Mac
Ahad, 1 Mac
Apabila seseorang mati, hutang dosanya sudah dilangsaikan.—Rm. 6:7.
Bible menyebut tentang orang baik yang kemudiannya menjadi tidak baik, contohnya Raja Salomo. Salomo mengenali Yehuwa dan menyembah-Nya, dan Yehuwa telah memberkatinya. Sedihnya, pada kemudian hari, dia menyembah tuhan palsu. Yehuwa murka terhadapnya, dan selama ratusan tahun, orang Israel menderita akibat dosanya. Bible kata bahawa Salomo “meninggal lalu dikebumikan di Kota Daud” bersama nenek moyangnya yang setia. (1 Raj. 11:5-9, 43; 2 Raj. 23:13) Adakah hal ini bermaksud Salomo pasti dibangkitkan? Bible tidak memberitahu kita. Pembangkitan ialah kurniaan daripada Tuhan. Jika Dia mahu beri seseorang peluang untuk berkhidmat kepada-Nya buat selama-lamanya, barulah Dia akan membangkitkan orang itu. (Ayb. 14:13, 14; Yoh. 6:44) Adakah Salomo akan menerima kurniaan itu? Hanya Yehuwa yang tahu jawapannya. Apa yang kita tahu ialah Yehuwa pasti melakukan apa yang benar. w24.05 4 ¶9
Isnin, 2 Mac
Aku akan menjadi tetamu di khemah-Mu selama-lamanya.—Mzm. 61:4.
Semasa kita membaktikan diri kepada Yehuwa, kita menjadi tetamu di dalam khemah-Nya. Kita menikmati makanan rohani yang melimpah dan bersahabat dengan tetamu Yehuwa yang lain. Adakah khemah Yehuwa terletak di lokasi tertentu? Tidak. Khemah Tuhan terletak di mana sahaja penyembah-Nya berada. (Why. 21:3) Bagaimana pula dengan penyembah Yehuwa yang telah meninggal? Adakah mereka masih merupakan tetamu di khemah Yehuwa? Ya! Mengapa? Kerana mereka masih hidup dalam ingatan Yehuwa. Yesus menjelaskan, “Dalam kisah tentang pokok kecil yang bernyala, Musa pernah menyebut tentang pembangkitan orang mati. Dia menggelar Yehuwa sebagai ‘Tuhan Abraham, Tuhan Ishak, dan Tuhan Yakub.’ Dia ialah Tuhan orang hidup, bukan Tuhan orang mati, kerana mereka semua masih hidup dalam pandangan-Nya.”—Luk. 20:37, 38. w24.06 3 ¶6-7
Selasa, 3 Mac
Ya Yehuwa, Engkaulah kekuatanku dan perisaiku.—Mzm. 28:7.
Zadok pergi ke Hebron dengan bersenjata dan bersedia berperang. (1 Taw. 12:38) Biarpun Zadok bukan seorang askar yang berpengalaman, dia sangat berani. Dia sudi berjuang bersama Daud dan melindungi orang Israel daripada musuh. Zadok ialah seorang imam. Mengapakah dia dapat jadi begitu berani? Dia kenal banyak orang yang berani dan belajar daripada mereka. Contohnya, dia lihat bagaimana Daud sering “memimpin orang Israel dalam peperangan,” dan bagaimana keberanian Daud menggerakkan orang Israel untuk menyokongnya dengan sepenuh hati. (1 Taw. 11:1, 2) Daud juga selalu bergantung pada Yehuwa semasa melawan musuh. (Mzm. 138:3) Selain Daud, Zadok juga belajar daripada orang yang berani seperti Imam Yehoyada dan anaknya Benaya yang merupakan pahlawan, serta 22 orang ketua puak yang menyokong pemerintahan Daud.—1 Taw. 11:22-25; 12:26-28. w24.07 3 ¶5-6
Rabu, 4 Mac
Tuhan menunjukkan kebaikan hati-Nya kerana Dia ingin memimpin kamu untuk bertaubat.—Rm. 2:4.
Saulus dari Tarsus pernah menganiaya orang Kristian dengan teruk, jadi barangkali kebanyakan orang Kristian rasa dia tidak mungkin bertaubat. Namun, Yehuwa dan Yesus nampak sifat baiknya dan tidak fikir begitu. Yesus kata, “Aku sudah memilih lelaki ini untuk memberitakan namaku.” (Kis. 9:15) Dia bahkan melakukan mukjizat untuk bantu Saulus bertaubat. (Kis. 7:58–8:3; 9:1-9, 17-20) Selepas memeluk agama Kristian, Saulus, yang kemudiannya dikenali sebagai Rasul Paulus, sering meluahkan kesyukurannya atas kebaikan hati dan belas kasihan Yehuwa dan Yesus. (1 Tim. 1:12-15) Pernah sekali, Paulus dengar bahawa seorang lelaki di Korintus hidup tidak bermoral tetapi tidak dikeluarkan daripada sidang. Apakah yang Paulus buat? Daripada cara dia menangani masalah itu, kita belajar bahawa Yehuwa berikan disiplin dengan penuh kasih, dan amatlah penting untuk berbelas kasihan terhadap pendosa yang bertaubat. w24.08 13 ¶15-16
Khamis, 5 Mac
Tujuan Anak Tuhan menampakkan diri adalah untuk menghancurkan perbuatan Iblis.—1 Yoh. 3:8.
