April
Rabu, 1 April
Tuhan menghendaki agar setiap orang yang melihat Anak dan beriman kepadanya diberi kehidupan kekal.—Yoh. 6:40.
Untuk meraih manfaat daripada darah dan daging Yesus, kita perlu beriman kepada korban tebusan. (Ef. 1:7) Kita juga belajar bahawa semasa Perjamuan Malam Tuan, hanya mereka yang terlibat dalam perjanjian baharu dan mewarisi Kerajaan Tuhan di syurga patut makan roti dan minum wain. “Biri-biri lain” pula tidak patut makan roti dan minum wain. (Yoh. 10:16) Namun, mereka masih dapat meraih manfaat daripada darah dan daging Yesus. Bagaimana? Dengan beriman terhadap korban tebusan Yesus. (Yoh. 6:53) Maka sebagai kesimpulan, tidak kira kita ialah orang Kristian terurap atau biri-biri lain, semoga kita terus beriman kepada Yesus dan meraih kehidupan kekal. w24.12 12-13 ¶14, 16
Pembacaan Bible sempena Peringatan: (Peristiwa waktu siang: 12 Nisan) Matius 26:1-5, 14-16; Lukas 22:1-6
TARIKH PERINGATAN
Selepas Matahari Terbenam
Khamis, 2 April
Hai kawanan kecil, janganlah takut, kerana Bapa kamu berkenan untuk memberi kamu Kerajaan-Nya.—Luk. 12:32.
Semasa Perjamuan Malam Tuan, Yesus mengedarkan roti yang tidak beragi kepada para rasulnya dan memberitahu mereka bahawa roti itu melambangkan tubuhnya. Kemudian dia mengedarkan wain dan berkata bahawa wain itu melambangkan “darah perjanjian.” (Mrk. 14:22-25; Luk. 22:20; 1 Kor. 11:24) Perjanjian baharu hanya dibuat dengan “keturunan Israel [rohani]” yang akan mewarisi “Kerajaan Tuhan.” (Ibr. 8:6, 10; 9:15) Kata-kata Yesus semasa Perjamuan Malam Tuan ditujukan kepada para rasul yang ada bersamanya. Merekalah yang pertama-tama menganggotai “kawanan kecil” dan yang akan berada di syurga bersama Yesus. w24.12 11 ¶9-10
Pembacaan Bible sempena Peringatan: (Peristiwa waktu siang: 13 Nisan) Matius 26:17-19; Markus 14:12-16; Lukas 22:7-13 (Peristiwa selepas matahari terbenam: 14 Nisan) Yohanes 13:1-5; 14:1-3
Jumaat, 3 April
Tuhan begitu mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak tunggal-Nya, supaya setiap orang yang beriman kepadanya tidak dibinasakan tetapi mendapat kehidupan kekal.—Yoh. 3:16.
Yesus dikhianati, ditangkap, dihina, difitnah, dijatuhkan hukuman mati, dan diseksa. Akhirnya, askar-askar memakukannya pada tiang. Yesus memang menderita sepanjang masa itu, tetapi Yehuwa lebih menderita melihat Anak kesayangan-Nya didera. Dia ada kuasa yang tidak terbatas dan dapat selamatkan Yesus, tetapi Dia menahan diri daripada berbuat demikian. Mengapa? Yehuwa mengasihi anda sehingga Dia sanggup mengorbankan nyawa Anak-Nya dan mengalami banyak penderitaan untuk menyelamatkan anda daripada dosa dan kematian. (1 Yoh. 4:9, 10) Dia mahu bantu kita untuk menyembah-Nya biarpun kita berdosa sekarang, dan Dia mahu singkirkan dosa buat selamanya pada masa depan. w24.08 6 ¶13-14
Pembacaan Bible sempena Peringatan: (Peristiwa waktu siang: 14 Nisan) Yohanes 19:1-42
Sabtu, 4 April
Kristus sendiri sudah menderita bagi kamu.—1 Ptr. 2:21.
Kita akan lebih faham betapa dalamnya kasih Yehuwa terhadap kita jika kita fikir pengorbanan yang dilakukan-Nya untuk sediakan tebusan. Syaitan mendakwa bahawa tiada hamba Tuhan yang akan tetap setia di bawah cubaan. Untuk menyangkal tuduhan itu, Yehuwa benarkan Yesus menderita sebelum dia mati. (Ayb. 2:1-5) Dia lihat bagaimana Yesus dicemuh oleh pemimpin agama, disebat oleh askar sehingga tubuhnya berdarah, dipakukan pada tiang, dan menderita sehingga mati. (Mat. 27:28-31, 39) Sebenarnya, Yehuwa ada kuasa untuk menyelamatkan Yesus pada bila-bila sahaja. (Mat. 27:42, 43) Namun jika Tuhan campur tangan, tebusan tidak dapat dibayar, dan kita tiada harapan. Jadi, Dia sanggup membenarkan Anak-Nya menderita sehingga mati. w25.01 22 ¶7
Pembacaan Bible sempena Peringatan: (Peristiwa waktu siang: 15 Nisan) Matius 27:62-66 (Peristiwa selepas matahari terbenam: 16 Nisan) Yohanes 20:1
Ahad, 5 April
Selama 40 hari, dia banyak kali menampakkan diri kepada mereka.—Kis. 1:3.
