PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Watchtower
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • es26 ms. 17-26
  • Februari

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Februari
  • Mengkaji Ayat-Ayat Suci Setiap Hari—2026
  • Tajuk Kecil
  • Ahad, 1 Februari
  • Isnin, 2 Februari
  • Selasa, 3 Februari
  • Rabu, 4 Februari
  • Khamis, 5 Februari
  • Jumaat, 6 Februari
  • Sabtu, 7 Februari
  • Ahad, 8 Februari
  • Isnin, 9 Februari
  • Selasa, 10 Februari
  • Rabu, 11 Februari
  • Khamis, 12 Februari
  • Jumaat, 13 Februari
  • Sabtu, 14 Februari
  • Ahad, 15 Februari
  • Isnin, 16 Februari
  • Selasa, 17 Februari
  • Rabu, 18 Februari
  • Khamis, 19 Februari
  • Jumaat, 20 Februari
  • Sabtu, 21 Februari
  • Ahad, 22 Februari
  • Isnin, 23 Februari
  • Selasa, 24 Februari
  • Rabu, 25 Februari
  • Khamis, 26 Februari
  • Jumaat, 27 Februari
  • Sabtu, 28 Februari
Mengkaji Ayat-Ayat Suci Setiap Hari—2026
es26 ms. 17-26

Februari

Ahad, 1 Februari

Orang bodoh akan melibatkan diri dalam pertengkaran; orang yang menghindari pertengkaran patut dipuji.​—Ams. 20:3.

Saudara yang ada sifat yang baik dapat banyak membantu sidang. Saudara yang munasabah berusaha jaga kedamaian. Jika anda mahu dikenali sebagai orang yang munasabah, dengarlah pandangan orang dan cubalah memahami mereka. Misalnya, bayangkan anda sudah jadi penatua. Jika kebanyakan penatua setuju buat suatu keputusan yang tidak langgar prinsip Bible, adakah anda akan sokong biarpun anda kurang setuju? Dengarlah pendapat orang dan jangan paksa mereka ikut pandangan anda. (Kej. 13:​8, 9; Ams. 15:22) Berusahalah untuk bersikap hormat, tidak bertikam lidah, dan ambil kira perasaan orang. Sebagai seorang yang suka akan kedamaian, cubalah berdamai dengan orang lain biarpun dalam situasi yang susah. (Yak. 3:​17, 18) Kata-kata anda yang lembut dapat bantu bahkan para penentang untuk bertenang.​—Hak. 8:​1-3; Ams. 25:15; Mat. 5:​23, 24. w24.11 23 ¶13

Isnin, 2 Februari

Dia akan mengutus malaikat-malaikat ke empat arah mata angin untuk mengumpulkan umatnya yang terpilih dari hujung bumi ke hujung langit.​—Mrk. 13:27.

Walaupun Kristus “mati sekali sahaja,” dia masih membuat pengorbanan untuk kita. (Rm. 6:10) Bagaimana? Dia terus meluangkan masa dan usaha untuk pastikan kita meraih manfaat daripada korban tebusannya. Fikirkan apa yang sedang dilakukannya. Dia berkhidmat sebagai Raja, Imam Agung, dan ketua sidang. (1 Kor. 15:25; Ef. 5:23; Ibr. 2:17) Dia juga memimpin kerja mengumpulkan orang Kristian terurap dan kumpulan besar manusia, dan kerja ini harus disiapkan sebelum kesengsaraan besar berakhir. (Mat. 25:32) Selain itu, dia pastikan agar pengikutnya diberi makanan rohani yang melimpah sepanjang hari-hari terakhir. (Mat. 24:45) Semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus nanti, dia akan terus bantu manusia. Jelaslah, Yehuwa memberikan Anak-Nya untuk menolong kita dalam banyak cara! w25.01 24 ¶12

Selasa, 3 Februari

Tuhan memperlihatkan kebaikan hati-Nya yang unggul dengan membebaskan mereka melalui tebusan yang dibayar oleh Kristus Yesus. Melalui kurniaan percuma itu, mereka dianggap sebagai orang yang diperkenankan-Nya.​—Rm. 3:24.