Secara beransur-ansur, Yehuwa menyingkapkan bagaimana manusia yang berdosa dapat menghampiri-Nya. Habel, iaitu anak kedua Adam dan Hawa, ialah manusia pertama yang beriman kepada Yehuwa selepas pemberontakan di Eden. Oleh sebab Habel mengasihi Yehuwa, dia mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati Yehuwa dan menghampiri-Nya. Habel seorang gembala, maka dia menyembelih beberapa ekor anak bebiri lalu mempersembahkannya kepada Yehuwa. Apakah perasaan Yehuwa? Bible kata, “Yehuwa berasa senang hati dengan Habel dan persembahannya.” (Kej. 4:4) Nuh juga menyenangkan hati Yehuwa dengan melakukan hal yang serupa. (Kej. 8:20, 21) Dengan menerima persembahan daripada orang yang mengasihi dan mempercayai-Nya, Yehuwa menunjukkan bahawa manusia yang tidak sempurna pun dapat menghampiri-Nya. w24.08 3 ¶5-6
Jumaat, 6 Mac
Kakiku hampir menyimpang daripada haluan yang benar; aku hampir jatuh tergelincir.—Mzm. 73:2.
Kita mungkin sangat marah semasa dilayan dengan tidak adil. (Pkh. 7:7) Hamba Tuhan yang setia pun, seperti Ayub dan Habakuk, pernah berasa begitu. (Ayb. 6:2, 3; Hab. 1:1-3) Perasaan ini memang normal, namun kita perlu kawal reaksi kita agar tidak bertindak melulu dan menyebabkan lebih banyak masalah. Semasa orang jahat nampaknya tidak dihukum, kita mungkin meragui jika usaha kita untuk buat apa yang benar berbaloi atau tidak. Seorang penulis mazmur kata, “Demikianlah keadaan orang jahat; mereka selalu hidup senang.” (Mzm. 73:12) Semasa lihat orang jahat hidup makmur biarpun mereka menindas orang baik, penulis mazmur itu kata, “Apabila aku mencuba memahami hal ini, aku berasa susah hati.” (Mzm. 73:14, 16) Ketidakadilan itu membuatnya begitu kecewa sehingga dia berasa sia-sia menyembah Yehuwa. w24.11 3 ¶5-7
Sabtu, 7 Mac
Wahai semua suku bangsa, muliakanlah Yehuwa. Ya, muliakanlah Yehuwa kerana Dia agung dan perkasa.—Mzm. 96:7.
Kita memuliakan Yehuwa kerana kita sangat menghormati-Nya. Kita ada banyak sebab untuk menghormati Yehuwa. Sebagai Tuhan Yang Maha Kuasa, Dia ada kuasa yang tidak terbatas. (Mzm. 96:4-7) Kebijaksanaan-Nya jelas kelihatan daripada segala ciptaan-Nya. Dia ialah Sumber kehidupan dan memberi kita apa yang diperlukan untuk terus hidup. (Why. 4:11) Dia setia. (Why. 15:4) Dia dapat melaksanakan segala yang diingini-Nya, dan Dia selalu menunaikan janji-Nya. (Yos. 23:14) Itulah sebabnya Nabi Yeremia berkata tentang Yehuwa, “Antara semua orang bijaksana daripada bangsa-bangsa dan di dalam semua kerajaan mereka, tiada sesiapa pun yang setanding dengan-Mu”! (Yer. 10:6, 7) Ya, kita ada banyak sebab untuk menghormati Yehuwa. Yang terpenting, kita memuliakan Yehuwa kerana kita sangat mengasihi-Nya. w25.01 3 ¶5-6
Ahad, 8 Mac
Keluarkanlah orang jahat daripada kalangan kamu.—1 Kor. 5:13.
Organisasi Tuhan berpegang pada standard yang tinggi, tetapi musuh Tuhan memburuk-burukkan mereka kerana berbuat demikian. Misalnya, Bible berkata bahawa Yehuwa mahu penyembah-Nya tetap bersih secara fizikal, moral, dan rohani. Jika seseorang enggan berhenti melakukan perbuatan najis, dia harus dikeluarkan daripada sidang. (1 Kor. 5:11, 12; 6:9, 10) Oleh sebab kita mematuhi perintah Bible itu, para penentang menuduh kita tidak bertoleransi, suka menghakimi, dan tidak pengasih. Kita mesti kenal pasti dalang di sebalik cerita palsu. Syaitan Si Iblis ialah dalang di sebalik cerita palsu tentang organisasi kita. Dia ialah “bapa segala dusta.” (Yoh. 8:44; Kej. 3:1-5) Jadi tidaklah hairan apabila dia menggunakan para pengikutnya untuk menyebarkan cerita palsu mengenai organisasi Tuhan. w24.04 10 ¶13-14
Isnin, 9 Mac
Kata-katamu pasti akan menjadi kenyataan.—Yeh. 33:33.