Pada 16 Nisan, 33 Masihi, murid-murid Yesus sangat sedih dan takut. Semasa dua orang murid Yesus mengadakan perjalanan ke Emaus, seorang lelaki yang tidak dikenali mendekati mereka dan mula berjalan bersama mereka. Apabila mereka memberitahunya apa yang terjadi kepada Yesus, lelaki itu beritahu mereka sesuatu yang menarik. “Bermula dari kitab-kitab Musa dan Ajaran Para Nabi,” dia jelaskan mengapa Mesias perlu menderita dan mati. Apabila mereka bertiga sampai di Emaus, dua orang murid itu sedar bahawa lelaki itu ialah Yesus. (Luk. 24:13-35) Selama 40 hari terakhirnya di bumi, Yesus menampakkan diri banyak kali kepada muridnya. Sepanjang masa itu, murid-murid Yesus yang sebelumnya sedih dan takut telah berubah menjadi penginjil dan pengajar berita baik yang gembira dan berani. w24.10 12 ¶1-3
Pembacaan Bible sempena Peringatan: (Peristiwa waktu siang: 16 Nisan) Yohanes 20:2-18
Isnin, 6 April
Binalah iman kamu yang suci.—Yud. 20.
Seorang bayi akan menjadi dewasa seraya masa berlalu, tetapi orang Kristian tidak akan menjadi matang secara automatik. Contohnya, saudara saudari di Korintus menyambut berita baik, dibaptis, menerima kuasa suci Tuhan, dan belajar banyak hal daripada Rasul Paulus. (Kis. 18:8-11) Namun, bertahun-tahun kemudian, ramai antara mereka masih belum menjadi matang. (1 Kor. 3:2) Untuk menjadi matang, pertama-tamanya kita mesti memupuk keinginan untuk menjadi matang. Mereka yang “mencintai kebodohan,” iaitu mereka yang mahu terus menjadi bayi secara rohani, tidak akan dapat menjadi matang. (Ams. 1:22) Kita tidak mahu menjadi seperti mereka yang sudah dewasa tetapi masih perlu ibu bapa buat keputusan bagi mereka. Sebaliknya, kita sendiri harus memastikan agar kerohanian kita terus bertumbuh. Jika anda mendapati anda belum lagi matang secara rohani, berdoalah kepada Yehuwa untuk memberi anda “keinginan dan kekuatan untuk bertindak.”—Flp. 2:13. w24.04 4 ¶9-10
Selasa, 7 April
Yehuwa tidak ingin seorang pun dibinasakan.—2 Ptr. 3:9.
Yehuwa beritahu kita perasaan-Nya semasa menghakimi manusia. (Yeh. 33:11) Dia tidak akan hapuskan seseorang buat selamanya kecuali Dia ada sebab baik untuk melakukannya. Yehuwa sangat berbelas kasihan dan mencari peluang untuk menunjukkannya. Apakah yang kita tahu tentang siapa yang tidak akan dibangkitkan? Bible hanya sebut beberapa orang. Kata-kata Yesus menunjukkan bahawa Yudas Iskariot tidak akan dibangkitkan. (Mrk. 14:21; Yoh. 17:12) Yudas sengaja melawan Yehuwa dan Yesus, padahal dia tahu itu salah. (Lihat Markus 3:29 dan nota pembelajaran dalam Alkitab Edisi Pelajaran bahasa Indonesia.) Yesus juga kata sesetengah pemimpin agama yang menentangnya tidak akan dibangkitkan. (Mat. 23:33; lihat Yohanes 19:11 dan nota pembelajaran “orang” dalam Alkitab Edisi Pelajaran bahasa Indonesia.) Paulus pula kata orang murtad yang enggan bertaubat tidak akan dibangkitkan.—Ibr. 6:4-8; 10:29. w24.05 4 ¶10-11
Rabu, 8 April
Yehuwa melindungi orang yang setia.—Mzm. 31:23.