Apabila Yehuwa mengampuni kita dengan sepenuhnya, Dia tidak akan hukum kita atas dosa yang sudah diampunkan-Nya. Oleh itu, kita dapat menikmati hubungan yang baik dengan-Nya. Pada masa yang sama, ingatlah bahawa pengampunan Yehuwa ialah suatu kurniaan. Dia mengampuni kita bukan kerana kita layak diampuni, tetapi kerana Dia pengasih dan penuh dengan kebaikan hati yang unggul. Kita bersyukur kerana Yehuwa “mengampuni orang dengan sepenuhnya”! (Mzm. 130:4; Rm. 4:8) Namun, kita mesti buat sesuatu agar dosa kita diampunkan. Yesus kata, “Jika kamu tidak mengampunkan kesalahan orang lain, Bapa kamu juga tidak akan mengampunkan kesalahan kamu.” (Mat. 6:​14, 15) Jelaslah, kita mesti tiru sifat Yehuwa yang suka mengampuni. w25.02 13 ¶18-19

Rabu, 4 Februari

Tuhan akan membangkitkan orang yang baik dan orang yang tidak baik.​—Kis. 24:15.

Fikirkan penduduk Sodom dan Gomora yang jahat. Bible kata bahawa “semua lelaki di kota Sodom, baik yang muda mahupun yang tua,” cuba merogol tetamu Lot. (Kej. 19:4; 2 Ptr. 2:7) Daripada perbualan Yehuwa dengan Abraham, tidak ada 10 orang baik pun di kota itu. Maka Yehuwa menghukum mereka setimpal dengan perbuatan mereka. (Kej. 18:32) Namun, bolehkah kita berkata bahawa Yehuwa, Tuhan yang berbelas kasihan, telah memutuskan bahawa tiada seorang pun antara mereka yang akan dibangkitkan? Bible tidak beritahu bahawa Lot menginjil kepada setiap orang di kota itu. Jadi kita tidak tahu sama ada mereka berpeluang untuk mengenali Yehuwa dan standard-Nya atau tidak. Jika begitu, bolehkah kita pasti bahawa tiada seorang pun antara mereka yang akan hidup semula semasa Tuhan “membangkitkan . . . orang yang tidak baik”? Tidak, kita tidak tahu! w24.05 2 ¶3; 3 ¶8

Khamis, 5 Februari

Hendaklah kamu sentiasa mengutamakan Kerajaan Tuhan dan apa yang benar di mata-Nya, dan semua perkara itu akan diberikan kepada kamu.​—Mat. 6:33.

Disebabkan perubahan keadaan ekonomi, sesetengah orang menerima tawaran untuk bekerja jauh dari keluarga, tetapi kemudiannya sedar bahawa keputusan itu tidak bijak. Jadi semasa memilih kerja, kita bukan sahaja patut memikirkan gajinya, tetapi juga kerohanian kita dan keluarga kita. (Luk. 14:28) Tanyalah diri, “Jika saya dan pasangan saya hidup berjauhan, apakah kesannya terhadap perkahwinan kami? Dapatkah saya menghadiri perjumpaan, menginjil, dan bergaul dengan saudara saudari secara tetap?” Para ibu bapa, tanyalah diri, “Bagaimanakah saya dapat membesarkan anak dengan ‘disiplin dan nasihat daripada Yehuwa’ jika saya tidak bersama mereka?” (Ef. 6:4) Semasa membuat keputusan, ikutlah nasihat Tuhan, bukan nasihat ahli keluarga atau sahabat yang tidak hormat prinsip Bible. w25.03 29 ¶12

Jumaat, 6 Februari

Kita tidak patut menjadi seperti kanak-kanak lagi.​—Ef. 4:14.

Orang Kristian yang tidak matang mudah diperdaya oleh “tipu muslihat,” “ajaran palsu,” teori konspirasi, atau ajaran murtad. Mereka mungkin cepat iri hati, suka bertengkar, cepat tersinggung, atau mudah tergoda. (1 Kor. 3:3) Bible menyamakan pertumbuhan rohani dengan pertumbuhan fizikal kanak-kanak. (Ef. 4:15) Kanak-kanak perlu diawasi. Fikirkan contoh ini: Seorang ibu akan pegang tangan anak perempuannya semasa melintasi jalan raya. Apabila anaknya lebih besar, ibunya mungkin membenarkannya untuk melintasi jalan raya seorang diri, tetapi ibunya masih akan mengingatkannya untuk melihat ke kiri dan ke kanan sebelum melintas. Apabila anak itu sudah dewasa, dia sendiri tahu cara untuk mengelakkan bahaya di jalan raya. Begitu juga, setelah seorang Kristian menjadi matang, mereka sendiri dapat memikirkan prinsip Bible untuk tahu fikiran Yehuwa dan ambil tindakan yang sewajarnya. w24.04 3 ¶5-6

Sabtu, 7 Februari

Ya Yehuwa, siapakah yang boleh menjadi tetamu di khemah-Mu?​—Mzm. 15:1.