Bahkan selepas kesengsaraan besar bermula, ada kemungkinan sesetengah orang yang melihat pembinasaan “Babilon Besar” akan teringat bahawa selama bertahun-tahun, Saksi-Saksi Yehuwa telah berkata bahawa hal ini akan berlaku. Adakah mereka akan berubah hati ketika itu? (Why. 17:5) Jika ya, keadaannya akan mirip dengan zaman Musa. Semasa orang Israel keluar dari Mesir, “sekumpulan besar orang daripada bangsa-bangsa lain” telah menyertai mereka. Ada antara orang itu mungkin mula beriman setelah melihat amaran Musa tentang Sepuluh Tulah menjadi kenyataan. (Kel. 12:38) Jika orang masih sempat menyertai umat Tuhan selepas Babilon Besar dibinasakan, adakah kita akan kecewa? Pasti tidak! Sebaliknya, kita mahu meniru sifat Bapa kita yang di syurga yang ‘penuh rahmat dan belas kasihan, yang tidak cepat murka, yang berpegang pada kebenaran, dan yang menunjukkan kasih setia yang melimpah.’—Kel. 34:6. w24.05 11 ¶12-13
Selasa, 10 Mac
Teruslah berpegang pada piawaian kata-kata sihat.—2 Tim. 1:13.
Apakah yang mungkin berlaku jika kita tidak terus berpegang pada “piawaian kata-kata sihat”? Perhatikan contoh orang Kristian di Tesalonika pada abad pertama. Terdapat khabar angin yang tersebar dalam kalangan mereka bahawa hari Yehuwa sudah tiba. Khabar angin itu nampaknya berpunca daripada sepucuk surat yang kononnya ditulis Paulus. Ada antara mereka percaya khabar angin itu lalu menyebarkannya tanpa usul periksa. Jika mereka ingat apa yang diajarkan Paulus semasa dia bersama mereka, mereka tidak akan tertipu. (2 Tes. 2:1-5) Maka, Paulus mengingatkan mereka agar tidak mempercayai apa sahaja yang mereka dengar. Kemudian, untuk membantu mereka pada masa depan, Paulus mengakhiri suratnya yang kedua dengan kata-kata ini: “Aku, Paulus, menulis salam ini dengan tanganku sendiri. Beginilah caranya aku menulis, dan gaya tulisan ini menjadi tanda pengenal dalam setiap suratku.”—2 Tes. 3:17. w24.07 12 ¶13-14
Rabu, 11 Mac
Kamu memerlukan ketabahan.—Ibr. 10:36.
Orang Kristian Ibrani memerlukan ketabahan kerana keadaan di Yudea akan menjadi semakin teruk. Biarpun sesetengah orang Kristian Ibrani pernah menghadapi penganiayaan yang teruk, ramai dalam kalangan mereka menerima kebenaran semasa tentangan tidak begitu kuat. Paulus memberitahu mereka bahawa biarpun mereka pernah mengalami penganiayaan, mereka belum menderita seperti Yesus, iaitu sehingga perlu mengorbankan nyawa. (Ibr. 12:4) Namun, apabila agama Kristian mula tersebar luas, para penentang Yahudi menjadi semakin ganas dan keji. Contohnya, beberapa tahun sebelum itu, lebih daripada 40 orang Yahudi “bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga mereka membunuh Paulus.” (Kis. 22:22; 23:12-14) Biarpun orang Kristian Ibrani dibenci dan ditentang, mereka masih perlu menghadiri perjumpaan, menginjil, dan memastikan iman mereka kuat. w24.09 11 ¶15
Khamis, 12 Mac
Yesus berkata kepada ibunya, “Ibu, lihatlah! Mulai sekarang dialah anakmu!”—Yoh. 19:26.