Apabila kita tetap menghampiri Yehuwa, Syaitan tidak dapat membawa kesan buruk yang berkekalan kepada kita. (1 Yoh. 3:8) Di dunia baharu nanti, Yehuwa akan terus melindungi sahabat-Nya yang setia, agar mereka bukan sahaja dijauhkan daripada bahaya rohani, tetapi juga daripada ancaman maut. (Why. 21:4) Kita sungguh berbesar hati untuk jadi tetamu di khemah Yehuwa. (Yeh. 37:27) Namun, untuk terus menjadi sahabat rapat Yehuwa, kita mesti menjaga kelakuan kita. Semasa menjadi tetamu di rumah orang, anda tentu akan menjaga kelakuan anda. Begitu juga, kita mahu tahu apa yang dikehendaki Yehuwa daripada tetamu-Nya. Oleh sebab kita mengasihi Yehuwa, kita berusaha “menyenangkan hati-Nya dengan sepenuhnya.” (Kol. 1:10) Kita patut menghormati-Nya secara mendalam kerana kedudukan-Nya. Sikap hormat ini akan bantu kita menjauhi kelakuan yang tidak disukai-Nya, dan mendorong kita ‘hidup dengan rendah hati di hadapan-Nya.’—Mi. 6:8. w24.06 4 ¶8-9
Khamis, 9 April
Dia membuat permohonan bagi pihak para pendosa.—Yes. 53:12.
Yehuwa meminta Abraham mempersembahkan anaknya Ishak sebagai korban. Abraham pasti sangat susah hati, tetapi dia bersedia untuk melakukannya. Sejurus sebelum dia membunuh Ishak, Yehuwa menyuruhnya berhenti. Melalui contoh Abraham, Yehuwa mengajar semua orang yang beriman bahawa Dia begitu mengasihi manusia sehingga rela mengorbankan Anak kesayangan-Nya demi mereka. (Kej. 22:1-18) Berabad-abad kemudian, Yehuwa memberi bangsa Israel Hukum Musa yang menyatakan bahawa mereka harus mempersembahkan korban binatang agar dosa mereka diampunkan. (Im. 4:27-29; 17:11) Korban-korban sedemikian merupakan bayangan kepada korban yang lebih baik, yang akan menyelamatkan manusia daripada dosa buat selama-lamanya. Nabi yang diilhami Yehuwa menjelaskan bahawa keturunan yang dijanjikan itu akan menderita dan kemudiannya dibunuh untuk menyelamatkan manusia, termasuk anda, daripada dosa dan maut!—Yes. 53:1-12. w24.08 4 ¶7-8
Jumaat, 10 April
Aku sangat mencintai hukum-Mu! Aku merenungkannya sepanjang hari.—Mzm. 119:97.
Semasa membaca sesetengah ayat Bible, fikirkan bagaimana anda dapat menerapkannya. Tanyalah diri, “Bagaimanakah saya dapat terapkan maklumat ini sekarang atau pada masa depan?” Contohnya, katakan anda sedang membaca 1 Tesalonika 5:17, 18. Selepas membaca dua ayat itu, anda boleh berhenti sejenak dan fikirkan kekerapan dan mutu doa anda. Selain itu, anda boleh memikirkan hal-hal yang membuat anda berasa syukur. Kemudian, anda mungkin membuat keputusan untuk mengucapkan syukur kepada Yehuwa atas tiga hal yang spesifik. Dengan hanya meluangkan beberapa minit untuk memikirkan hal sebegini, anda akan dibantu untuk mendengar dan melakukan apa yang difirmankan Tuhan. Jika anda berbuat demikian setiap hari semasa membaca Bible, seraya masa berlalu, anda akan menjadi orang Kristian yang matang. w24.09 4-5 ¶9-10
Sabtu, 11 April
Berhati-hatilah agar kamu tidak kehilangan apa yang telah kami usahakan. Dengan demikian kamu akan memperoleh ganjaran yang sepenuhnya.—2 Yoh. 8.
Yehuwa cipta kita dengan kebolehan yang istimewa. Walaupun kita gembira semasa menerima hadiah, kita lebih gembira semasa memberi. Kita puas semasa dapat bantu rakan seiman. Jika mereka mengungkapkan penghargaan, kita memang gembira. Tetapi jika mereka tidak ucap terima kasih pun, kita masih gembira kerana kita menyenangkan hati Yehuwa. Tidak kira berapa banyak yang sudah kita beri, jangan sekali-kali lupa bahawa “Yehuwa dapat memberikan lebih daripada itu” kepada kita. (2 Taw. 25:9) Tambahan lagi, ganjaran yang diberikan Yehuwa sentiasa membawa kebahagiaan terbesar! Maka, bertekadlah untuk terus meniru kemurahan hati Bapa kita yang di syurga. w24.09 31 ¶20-21
Ahad, 12 April
Ya Yehuwa, Tuhanku, aku akan memuji-Mu dengan sepenuh hati, dan aku akan memuliakan nama-Mu buat selama-lamanya.—Mzm. 86:12.