Buat suatu jangka masa, tetamu Yehuwa hanya terdiri daripada makhluk roh di syurga. Selepas itu, Dia mula menjemput manusia di bumi untuk menjadi tetamu-Nya. Antara mereka termasuk Henokh, Nuh, Abraham, dan Ayub. Bible menggambarkan mereka sebagai sahabat Tuhan, atau orang yang “hidup akrab dengan Tuhan yang benar.” (Kej. 5:24; 6:9; Ayb. 29:4; Yes. 41:8) Sepanjang sejarah manusia, Yehuwa menjemput sahabat-Nya untuk menjadi tetamu-Nya. (Yeh. 37:​26, 27) Misalnya, nubuat Yehezkiel mengajar kita bahawa Tuhan ingin menjadi sahabat rapat para penyembah-Nya. Dia bernubuat bahawa Dia akan “membuat perjanjian damai dengan mereka.” Nubuat itu menggambarkan masanya mereka yang ada harapan untuk hidup di syurga dan mereka yang ada harapan untuk hidup di bumi menjadi “satu kawanan” di dalam khemah Yehuwa. (Yoh. 10:16) Itulah yang berlaku sekarang! w24.06 2 ¶2, 4; 3 ¶5

Ahad, 8 Februari

Tuhan kita telah mengurniai kami keberanian.​—1 Tes. 2:2.

Sebagai umat Yehuwa, kita mahu sokong Kerajaan Tuhan dengan sepenuh hati, tetapi sering kali, kita memerlukan keberanian untuk berbuat demikian. (Mat. 6:33) Contohnya, dalam dunia jahat ini, kita memerlukan keberanian untuk menginjil dan hidup selaras dengan standard Yehuwa. Kita juga memerlukan keberanian untuk tetap neutral dari segi politik dalam dunia yang semakin berpecah belah. (Yoh. 18:36) Banyak antara umat Yehuwa mengalami masalah kewangan, dianiaya secara fizikal, dan dipenjarakan kerana enggan terlibat dalam politik atau menyertai tentera. Kita dapat meraih kekuatan dan keberanian semasa melihat contoh penyembah Yehuwa yang menyokong pemerintahan-Nya dengan berani. Raja kita, Yesus Kristus, tidak tunduk kepada tekanan untuk melibatkan diri dalam sistem politik Syaitan. (Mat. 4:​8-11; Yoh. 6:​14, 15) Dia selalu bergantung pada Yehuwa untuk mendapat kekuatan. w24.07 3 ¶4; 4 ¶7

Isnin, 9 Februari

Dia mengambil buah itu dan mula memakannya. Apabila dia bersama-sama suaminya, dia juga memberikan buah itu kepadanya, dan suaminya pun memakannya.​—Kej. 3:6.

Yehuwa memastikan kisah Adam dan Hawa dicatatkan dalam Bible demi manfaat kita. Daripada kisah itu, kita faham bahawa Yehuwa begitu benci dosa kerana dosa merosakkan hubungan kita dengan-Nya dan bawa kematian. (Yes. 59:2) Syaitan, iaitu makhluk roh yang memberontak dan menyebabkan semua masalah ini, mencintai dosa dan mahu manusia berdosa. Semasa pemberontakan di Eden, Syaitan mungkin fikir dia telah menggagalkan tujuan Tuhan untuk manusia. Namun dia lupa bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang pengasih dan tidak akan ubah tujuan-Nya. Yehuwa mengasihi manusia dan serta-merta memberi kita harapan. (Rm. 8:​20, 21) Yehuwa yakin bahawa sesetengah keturunan Adam dan Hawa akan pilih untuk mengasihi-Nya dan meminta bantuan-Nya untuk melawan dosa. Sebagai Bapa dan Pencipta kita, Dia akan buka jalan agar kita bebas daripada dosa dan dapat menghampiri-Nya. w24.08 3 ¶3-4

Selasa, 10 Februari

Mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.​—Flp. 1:10.