Yohanes ialah rasul yang sangat dikasihi Yesus. (Mat. 10:2) Dia mengikut Yesus sepanjang masa Yesus menginjil di bumi, melihat mukjizatnya, dan tetap bersamanya pada masa yang susah. Dia melihat Yesus dihukum bunuh dan berjumpa dengan Yesus selepas Yesus dibangkitkan. Dia juga menyaksikan bagaimana sidang Kristian pada abad pertama berkembang maju dan bagaimana berita baik “disebarkan kepada semua ciptaan di bawah langit.” (Kol. 1:23) Apabila Rasul Yohanes sudah sangat tua, dia diilhami untuk menulis buku Yohanes dan mencatatkan “penyingkapan daripada Yesus Kristus.” (Why. 1:1) Dia juga menulis tiga pucuk surat yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada Bible. Suratnya yang ketiga ditujukan kepada Gayus, anak rohaninya yang dikasihi. (3 Yoh. 1) Surat-suratnya tentu bermanfaat bagi semua pengikut Yesus sampai hari ini. w24.11 12 ¶15-16
Jumaat, 13 Mac
Hai para suami, hormatilah mereka.—1 Ptr. 3:7.
Suami yang mengasihi isteri akan menghargai isterinya dan menganggapnya sebagai pemberian yang tidak ternilai daripada Yehuwa. (Ams. 18:22; 31:10) Oleh itu, dia akan layan isterinya dengan baik hati dan penuh hormat, bahkan semasa melakukan hubungan intim. Dia tidak akan paksa isteri melakukan perbuatan seks yang buat isteri rasa tidak selesa, jijik, atau yang ganggu hati nurani isteri. Semasa melakukan hubungan intim, suami juga memastikan hati nuraninya murni di hadapan Yehuwa. (Kis. 24:16) Para suami, yakinlah bahawa Yehuwa gembira semasa anda berusaha layan isteri dengan baik dalam segala aspek kehidupan anda. Bertekadlah untuk mengelakkan kelakuan buruk yang akan melukai hati isteri. Tunjukkanlah kebaikan hati, kasih sayang, dan hormat kepadanya. Dengan itu, anda menunjukkan bahawa anda menghargai dan mencintainya. Yang terpenting, anda akan melindungi persahabatan anda dengan Yehuwa!—Mzm. 25:14. w25.01 13 ¶17-18
Sabtu, 14 Mac
Kristus mengorbankan dirinya untuk membebaskan kita dan membersihkan kita, agar kita menjadi umatnya dan miliknya yang istimewa, yang berbuat baik dengan semangat yang berkobar-kobar.—Tit. 2:14.
Satu hal yang membezakan umat Yehuwa daripada orang Kristian palsu ialah semangat mereka semasa menginjil. Apakah yang dapat membantu kita untuk mengekalkan dan bahkan meningkatkan semangat kita dalam kerja penyebaran? Kita dapat belajar daripada Yesus tentang cara untuk menginjil dengan bersemangat. Dalam sebuah perumpamaan, Yesus menyamakan dirinya dengan seorang pekerja yang bekerja keras selama tiga tahun untuk menjaga pokok ara, tetapi pokok itu tidak berbuah. Namun, pekerja itu tidak berputus asa. Begitu juga, Yesus bekerja keras untuk menginjil kepada orang Yahudi selama kira-kira tiga tahun, tetapi mereka menolaknya. Walaupun begitu, Yesus tidak berputus asa. (Luk. 13:6-9) Jika kita mematuhi ajaran Yesus dan meniru teladannya, kita juga dapat terus menginjil dengan bersemangat. w25.03 14-15 ¶1-4
Ahad, 15 Mac
Orang bijak bertindak berdasarkan pengetahuan.—Ams. 13:16.
Bagaimana jika ada seseorang yang anda rasa sesuai untuk menjadi teman hidup anda? Haruskah anda segera memberitahunya perasaan anda? Bible kata bahawa orang bijak bertindak berdasarkan pengetahuan. Jadi adalah bijak untuk memerhatikan seseorang terlebih dahulu sebelum meluahkan perasaan anda terhadapnya. Bagaimanakah orang bujang dapat memerhatikan seseorang dalam cara yang tidak ketara? Anda dapat memerhatikan kerohanian, sifat-sifat, dan kelakuannya semasa perjumpaan atau gathering. Siapakah kawan-kawannya? Apakah topik perbualannya? (Luk. 6:45) Adakah matlamatnya sama dengan anda? Anda juga mungkin dapat berjumpa dengan penatua di sidangnya atau orang Kristian matang lain yang rapat dengannya. (Ams. 20:18) Anda boleh tanya mereka tentang reputasi atau sifat-sifatnya. (Rut 2:11) Semasa anda memerhatikan orang yang anda suka itu, janganlah buat dia rasa kekok. Berilah dia ruang dan hormatilah perasaan dan privasinya. w24.05 22 ¶7-8
Isnin, 16 Mac
Akhirnya aku berkata, “Aku akan mengakui dosaku kepada Yehuwa.”—Mzm. 32:5.