Yehuwa pengasih dan berbelas kasihan. (Mzm. 103:13; Yes. 49:15) Dia bersifat empati, maka Dia dapat menyelami perasaan dan penderitaan kita. (Za. 2:8) Dia juga mudah didekati dan mahu kita jadi sahabat-Nya. (Mzm. 25:14; Kis. 17:27) Dia rendah hati dan sanggup “membongkokkan diri untuk melihat langit dan bumi. Dia mengangkat orang lemah dari debu.” (Mzm. 113:6, 7) Ya, kita ada banyak sebab untuk memuliakan Yehuwa. Kita memuliakan-Nya kerana kita mahu orang mengenali-Nya. Banyak orang tidak tahu kebenaran tentang Yehuwa kerana Syaitan telah menyebarkan dusta tentang-Nya. (2 Kor. 4:4) Syaitan buat orang percaya bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang suka membalas dendam, tidak prihatin, dan menyebabkan banyak penderitaan. Namun kita tahu semua itu dusta! Maka kita ada penghormatan besar untuk membela nama Yehuwa dan memuliakan-Nya.—Yes. 43:10. w25.01 3 ¶6-7
Isnin, 13 April
Syaitan sedang menyesatkan seluruh dunia.—Why. 12:9.
Walaupun Yesus sempurna dan buat banyak mukjizat, penyokong Syaitan abad pertama menyebarkan banyak dusta tentangnya. Misalnya, para pemimpin agama berkata bahawa kuasa Yesus untuk mengusir roh-roh jahat diberikan oleh “ketua roh-roh jahat.” (Mrk. 3:22) Semasa Yesus dibicarakan, mereka menuduhnya menghina Tuhan dan menghasut orang untuk menuntut agar Yesus dibunuh. (Mat. 27:20) Kemudian, semasa pengikut Kristus menyebarkan berita baik, para penentang “menghasut orang daripada bangsa-bangsa lain untuk membenci” dan menganiaya mereka. (Kis. 14:2, 19) Mengenai Kisah 14:2, Menara Pengawal terbitan 1 Disember 1998 menjelaskan, “Setelah menolak mesej yang disampaikan oleh orang Kristian, para penentang Yahudi tidak puas hati. Mereka bahkan memburuk-burukkan orang Kristian di hadapan bangsa lain agar orang bukan Yahudi pun menentang orang Kristian.” Hari ini, Syaitan masih “menyesatkan seluruh dunia.” w24.04 11 ¶15-16
Selasa, 14 April
Mungkinkah Hakim bagi seluruh bumi bertindak dengan tidak adil?—Kej. 18:25.
Masa depan seseorang tidak ditentukan berdasarkan bila dia meninggal. Ingatlah bahawa Yehuwa ialah Hakim yang sempurna, adil, dan saksama. (Mzm. 33:4, 5) Jadi kita boleh yakin bahawa “Hakim bagi seluruh bumi” akan melakukan apa yang benar. Masa depan seseorang juga tidak ditentukan berdasarkan di mana dia tinggal. Di banyak negara, ada jutaan orang yang tidak berpeluang mendengar berita baik. Adakah Yehuwa akan menganggap mereka semua sebagai “kambing”? Hal itu tidak masuk akal. (Mat. 25:46) Jika kita pun risau tentang mereka, apatah lagi Hakim bagi seluruh bumi! Kita tidak tahu apa yang akan dilakukan oleh Yehuwa semasa kesengsaraan besar. Mungkin Dia akan membuka peluang bagi mereka supaya mereka dapat mengenali-Nya, beriman kepada-Nya, dan berpihak kepada-Nya semasa Dia menyucikan nama-Nya di hadapan bangsa-bangsa.—Yeh. 38:16. w24.05 12 ¶14-15
Rabu, 15 April
Saling mengasihi.—Yoh. 15:12.
Umat Yehuwa suka saling membantu. (2 Kor. 8:4) Namun, ada kalanya mereka perlu berani untuk berbuat demikian. Contohnya, semasa peperangan, para penatua mungkin mendapati rakan seiman perlukan sokongan, galakan, bahan bacaan Bible, atau bantuan fizikal. Oleh sebab mereka mengasihi bebiri Tuhan, mereka sanggup bahayakan diri untuk beri bantuan. Dalam situasi yang berbahaya, amatlah penting untuk tetap bersatu. Maka, ikutlah arahan pejabat cawangan tempatan. (Ibr. 13:17) Para penatua, dari masa ke masa, tinjaulah persiapan yang dibuat oleh sidang anda untuk menghadapi bencana, dan kajilah arahan organisasi tentang hal ini. (1 Kor. 14:33, 40) Jadilah berani, tetapi pada masa yang sama, berhati-hatilah. (Ams. 22:3) Fikirlah sebelum bertindak dan jangan ambil risiko yang tidak perlu. Bergantunglah pada Yehuwa. Dia dapat melindungi anda semasa anda membantu saudara saudari. w24.07 4 ¶8; 5 ¶11
Khamis, 16 April
Dalam kesusahanku, aku berseru kepada Yehuwa. Sememangnya, seruanku untuk meminta tolong sampai ke telinga-Nya.—Mzm. 18:6.