Kebanyakan daripada umat Yehuwa hari ini sangat sibuk. Kita perlu bekerja untuk menyediakan keperluan diri sendiri dan keluarga kita. (1 Tim. 5:8) Ramai orang Kristian juga perlu menjaga ahli keluarga yang sakit atau lanjut usia. Selain itu, kita semua perlu menjaga kesihatan diri sendiri. Tambahan lagi, kita mempunyai tanggungjawab yang penting dalam sidang, seperti bergiat dalam kerja penyebaran. Pembacaan Bible ialah salah satu “perkara yang lebih penting” bagi orang Kristian, maka kita harus mengutamakannya. Penulis mazmur menyatakan, “Berbahagialah orang yang suka akan hukum Yehuwa, dan yang membaca serta merenungkan hukum itu siang dan malam!” (Mzm. 1:​1, 2) Jelaslah, kita harus meluangkan masa untuk membaca Bible. Bilakah masa yang paling sesuai untuk membaca Bible? Hal itu bergantung pada anda. Pilihlah masa di mana anda dapat membaca Bible secara tetap. w24.09 3 ¶5-6

Rabu, 11 Februari

Setiap orang harus memikul tanggungan masing-masing.​—Gal. 6:5.

Adakah orang Kristian yang matang perlu bantuan orang lain? Ya. Mereka ada kalanya perlu minta bantuan. Orang Kristian yang belum matang mungkin harap orang buat keputusan baginya atau beritahunya apa yang harus dibuat. Orang Kristian yang matang pula berbeza. Walaupun mereka minta nasihat daripada orang yang berpengalaman, mereka sedar Yehuwa ingin setiap orang “memikul tanggungan masing-masing.” Sepertimana orang dewasa ada rupa luaran yang berbeza, orang Kristian yang matang juga ada sifat yang berbeza, seperti bijaksana, berani, murah hati, atau empati. Selain itu, semasa dua orang Kristian yang matang alami situasi serupa, mereka mungkin buat keputusan berbeza, tetapi masih selaras dengan prinsip Bible. Hal ini sering berlaku dalam keputusan yang melibatkan hati nurani. Maka, mereka akan utamakan perpaduan dan tidak menghakimi keputusan orang.​—Rm. 14:10; 1 Kor. 1:10. w24.04 4 ¶7-8

Khamis, 12 Februari

Apabila aku dilanda kekhuatiran, Engkau menenangkan dan melegakan jiwaku.​—Mzm. 94:19.

Apakah yang dapat anda lakukan jika anda rasa tidak berguna? Bacalah dan renungkanlah ayat-ayat Bible yang mengingatkan anda bahawa anda bernilai di mata Yehuwa. Janganlah membandingkan diri dengan orang lain atau berfokus kepada hal yang tidak mampu anda capai. Yehuwa Tuhan yang munasabah. (Mzm. 103:​13, 14) Jika anda pernah didera, janganlah salahkan diri sendiri. Ingatlah, yang berdosa di mata Yehuwa ialah pendera, bukan mangsa. (1 Ptr. 3:12) Jika anda mempunyai pengalaman buruk pada masa lalu, Yehuwa dapat menggunakan pengalaman anda untuk membantu orang lain. Dia telah memberi anda penghormatan untuk menjadi rakan sekerja-Nya dalam kerja penyebaran. (1 Kor. 3:9) Barangkali, cabaran yang anda lalui telah membantu anda lebih memahami dan menyelami perasaan orang lain. Jadi, anda lebih bersedia membantu mereka. w24.10 7-8 ¶6-7

Jumaat, 13 Februari

Walaupun Tuhan sabar, tidakkah Dia akan menegakkan keadilan bagi umat pilihan-Nya yang berseru kepada-Nya siang dan malam? Aku berkata kepada kamu: Dia akan menegakkan keadilan bagi mereka dengan segera.​—Luk. 18:​7, 8.

Yehuwa sangat ambil berat terhadap kita, dan Dia mahu kita dilayan dengan baik. Bagaimanakah kita tahu? Bible kata, “Yehuwa mencintai keadilan.” (Mzm. 37:28) Yesus juga menjamin bahawa Yehuwa akan “menegakkan keadilan . . . dengan segera” apabila masanya tiba. Tidak lama lagi, Yehuwa akan lenyapkan ketidakadilan dan menghilangkan semua penderitaan kita. (Mzm. 72:​1, 2) Sementara kita menantikan masa itu, Yehuwa mengajar kita cara untuk menghadapi ketidakadilan dengan berjaya. (2 Ptr. 3:13) Dia berbuat demikian menerusi teladan Anak-Nya yang sempurna dan nasihat yang praktikal dalam Bible. Dengan itu, kita tahu apa yang patut atau tidak patut dilakukan semasa ditindas. w24.11 2-3 ¶3-4

Sabtu, 14 Februari

Berilah mereka makanan.​—Mat. 14:16.

