhan ialah ‘Gunung Batunya.’ Mengapakah Yehuwa digambarkan sebagai batu? Sering kali, semasa umat Yehuwa memuji sifat-sifat-Nya yang unggul, mereka menggambarkan-Nya sebagai “batu.” Kali pertama Yehuwa digambarkan sebagai “batu” dicatatkan di Ulangan 32:4. Bertahun-tahun kemudian, Hana berdoa, “Ya Tuhan, tiada batu yang kukuh seperti Engkau.” (1 Sam. 2:2) Habakuk menggelar Yehuwa sebagai “Batu Pelindungku.” (Hab. 1:12) Penulis Mazmur 73 berkata, “Tuhan . . . ialah gunung batuku.” (Mzm. 73:26) Sebenarnya, Yehuwa pun menggambarkan diri-Nya sebagai Gunung Batu.—Yes. 44:8. w24.06 26 ¶1, 3
Selasa, 28 Julai
Yehosafat menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati.—2 Taw. 22:9.
Raja-raja Israel yang setia menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati. Bible menyatakan, “Belum pernah ada seorang raja seperti Yosia, yang . . . kembali kepada Yehuwa dengan sepenuh hati.” (2 Raj. 23:25) Bagaimana pula dengan Salomo, yang pada mulanya setia tetapi kemudiannya menjadi jahat? Bible kata, “Dia tidak seperti bapanya Daud, yang menyembah Yehuwa, Tuhannya dengan sepenuh hati.” (1 Raj. 11:4) Mengenai Abiam, seorang lagi raja yang jahat, Bible menyatakan bahawa dia “tidak menyembah Yehuwa, Tuhannya, dengan sepenuh hati.” (1 Raj. 15:3) Apakah maksud menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati? Seseorang yang menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati tidak menyembah Yehuwa hanya kerana itulah tanggungjawabnya. Sebaliknya, dia menyembah Yehuwa kerana dia sangat mengasihi dan menghormati-Nya sepanjang hidupnya. w24.07 21 ¶4-5
Rabu, 29 Julai
Padamkanlah segala kesalahanku.—Mzm. 51:9.
Yehuwa guna satu contoh untuk gambarkan cara Dia menghapuskan dosa kita. Dia berkata, “Aku akan menghapuskan kesalahan kamu seolah-olah menutupinya dengan awan; Aku akan menghapuskan dosa-dosa kamu seolah-olah menyembunyikannya dengan awan tebal.” (Yes. 44:22) Apabila Yehuwa mengampuni, Dia seolah-olah guna awan tebal untuk menutupi atau menyembunyikan dosa kita agar tidak dilihat lagi. Apakah yang kita belajar daripada gambaran ini? Jika Yehuwa sudah mengampuni kita, kita tidak patut terus rasa bersalah kerana berfikir bahawa kesan dosa itu masih kelihatan. Ingatlah, melalui darah Kristus, Yehuwa sudah hapuskan rekod dosa kita dan anggap kita tidak pernah berdosa. Itulah cara Yehuwa ampuni kita semasa kita bertaubat. Belas kasihan-Nya juga membolehkan kita menjalin semula persahabatan dengan-Nya dan tidak perlu terus dibelenggu rasa bersalah. w25.02 10-11 ¶11-14
Khamis, 30 Julai
Tuhan menunjukkan kebaikan hati-Nya kerana Dia ingin memimpin kamu untuk bertaubat.—Rm. 2:4.
Para penatua dalam jawatankuasa bertanggungjawab kepada Yehuwa untuk pastikan sidang tetap bersih. (1 Kor. 5:7) Mereka juga berusaha bantu pendosa bertaubat. Maka, mereka akan tetap positif dan berharap pendosa itu ubah haluannya. Mengapa? Mereka mahu tiru Yehuwa yang “berbelas kasihan dan mempunyai kasih yang mendalam.” (Yak. 5:11) Perhatikan bagaimana Yohanes berbuat demikian. Dia menulis, “Anak-anak yang dikasihi, aku menulis kepada kamu tentang hal-hal ini supaya kamu tidak berbuat dosa. Namun jika seseorang berbuat dosa, kita mempunyai seorang penolong yang melakukan apa yang benar, iaitu Yesus Kristus, yang ada bersama Bapa.” (1 Yoh. 2:1) Sedihnya, ada yang enggan bertaubat. Jika begitu, mereka harus dikeluarkan daripada sidang. w24.08 25 ¶19-20
Jumaat, 31 Julai
Berpegang teguh pada iman.—1 Kor. 16:13.
Janganlah membandingkan diri dengan orang lain, kerana Yehuwa pun tidak buat demikian. (Gal. 6:4) Bagaimanakah kita tahu? Fikirkan dua contoh ini: Maria pernah memberi Yesus minyak wangi yang sangat mahal. (Yoh. 12:3-5) Seorang balu miskin pula hanya mampu menyumbangkan dua keping wang yang sangat kecil nilainya. (Luk. 21:1-4) Namun, Yesus anggap kedua-dua wanita itu sangat beriman. Yesus mencerminkan pandangan Yehuwa dengan sempurna. Jadi, Yehuwa pasti menghargai apa sahaja yang anda buat demi-Nya kerana anda mentaati dan mengasihi-Nya, walaupun anda rasa pemberian anda kecil sahaja. Kita semua akan ada keraguan dari masa ke masa. Namun, Bible dapat bantu kita mengatasinya, dan kita akan menjadi lebih yakin dan bersemangat. Ingatlah, Yehuwa ambil berat terhadap anda sebagai seorang individu. Dia menghargai pengorbanan anda dan mahu memberkati anda. Dia mengasihi dan ambil berat terhadap setiap hamba-Nya yang setia. w24.10 25 ¶3; 29 ¶17-18