Para penatua tidak akan segera menyimpulkan bahawa seorang pendosa tidak mungkin bertaubat. Ada pendosa yang bertaubat pada kali pertama jawatankuasa penatua jumpa mereka, manakala yang lain perlu lebih banyak masa. Maka para penatua mungkin atur untuk bertemu dengan seorang pendosa lebih daripada sekali. Barangkali, selepas pertemuan pertama, pendosa itu akan fikir nasihat yang diberikan jawatankuasa penatua, lalu berdoa kepada Yehuwa dengan rendah hati untuk memohon maaf. (Mzm. 38:18) Semasa pertemuan kedua, sikapnya mungkin berubah. Untuk bantu seorang pendosa bertaubat, para penatua berusaha menunjukkan empati dan kebaikan hati. Mereka berdoa agar Yehuwa berkati usaha mereka, dan berharap pendosa itu sedar dan bertaubat.—2 Tim. 2:25, 26. w24.08 22-23 ¶12-13
Selasa, 17 Mac
“Aku tidak suka melihat sesiapa pun mati,” firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat. “Jadi bertaubatlah dan terus hidup!”—Yeh. 18:32.
Yehuwa tidak mahu sesiapa pun dibinasakan! Dia mahu pendosa berbaik semula dengan-Nya. (2 Kor. 5:20) Itulah sebabnya sepanjang sejarah manusia, Yehuwa berkali-kali menggalakkan umat-Nya yang menyimpang untuk kembali kepada-Nya. Para penatua diberi penghormatan untuk bekerjasama dengan Yehuwa semasa mereka membantu pendosa untuk bertaubat. (Rm. 2:4; 1 Kor. 3:9) Bayangkan sukacita di syurga semasa ada pendosa yang bertaubat! Yehuwa, Bapa kita yang di syurga, merasai sukacita ini setiap kali seekor bebiri yang sesat kembali ke pangkuan-Nya. Semoga kasih kita untuk Yehuwa menjadi lebih dalam apabila kita merenungkan belas kasihan dan kebaikan hati-Nya yang unggul!—Luk. 1:78. w24.08 31 ¶16-17
Rabu, 18 Mac
Yesus tahu bahawa mereka akan datang dan memaksanya menjadi raja mereka. Maka sekali lagi dia pergi ke gunung seorang diri.—Yoh. 6:15.
Jika Yesus membiarkan orang menjadikannya raja, dia akan terlibat dalam hal politik. Maka Yesus beredar dan “pergi ke gunung seorang diri.” Apakah pengajarannya bagi kita? Sudah tentu, orang lain tidak akan meminta kita melakukan mukjizat untuk menyediakan roti atau menyembuhkan orang, dan mereka tidak akan memilih kita menjadi raja. Namun mereka mungkin memberi kita tekanan untuk mengundi atau menyokong calon politik yang mereka suka. Dalam situasi sebegini, ingatlah teladan Yesus. Dia enggan mencampuri urusan politik dunia. Tidak lama sebelum dia dihukum mati, dia bahkan berkata, “Kerajaanku bukan sebahagian daripada dunia ini.” (Yoh. 17:14; 18:36) Orang Kristian hari ini patut meniru fikiran dan perbuatan Yesus. Kita akan menyokong Kerajaan Tuhan, memberikan kesaksian tentangnya, dan berdoa agar Kerajaan Tuhan datang.—Mat. 6:10. w24.12 4 ¶5-6
Khamis, 19 Mac
Sesiapa yang menerima dan mematuhi perintahku ialah orang yang mengasihi aku. Sesiapa yang mengasihi aku dikasihi oleh Bapaku, dan aku juga akan mengasihinya dan memperlihatkan diriku dengan jelas kepadanya.—Yoh. 14:21.
Semasa belajar, carilah cara untuk terapkan apa yang anda belajar. Misalnya, anda boleh tiru keadilan Yehuwa dengan bersikap tidak berat sebelah. Anda juga boleh tiru kasih Yesus terhadap Yehuwa dan orang lain dengan sanggup menderita demi nama Yehuwa dan sudi buat pengorbanan untuk rakan seiman. Selain itu, anda boleh tiru teladan Yesus dengan menginjil kepada orang agar mereka juga berpeluang untuk beriman kepada korban tebusan. Apabila kita lebih faham dan hargai tebusan, kasih kita kepada Yehuwa dan Yesus akan semakin dalam. Hasilnya, mereka juga akan semakin mengasihi kita. (Yak. 4:8) Maka, gunalah Bible dan bahan bacaan yang disediakan oleh organisasi Yehuwa untuk terus belajar tentang tebusan! w25.01 25 ¶16-17
Jumaat, 20 Mac
Engkau tidak lagi memperhatikan dosa-dosaku.—Yes. 38:17.