Daud mengenali Yehuwa dan bergantung pada-Nya. Semasa dikejar musuh, termasuk Saul, Daud meminta bantuan Yehuwa. Selepas Tuhan menjawab doanya dan menyelamatkannya, Daud berkata, “Yehuwa ialah Tuhan yang hidup!” (Mzm. 18:46) Menurut sebuah rujukan Bible, kata-katanya menunjukkan bahawa dia bukan sahaja mengakui kewujudan Tuhan, tetapi juga yakin Yehuwa akan “sentiasa bertindak demi umat-Nya.” Daripada pengalamannya, Daud tahu bahawa Tuhannya memang hidup, dan keyakinan ini menguatkan tekadnya untuk menyembah dan memuji Yehuwa. (Mzm. 18:28, 29, 49) Jika kita yakin bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang hidup, kita akan dibantu untuk berkhidmat kepada-Nya dengan bersemangat. Kita akan ada kekuatan untuk mengharungi cubaan dengan tabah dan dorongan untuk terus berkhidmat kepada-Nya dengan rajin. Kita juga akan bertekad untuk hidup akrab dengan Yehuwa. w24.06 20-21 ¶3-4
Jumaat, 17 April
Janganlah biarkan orang menyesatkan kamu dengan cara apa pun.—2 Tes. 2:3.
Apakah yang dapat kita belajar daripada nasihat Rasul Paulus kepada orang Kristian di Tesalonika? Jika kita mendengar sesuatu yang bercanggah dengan ajaran Bible, atau jika kita mendengar khabar angin yang sensasi, kita harus berhati-hati. Dahulu di Kesatuan Soviet, musuh kita pernah menyebarkan sepucuk surat yang kononnya berasal daripada ibu pejabat sedunia. Surat itu menggalakkan saudara-saudara untuk menubuhkan organisasi sendiri. Walaupun surat itu nampaknya berasal daripada ibu pejabat sedunia, saudara-saudara tidak tertipu. Mereka sedar bahawa kandungannya bercanggah dengan apa yang sudah mereka belajar. Hari ini, musuh kita mungkin menggunakan teknologi untuk mengelirukan dan memecahbelahkan kita. Untuk melindungi diri sendiri, kita harus membandingkan apa yang kita baca dan dengar dengan kebenaran yang sudah kita ketahui.—2 Tes. 2:2; 1 Yoh. 4:1. w24.07 12 ¶14-15
Sabtu, 18 April
Jika seseorang berbuat dosa, kita mempunyai seorang penolong.—1 Yoh. 2:1.
Keputusan terpenting dalam hidup seseorang ialah keputusan untuk membaktikan diri kepada Yehuwa dan menyertai keluarga-Nya. Yehuwa berharap agar semua orang membuat keputusan itu. Mengapa? Yehuwa mahu kita menjadi sahabat-Nya dan menikmati kehidupan kekal. (Ul. 30:19, 20; Gal. 6:7, 8) Yehuwa tidak memaksa sesiapa pun untuk menyembah-Nya, kerana Dia telah memberi kita kebebasan untuk memilih. Tetapi bagaimana pula jika seorang Saksi yang terbaptis melanggar hukum Tuhan dan melakukan dosa yang serius? Jika dia enggan bertaubat, dia harus dikeluarkan daripada sidang. (1 Kor. 5:13) Namun, Yehuwa tetap berharap agar orang itu kembali kepada-Nya. Sebenarnya, satu sebab penting Yehuwa menyediakan tebusan adalah supaya pendosa yang bertaubat dapat dimaafkan. Tuhan kita yang pengasih menyeru pendosa agar bertaubat dan kembali kepada-Nya.—Za. 1:3; Rm. 2:4; Yak. 4:8. w24.08 14 ¶1-2
Ahad, 19 April
Jika hatimu bijaksana, maka hatiku akan bergembira.—Ams. 23:15.