Permintaan Yesus untuk beri makanan kepada orang ramai amat mencabar kerana jumlah lelaki sudah kira-kira 5,000 orang. Jika ditambahkan dengan wanita dan kanak-kanak, mereka mungkin perlu sediakan makanan untuk kira-kira 15,000 orang. (Mat. 14:21) Maka Andreas kata, “Ada seorang budak lelaki di sini yang mempunyai lima ketul roti barli dan dua ekor ikan kecil, tetapi mana mungkin cukup untuk begitu banyak orang?” (Yoh. 6:9) Roti barli ialah makanan yang biasa, dan ikan itu mungkin sudah dibubuh garam dan dikeringkan. Namun, makanan yang dibawa oleh budak lelaki itu nampaknya tidak cukup. Yesus mahu bermurah hati kepada orang ramai, jadi dia suruh mereka duduk di atas rumput secara berkumpulan. (Mrk. 6:​39, 40; Yoh. 6:​11-13) Kemudian, Yesus ucap syukur kepada Yehuwa atas roti dan ikan itu kerana Yehuwalah Sumber makanan itu. Teladan Yesus ajar kita bahawa kita harus berdoa sebelum makan. Selepas itu, Yesus suruh para rasul edarkan makanan itu. Orang ramai makan sampai kenyang. w24.12 2-3 ¶3-4

Ahad, 15 Februari

Pujilah Yehuwa, Tuhan kamu!​—1 Taw. 29:20.

Semasa Yesus di bumi, dia memuliakan Yehuwa dengan mengakui bahawa Yehuwalah yang memberinya kuasa untuk melakukan mukjizat. (Mrk. 5:​18-20) Yesus juga memuliakan Yehuwa melalui ajarannya dan cara dia melayan orang lain. Pernah sekali, semasa Yesus mengajar di rumah ibadat, seorang wanita yang telah dirasuk roh jahat selama 18 tahun juga berada di situ. Roh jahat itu menyebabkannya bongkok dan langsung tidak dapat berdiri tegak. Yesus mengasihani wanita itu lalu menghampirinya dan berkata dengan lembut, “Hai wanita, kamu disembuhkan daripada penyakitmu.” Kemudian Yesus meletakkan tangannya ke atas wanita itu, lalu wanita itu segera berdiri tegak dan “mula memuliakan Tuhan.” (Luk. 13:​10-13) Wanita itu memuliakan Yehuwa kerana Yehuwa telah menyembuhkannya. Kita juga ada sebab yang baik untuk memuliakan Yehuwa. w25.01 2-3 ¶3-4

Isnin, 16 Februari

Ampunkanlah dosa kami.​—Luk. 11:4.

Kita sendiri tidak mampu mendapat kembali apa yang dihilangkan oleh Adam dan Hawa. (Mzm. 49:​7-9) Jika tiada sesiapa yang membantu kita, kita semua akan mati dan lenyap buat selama-lamanya seperti binatang. (Pkh. 3:19; 2 Ptr. 2:12) Bapa kita yang pengasih dan murah hati, Yehuwa, telah menyediakan bantuan untuk membayar hutang dosa yang kita warisi daripada Adam. Yesus menjelaskan, “Tuhan begitu mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak tunggal-Nya, supaya setiap orang yang beriman kepadanya tidak dibinasakan tetapi mendapat kehidupan kekal.” (Yoh. 3:16) Selain itu, bantuan, atau kurniaan ini, membolehkan kita menjalin hubungan yang baik dengan Yehuwa. Kita dapat meraih manfaat daripada kurniaan ini dan hutang dosa kita dihapuskan. w25.02 2-3 ¶3-6

Selasa, 17 Februari

Saulus bangun dan dibaptis.​—Kis. 9:18.