Dalam terjemahan lain, ayat harian hari ini berbunyi, “Engkau telah melemparkan segala dosaku ke belakang-Mu.” Menurut gambaran ini, apabila seseorang bertaubat, Yehuwa akan mengangkat dan membuang dosanya, dan Dia tidak melihat dosa itu lagi. Perhatikan satu lagi gambaran di Mikha 7:18, 19. Ayat itu kata Yehuwa melemparkan semua dosa kita ke dasar laut. Pada zaman kuno, benda yang sudah dibuang ke dasar laut mustahil diperoleh kembali. Daripada gambaran-gambaran ini, kita belajar bahawa apabila Yehuwa mengampuni kita, Dia akan menyingkirkan dosa kita dengan sepenuhnya supaya kita tidak lagi dibebani rasa bersalah. Daud menulis, “Berbahagialah orang yang kejahatan mereka diampunkan oleh Tuhan, dan yang dosa mereka dihapuskan oleh Tuhan!” (Rm. 4:7) Ya, Yehuwa mengampuni orang dengan sepenuhnya! w25.02 9 ¶7-8
Sabtu, 21 Mac
Bergiranglah dan bersukacitalah selama-lamanya kerana apa yang Aku ciptakan.—Yes. 65:18.
Hari ini, terdapat sebuah firdaus di bumi yang didiami jutaan orang. Mereka hidup damai dan sibuk melakukan kegiatan yang bermanfaat. Mereka bertekad untuk tidak meninggalkan firdaus itu, dan mereka ingin menjemput seramai yang mungkin untuk menyertai mereka. Apakah firdaus itu? Firdaus rohani! Dunia Syaitan penuh dengan kebencian dan kejahatan. (1 Yoh. 5:19; Why. 12:12) Namun, Yehuwa masih dapat menciptakan firdaus rohani yang begitu aman dan selamat. Hal ini sungguh menakjubkan! Yehuwa tahu bahawa dunia Syaitan sangat berbahaya, jadi Dia menyediakan persekitaran yang selamat agar kita dapat menyembah-Nya dengan sukacita. Bible menggambarkan firdaus rohani sebagai “tempat berlindung” dan “taman yang diairi dengan baik.” (Yes. 4:6; 58:11) Dengan adanya berkat Yehuwa, semua orang dalam firdaus rohani ini dapat berasa bahagia dan selamat pada hari-hari terakhir ini.—Yes. 54:14; 2 Tim. 3:1. w24.04 20 ¶1-2
Ahad, 22 Mac
Nyatakanlah permohonan kamu kepada Tuhan.—Flp. 4:6.
Jika anda ingin berkahwin, anda mungkin telah berdoa tentang keinginan anda untuk cari teman hidup. Biarpun Yehuwa tidak berjanji untuk mencari teman hidup bagi anda, Dia prihatin tentang perasaan dan keperluan anda, dan Dia akan membantu anda. Maka teruslah meluahkan isi hati anda kepada-Nya dan mintalah kesabaran dan kebijaksanaan. (Mzm. 62:8; Yak. 1:5) Biarpun anda tidak dapat segera mencari pasangan hidup, Yehuwa berjanji untuk menjaga keperluan fizikal dan emosi anda. (Mzm. 55:22) Ingatlah, jangan terlalu asyik mencari teman hidup sehingga menjadikannya hal terpenting. (Flp. 1:10) Kebahagiaan sejati tidak bergantung pada status perkahwinan anda, tetapi hubungan anda dengan Yehuwa. (Mat. 5:3) Semasa bujang, anda ada lebih banyak kebebasan untuk meluaskan khidmat. (1 Kor. 7:32, 33) Maka gunakanlah masa bujang anda dengan sebaik-baiknya. w24.05 21 ¶4; 22 ¶6
Isnin, 23 Mac
Jagalah kepentingan orang lain, dan bukan hanya kepentingan diri kamu sendiri.—Flp. 2:4.
Berapa lamakah anda patut berdating? Keputusan yang terburu-buru biasanya membawa masalah. (Ams. 21:5) Jadi, masa berdating haruslah cukup panjang agar dapat mengenali bakal teman hidup anda. Namun, anda juga tidak patut panjangkan tempoh itu tanpa sebab munasabah, kerana Bible kata, “Harapan yang tertunda memedihkan hati.” (Ams. 13:12) Apakah yang dapat orang lain buat semasa ada pasangan berdating? Jemputlah mereka makan, sertai penyembahan keluarga, atau buat aktiviti riadah bersama kita. (Rm. 12:13) Anda dapat menemani mereka semasa keluar berdating atau menaiki kereta, atau jemput mereka ke rumah anda agar mereka tidak berdua-duaan. (Gal. 6:10) Jika anda diminta untuk menemani pasangan berdating, anggaplah itu suatu penghormatan. Berhati-hatilah agar mereka tidak bersendirian. Namun, berilah mereka masa dan ruang yang secukupnya untuk bincang hal peribadi. w24.05 30 ¶13-14
Selasa, 24 Mac
Aku memberi dia masa untuk bertaubat.—Why. 2:21.