Semasa Yohanes menulis suratnya yang ketiga, sesetengah orang dalam sidang sedang menyebarkan ajaran palsu dan menyebabkan perpecahan. Namun, orang Kristian lain terus “berjalan mengikut kebenaran.” Mereka mematuhi Yehuwa dan ‘terus hidup menurut perintah-perintah-Nya.’ (2 Yoh. 4, 6) Orang Kristian yang setia ini bukan sahaja menggembirakan hati Yohanes, tetapi juga hati Yehuwa. (Ams. 27:11) Apakah pengajarannya? Ketaatan membawa sukacita. (1 Yoh. 5:3) Misalnya, apabila kita menolak godaan dan berpegang erat pada kebenaran, kita bersukacita kerana kita tahu usaha kita menggembirakan hati Yehuwa. Para malaikat juga bersukacita semasa melihat usaha kita. (Luk. 15:10) Selain itu, semasa kita melihat rakan seiman tetap setia, kita pun gembira. (2 Tes. 1:4) Apabila dunia jahat Syaitan dibinasakan, kita akan bersukacita kerana kita tetap setia kepada Yehuwa. w24.11 12 ¶17-18
Isnin, 20 April
Berusahalah melakukan apa yang berfaedah bagi orang lain, dan bukan hanya apa yang berfaedah bagi diri sendiri.—1 Kor. 10:24.
Berapa lamakah anda harus perhatikan seseorang sebelum memberitahunya anda menyukainya? Jika anda terburu-buru menghampiri seseorang, dia mungkin fikir anda hanya ikut emosi. (Ams. 29:20) Tetapi jika anda ambil terlalu banyak masa, dia mungkin fikir anda susah buat keputusan, terutamanya jika dia sudah tahu anda menyukainya. (Pkh. 11:4) Sebelum luahkan perasaan anda, janganlah fikir anda pasti berkahwin dengannya. Sebaliknya, anda harus yakin anda bersedia untuk berkahwin dan orang itu berpotensi jadi teman hidup anda. Bagaimana pula jika anda tidak berminat untuk berdating dengan seseorang yang menyukai anda? Jika demikian, tunjukkan dengan jelas melalui perbuatan bahawa anda tidak minat. Jangan mempermainkan perasaannya dan membuatnya fikir anda sudi berdating dengannya.—Ef. 4:25. w24.05 22-23 ¶9-10
Selasa, 21 April
Aku akan kembali dan membawa kamu ke rumahku.—Yoh. 14:3.
Hanya orang Kristian yang betul-betul diurapi kuasa suci Tuhan dan yang tetap setia akan memasuki Kerajaan di syurga. Orang Kristian terurap yang tidak berjaga-jaga tidak akan dibawa pergi semasa Yesus datang untuk mengumpulkan “umatnya yang terpilih.” (Mat. 24:31) Semua hamba Tuhan yang ada harapan untuk hidup kekal di bumi juga harus dengar amaran Yesus dan tetap setia dan berjaga-jaga. Kita mengenali Yehuwa, maka kita yakin keputusan-Nya sentiasa benar dan adil. Oleh itu, kita tidak risau jika Yehuwa mengurapi sesetengah penyembah-Nya pada zaman kita. Ingatlah perumpamaan Yesus tentang pekerja di ladang anggur. Terdapat pekerja yang mula bekerja pada jam lima petang, dan hanya perlu bekerja satu jam. Meskipun begitu, mereka diberi upah yang sama dengan pekerja yang bekerja sehari suntuk. (Mat. 20:1-16) Begitu juga, tidak kira bila seseorang diurapi, dia akan terima ganjaran di syurga jika dia tetap setia. w24.09 24 ¶15-17
Rabu, 22 April
Kristus sendiri sudah menderita bagi kamu dan memberi kamu teladan agar kamu mengikut jejaknya dengan teliti.—1 Ptr. 2:21.
Yesus memberikan teladan yang sempurna tentang cara menghadapi ketidakadilan. Fikirkan apa yang dilaluinya. Saudara-maranya yang tidak beriman kepadanya berkata bahawa dia sudah gila. Para pemimpin agama pula menuduhnya berpakat dengan roh-roh jahat. Tambahan lagi, askar-askar Roma mengejeknya, menderanya, dan membunuhnya. (Mrk. 3:21, 22; 14:55; 15:16-20, 35-37) Meskipun Yesus dilayan dengan begitu teruk, dia tetap tabah dan tidak membalas dendam. Apakah yang dapat kita belajar daripadanya? (1 Ptr. 2:21-23) Semasa kita dilayan dengan tidak adil, ingatlah teladan Yesus yang sempurna. Dia tahu bila untuk berdiam diri atau bersuara. (Mat. 26:62-64) Semasa difitnah, ada kalanya dia berdiam diri. (Mat. 11:19) Jika dia bersuara pun, dia tidak menghina atau mengugut penentangnya. w24.11 4-5 ¶9-10
Khamis, 23 April
Kristus Yesus datang ke dunia untuk menyelamatkan pendosa.—1 Tim. 1:15.