Para penatua cuba menentukan apa yang buat pendosa lakukan dosa. Misalnya, adakah dia beransur-ansur lemah secara rohani kerana abaikan pembelajaran peribadi atau tidak keluar menginjil? Adakah dia jarang berdoa, atau adakah doanya tidak lagi ikhlas? Adakah dia tidak lawan keinginan salah? Adakah dia pilih hiburan atau pergaulan buruk? Bagaimanakah pilihannya dalam hal-hal ini telah mempengaruhi hatinya? Adakah dia sedar pilihan dan perbuatannya buat Yehuwa sedih? Dengan tanya soalan ini, para penatua dapat bantu pendosa untuk fikir apa yang lemahkan hubungannya dengan Yehuwa sehingga dia berdosa. Namun mereka tidak akan tanya butiran peribadi yang tidak diperlukan. (Ams. 20:5) Mereka juga mungkin guna contoh atau perumpamaan untuk bantunya sedar betapa berat dosanya. Barangkali, semasa kali pertama para penatua jumpa pendosa itu, dia akan mula menyesali haluannya dan bahkan bertaubat. w24.08 22 ¶9-11
Rabu, 25 Mac
Berita baik tentang Kerajaan Tuhan harus aku khabarkan juga di kota-kota lain, kerana untuk tugas itulah aku diutus.—Luk. 4:43.
Yesus mengkhabarkan berita baik dengan bersemangat kerana dia tahu itulah kehendak Tuhan baginya. Bagi Yesus, menginjil ialah hal yang terpenting. Tidak lama sebelum dia dibunuh, dia masih “mengunjungi kota demi kota dan pekan demi pekan untuk mengajar orang.” (Luk. 13:22) Dia juga melatih lebih banyak pengikutnya untuk menginjil. (Luk. 10:1) Hari ini, kerja menginjil masih merupakan kerja utama yang Yehuwa dan Yesus mahu kita lakukan. (Mat. 24:14; 28:19, 20) Kita dapat menginjil dengan lebih bersemangat jika kita meniru pandangan Yehuwa terhadap orang. Yehuwa mahu sebanyak orang yang mungkin untuk mendengar dan menerima berita baik. (1 Tim. 2:3, 4) Itulah sebabnya Dia melatih kita untuk menginjil dengan lebih mahir. Walaupun orang tidak menyambut baik mesej kita sekarang, mereka masih berpeluang untuk berbuat demikian sebelum kesengsaraan besar berakhir. w25.03 15-16 ¶5-7
Khamis, 26 Mac
Orang yang mengucapkan salam kepadanya turut mengambil bahagian dalam perbuatannya yang jahat.—2 Yoh. 11.
Setiap orang Kristian harus guna hati nurani yang dilatih Bible semasa melayan seseorang yang dikeluarkan daripada sidang. Ada orang berasa selesa untuk menyapa individu itu di Dewan Perjumpaan. Tetapi, kita tidak akan berbual panjang atau meluangkan masa dengan mereka. Sesetengah orang mungkin fikir, “Namun Bible ada kata kita tidak boleh bersalam dengan orang yang dikeluarkan daripada sidang. Jika kita bersalam dengan mereka, kita sudah ambil bahagian dalam perbuatan jahat mereka.” (2 Yoh. 9-11) Konteks ayat ini menunjukkan bahawa arahan tersebut berkaitan dengan orang yang terus menyebarkan ajaran murtad dan mereka yang menggalakkan orang untuk berbuat dosa. (Why. 2:20) Para penatua tidak akan mengunjungi orang sebegini. Sudah pasti kita harap mereka akan bertaubat. Tetapi selagi mereka belum bertaubat, kita tidak akan bersalam dengan mereka atau jemput mereka untuk menghadiri perjumpaan. w24.08 30-31 ¶14-15
Jumaat, 27 Mac
Hati mereka masih tidak mengerti.—Mrk. 6:52.
Selepas beri makanan kepada orang ramai, Yesus suruh rasulnya naik perahu ke Kapernaum, manakala dia pergi ke gunung untuk elak orang ramai yang paksanya jadi raja. (Yoh. 6:16-20) Semasa para rasul dalam perahu, ribut badai melanda tasik. Maka Yesus datang kepada mereka dengan berjalan di atas air, dan dia juga jemput Petrus untuk berjalan di atas air. (Mat. 14:22-31) Sebaik sahaja Yesus masuk ke dalam perahu, ribut pun reda. Para rasul sangat kagum lalu berkata, “Sememangnya Guru ialah Anak Tuhan.” (Mat. 14:33) Mengenai peristiwa ini, Markus menulis, “[Para rasul] sangat hairan, kerana mereka masih belum memahami pengajaran daripada peristiwa Yesus membahagi-bahagikan roti itu.” (Mrk. 6:50-52) Walaupun mereka baru sahaja lihat Yesus menyediakan roti secara mukjizat, mereka tidak faham bahawa Yehuwa telah berinya kuasa jauh lebih besar untuk buat mukjizat yang lain. w24.12 5 ¶7
Sabtu, 28 Mac
Tuhan menghendaki segala macam orang diselamatkan dan memperoleh pengetahuan yang tepat tentang kebenaran.—1 Tim. 2:4.