Bayangkan anda memberi orang kesayangan anda sebuah hadiah yang mahal dan berguna. Jika orang tersebut hanya menyimpan hadiah itu di dalam stor dan melupakannya, anda tentu sangat kecewa, bukan? Tetapi jika dia menggunakan hadiah itu dengan baik dan meluahkan penghargaannya, anda pasti sangat gembira. Oleh sebab Yehuwa sangat mengasihi kita, Dia telah memberi kita sebuah hadiah yang sangat mahal, iaitu korban tebusan. Jika kita menunjukkan penghargaan atas hadiah itu dan kasih yang ditunjukkan-Nya, Yehuwa pasti sangat gembira! (Yoh. 3:16; Rm. 5:7, 8) Seraya masa berlalu, penghargaan kita terhadap korban tebusan mungkin berkurang. Jika hal itu berlaku, kita seolah-olah menyimpan hadiah itu di dalam stor lalu melupakannya. Oleh itu, kita mesti selalu merenungkan apa yang telah dilakukan oleh Yehuwa dan Yesus bagi kita. w25.01 26 ¶1-2
Jumaat, 24 April
Renungkanlah dan tumpukanlah sepenuh perhatian kepada hal-hal ini, supaya kemajuanmu dapat dilihat dengan jelas oleh semua orang.—1 Tim. 4:15.
Seorang saudara yang layak jadi penatua bukanlah orang yang baru percaya kepada Kristus. Hal itu tidak bermaksud anda perlu dibaptis untuk masa yang sangat lama. Namun, anda perlu masa untuk jadi Kristian yang matang. Sebelum jadi penatua, anda perlu menunjukkan bahawa anda rendah hati seperti Yesus dan sudi menunggu Yehuwa beri anda tugasan. (Mat. 20:23; Flp. 2:5-8) Anda membuktikan bahawa anda setia dengan berpaut pada Yehuwa dan standard-Nya, serta ikut arahan daripada organisasi-Nya. Bible menyatakan dengan jelas bahawa penatua mesti layak untuk mengajar. Adakah ini bermaksud anda mesti sangat mahir beri ceramah? Tidak. Ramai penatua bukanlah penceramah yang sangat mahir, tetapi mereka dapat mengajar dengan baik semasa menginjil dan buat kunjungan penggembalaan. w24.11 23-24 ¶14-15
Sabtu, 25 April
Aku mencintai perintah-Mu lebih daripada emas, bahkan emas yang murni.—Mzm. 119:127.
Jika anda baca sesuatu dalam Bible yang anda tidak begitu faham, buatlah kajian. Kemudian, semasa aktiviti seharian, renungkan apa yang anda belajar tentang Yehuwa, Yesus, dan kasih mereka untuk anda. (Mzm. 119:97, nota kaki) Janganlah tawar hati jika anda tidak jumpa sesuatu yang baharu atau menarik setiap kali anda baca Bible atau buat penyelidikan. Sebenarnya, anda seperti orang yang mendulang emas. Orang sebegini perlu bersabar selama berjam-jam atau bahkan berhari-hari sebelum dapat jumpa ketulan emas yang kecil. Namun, mereka tidak putus asa kerana ketulan emas yang kecil pun amat berharga. Sudah pasti, permata rohani dalam Bible jauh lebih bernilai! (Ams. 8:10) Maka, janganlah putus asa dan teruslah baca dan kaji Bible.—Mzm. 1:2. w25.01 24-25 ¶14-15
Ahad, 26 April
Sepertimana Yehuwa mengampuni kamu dengan rela hati, kamu juga mesti berbuat demikian.—Kol. 3:13.
Yehuwa mahu kita sedia memaafkan orang. (Mzm. 86:5; Luk. 17:4; Ef. 4:32) Semasa seseorang menyinggung perasaan kita, kita mungkin sangat sakit hati terutamanya jika orang itu ialah sahabat rapat atau keluarga kita. (Mzm. 55:12-14) Ada kalanya, kita berasa seperti ditikam pedang. (Ams. 12:18) Kita mungkin cuba pendam atau abaikan perasaan itu. Namun jika kita buat begitu, kita seolah-olah memilih untuk tidak mengeluarkan pedang daripada luka. Begitu juga, jika kita pendam perasaan sakit hati, luka itu tidak akan sembuh. Semasa tersinggung, reaksi pertama kita mungkin ialah naik marah. Bible kata reaksi itu memang biasa. Namun, Bible juga ingatkan kita bahawa jika kita terus marah, itu amat berbahaya. (Mzm. 4:4; Ef. 4:26) Mengapa? Kerana orang yang marah susah buat apa yang betul. (Yak. 1:20) Ingatlah, reaksi pertama kita mungkin tidak dapat dikawal. Namun kita mampu pilih untuk terus marah atau tidak. w25.02 15 ¶4-6
Isnin, 27 April
Kebijaksanaan memelihara hidup orang yang memilikinya.—Pkh. 7:12.