Kita dapat menunjukkan penghargaan atas kasih Yehuwa, iaitu dengan menunjukkan kesyukuran kita atas korban tebusan semasa musim Peringatan tahun ini. Selain buat persiapan untuk hadir Peringatan, kita juga mahu jemput orang lain untuk hadir. Anda boleh guna video Mengapakah Yesus Mati? dan Kenanglah Kematian Yesus di jw.org untuk menunjukkan apa yang akan berlaku semasa Peringatan. Para penatua, pastikan anda jemput saudara saudari yang tidak aktif untuk hadir. Bayangkan betapa besarnya sukacita di syurga dan di bumi apabila sesetengah bebiri Yehuwa yang sesat kembali ke kawanan-Nya! (Luk. 15:4-7) Pada malam Peringatan, janganlah kita hanya bersalam dengan orang yang kita kenal. Kita juga mahu mengalu-alukan orang baharu dan mereka yang sudah lama tidak hadir Peringatan!—Rm. 12:13. w25.01 29 ¶15
Ahad, 29 Mac
Tuhan mengutus Anak-Nya sebagai korban pendamaian untuk dosa kita kerana Dia mengasihi kita.—1 Yoh. 4:10.
Korban tebusan ajar kita bahawa Yehuwa memang adil. Lebih penting lagi, korban tebusan ajar kita betapa dalamnya kasih Yehuwa. (Yoh. 3:16; 1 Yoh. 4:9, 10) Fikirkan: Semasa Adam mengingkari Tuhan, dia diusir daripada keluarga Yehuwa. Akibatnya, kita semua berdosa dan bukan ahli keluarga Tuhan sejak lahir lagi. Namun dengan adanya korban tebusan, dosa kita dapat diampunkan. Hasilnya, kita menikmati hubungan yang rapat dengan Yehuwa dan dengan rakan seiman kita sekarang. Pada masa depan, kita juga berpeluang diterima sebagai ahli keluarga Yehuwa dan hidup selama-lamanya. Yehuwa menyediakan korban tebusan supaya kita dapat menikmati semua berkat ini. Tidakkah hal ini membuktikan bahawa Yehuwa benar-benar mengasihi kita?—Rm. 5:10, 11. w25.01 21 ¶6
Pembacaan Bible sempena Peringatan: (Peristiwa waktu siang: 9 Nisan) Yohanes 12:12-19; Markus 11:1-11
Isnin, 30 Mac
Inilah caranya Tuhan menunjukkan kasih kepada kita.—1 Yoh. 4:9.
Kita pasti setuju bahawa korban tebusan merupakan kurniaan yang paling berharga! (2 Kor. 9:15) Oleh sebab Yesus mengorbankan nyawanya, kita semua berpeluang untuk jadi sahabat rapat Yehuwa dan hidup selamanya. Kita sangat bersyukur kepada Yehuwa kerana Dia begitu mengasihi kita dan sediakan korban tebusan! (Rm. 5:8) Untuk bantu kita sentiasa menghargai pemberian ini dan tidak melupakannya, Yesus mengarahkan kita untuk memperingati kematiannya setiap tahun. (Luk. 22:19, 20) Tahun ini, Peringatan akan disambut pada hari Khamis, 2 April 2026. Sudah tentu, kita semua mahu menghadirinya. Selain itu, beberapa minggu sebelum dan selepas Peringatan, adalah baik untuk merenungkan apa yang telah dilakukan Yehuwa dan Yesus demi kita. w25.01 20 ¶1-2
Pembacaan Bible sempena Peringatan: (Peristiwa waktu siang: 10 Nisan) Yohanes 12:20-50
Selasa, 31 Mac
Terimalah ajaranku dan bukannya perak; terimalah pengetahuan dan bukannya emas tulen.—Ams. 8:10.
Anda dapat terus belajar tentang kasih Yehuwa dan Yesus Kristus terhadap kita dengan merenungkan apa yang telah mereka lakukan. Contohnya, pada musim Peringatan tahun ini, cubalah membaca kisah hidup Yesus dalam Bible dengan lebih teliti. Janganlah membacanya dengan tergesa-gesa. Sebaliknya, bacalah dengan perlahan sambil mencari lebih banyak sebab mengapa kita patut mengasihi Yehuwa dan Yesus. Jika anda sudah lama dalam kebenaran, anda mungkin fikir anda tidak dapat belajar hal yang baharu tentang topik asas seperti keadilan Tuhan, kasih-Nya, dan korban tebusan. Namun hal itu tidak benar. Jadi, gunakanlah bahan bacaan kita dengan sebaik-baiknya. w25.01 24-25 ¶13-15
Pembacaan Bible sempena Peringatan: (Peristiwa waktu siang: 11 Nisan) Lukas 21:1-36