Yesus kata orang yang mengumpulkan banyak wang tetapi “tidak kaya di mata Tuhan” ialah orang yang bodoh. (Luk. 12:16-21) Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada hari esok. (Ams. 23:4, 5; Yak. 4:13-15) Tambahan lagi, untuk menjadi pengikut Yesus, kita mesti bersedia “meninggalkan semua harta” kita. (Luk. 14:33) Orang Kristian abad pertama di Yudea kehilangan harta mereka, tetapi mereka tidak kehilangan sukacita. (Ibr. 10:34) Pada zaman moden, ramai saudara saudari kehilangan harta atau kerja kerana tetap neutral dalam hal politik. (Why. 13:16, 17) Apakah yang membantu mereka? Mereka yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa tidak akan meninggalkan mereka. (Ibr. 13:5) Kita memang akan berusaha untuk menyimpan duit bagi masa depan. Tetapi jika ada kejadian yang tidak terduga berlaku, kita yakin bahawa Yehuwa pasti menyokong kita. w25.03 29 ¶13-14
Selasa, 28 April
Setelah kita selesai mempelajari ajaran asas tentang Kristus, marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi matang. Janganlah kita berulang kali mempelajari hal-hal asas.—Ibr. 6:1.
Yehuwa telah menyediakan bantuan supaya kita dapat menjadi matang secara rohani. Misalnya, terdapat gembala dan guru dalam sidang yang sudi membantu kita “menjadi orang yang matang dan mencapai tahap kematangan Kristus.” (Ef. 4:11-13) Yehuwa juga memberi kita kuasa suci-Nya supaya kita dapat memiliki “fikiran Kristus.” (1 Kor. 2:14-16) Tambahan lagi, Tuhan mengilhami Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes untuk mencatatkan bagaimana Yesus berfikir, bercakap, dan berkelakuan semasa di bumi. Apabila kita meniru fikiran dan perbuatan Yesus, kita dapat menjadi orang Kristian yang matang. Namun, untuk menjadi matang, sekadar “mempelajari ajaran asas tentang Kristus” tidak cukup. Ajaran asas sebegini merupakan dasar kepada kepercayaan orang Kristian. w24.04 4-5 ¶11-12
Rabu, 29 April
Daya pemikiran akan melindungimu, dan pengertian akan menjagamu.—Ams. 2:11.
Setiap hari, kita perlu membuat keputusan. Sesetengah keputusan itu mudah, seperti mahu makan apa atau bila mahu tidur. Ada pula keputusan yang lebih susah, yang boleh mempengaruhi kesihatan, kebahagiaan, orang tersayang, atau ibadat kita. Kita mahu membuat keputusan yang bermanfaat untuk diri sendiri dan keluarga kita. Yang terpenting, kita mahu membuat keputusan yang menyenangkan hati Yehuwa. (Rm. 12:1, 2) Langkah penting untuk membuat keputusan yang bijak ialah mendapatkan maklumat yang tepat. Mengapakah hal ini penting? Bayangkan seseorang berjumpa dengan doktor kerana sakit teruk. Adakah doktor itu akan segera memilih rawatan baginya tanpa membuat pemeriksaan atau menanyakan soalan? Tidak. Begitu juga, anda dapat membuat keputusan yang baik jika anda mendapatkan maklumat yang tepat tentang situasi anda. w25.01 14 ¶1-3
Khamis, 30 April
Yehuwa mengampunkan dosa tuanku. Tuanku tidak akan mati.—2 Sam. 12:13.
Apakah yang kita tahu tentang belas kasihan Yehuwa? Dia betul-betul “tidak ingin seorang pun dibinasakan,” dan hal ini jelas kelihatan semasa Dia menunjukkan belas kasihan kepada orang yang telah melakukan dosa yang serius. (2 Ptr. 3:9) Contohnya, Daud telah berzina dan membunuh. Namun, selepas Daud bertaubat, Yehuwa berbelas kasihan terhadapnya dan memaafkannya. (2 Sam. 12:1-12) Raja Manasye juga telah melakukan banyak hal yang kejam dan keji sepanjang hidupnya. Tetapi apabila dia bertaubat dengan ikhlas, Yehuwa telah memaafkannya. (2 Taw. 33:9-16) Contoh-contoh ini menunjukkan bahawa jika seseorang sedar bahawa dia telah melakukan dosa yang serius dan bertaubat, Yehuwa akan berbelas kasihan terhadapnya. Orang sebegini ada harapan untuk dibangkitkan. w24.05 4 ¶12