Apakah yang membantu Saulus dibaptis? Semasa Yesus menampakkan diri kepada Saulus, cahaya memancar di sekeliling Saulus dan dia menjadi buta. (Kis. 9:​3-9) Selama tiga hari, dia berpuasa dan mungkin memikirkan apa yang telah berlaku kepadanya. Selepas itu, Saulus yakin bahawa Yesus ialah Mesias dan pengikutnya menganuti agama yang benar. Ada banyak hal yang boleh kita belajar daripada Saulus. Dia tidak membiarkan kesombongan dan rasa takut akan manusia menghalangnya daripada dibaptis. Saulus sudi menjadi orang Kristian biarpun dia tahu bahawa dia akan dianiaya. (Kis. 9:​15, 16; 20:​22, 23) Selepas dibaptis, dia terus bergantung pada bantuan Yehuwa untuk menghadapi pelbagai cabaran. (2 Kor. 4:​7-10) Jika anda dibaptis sebagai salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa, anda mungkin ditentang atau menghadapi cabaran lain. Walaupun begitu, anda boleh yakin bahawa Tuhan dan Kristus akan sentiasa membantu anda untuk bertabah.​—Flp. 4:13. w25.03 4 ¶8-9

Rabu, 18 Februari

Cara aku berlari bukanlah dengan tidak menentu.​—1 Kor. 9:26.

Membaca Bible memang matlamat yang baik. Namun, untuk meraih manfaat yang sepenuhnya, sekadar membaca Bible tidak cukup. Fikirkan contoh ini: Tanaman perlukan air hujan untuk bertumbuh. Tetapi jika hujan terlalu lebat, air yang berlebihan itu tidak dapat diserap oleh tanah dan tidak bermanfaat untuk tanaman. Namun, apabila air hujan membasahi tanah secara perlahan-lahan, air itu dapat diserap dan bawa manfaat kepada tanaman. Begitu juga, kita tidak mahu tergesa-gesa membaca Bible sehingga tidak dapat “menyerap” mesejnya. Sebaliknya, kita ingin baca secara perlahan agar dapat ingat dan terapkan apa yang kita baca. (Yak. 1:24) Apakah yang patut anda buat jika anda sedar bahawa anda membaca Bible dengan terlalu laju? Berusahalah untuk baca dengan lebih perlahan agar dapat merenungkan apa yang anda baca. Anda boleh luangkan sedikit masa selepas sesi pembelajaran supaya dapat buat perenungan. w24.09 4 ¶7-9

Khamis, 19 Februari

Patuhilah mereka yang mengambil pimpinan dalam kalangan kamu.​—Ibr. 13:17.

Semasa diberi arahan, para penatua perlu membacanya dengan teliti dan berusaha sebaik-baiknya untuk mengikut arahan itu. Mereka diberi arahan tentang cara mengendalikan perjumpaan, cara mengucapkan doa bagi sidang, dan cara menjaga biri-biri Kristus. Apabila para penatua mengikut arahan daripada organisasi Tuhan, saudara saudari akan berasa selamat dan dikasihi. Semasa kita menerima arahan daripada para penatua, kita harus mematuhinya dengan rela. Dengan itu, kita akan meringankan kerja mereka. Bible menggalakkan kita untuk patuh dan tunduk kepada mereka yang mengambil pimpinan. (Ibr. 13:​7, 17) Hal itu ada kalanya mencabar kerana mereka tidak sempurna. Namun jika kita bertumpu kepada kelemahan mereka dan bukannya sifat-sifat baik mereka, kita sebenarnya sedang membantu para penentang. Mengapa? Sikap kita mungkin membuat orang lain hilang kepercayaan terhadap organisasi Tuhan. w24.04 10 ¶11-12

Jumaat, 20 Februari

Dia akan memisahkan orang menjadi dua kumpulan.​—Mat. 25:32.

Adakah semua orang yang mati semasa kesengsaraan besar tidak akan dibangkitkan? Bible jelas menyatakan bahawa para penentang yang dihapuskan oleh Yehuwa dan bala tentera-Nya semasa Armagedon tidak akan dibangkitkan. (2 Tes. 1:​6-10) Bagaimana pula dengan mereka yang mati semasa kesengsaraan besar kerana penyakit, usia tua, kemalangan, atau dibunuh orang? (Pkh. 9:11; Za. 14:13) Mungkinkah ada antara mereka yang akan tergolong sebagai “orang yang tidak baik” dan dibangkitkan di dunia baharu? (Kis. 24:15) Kita tidak tahu. Tetapi kita tahu terdapat sesetengah peristiwa pada masa depan yang memang kita tahu. Contohnya, kita tahu bahawa semasa Armagedon, orang akan dihakimi berdasarkan cara mereka melayan saudara terurap Kristus. (Mat. 25:40) Jika mereka menyokong kaum terurap dan Kristus, mereka akan dianggap sebagai biri-biri.​—Why. 12:17. w24.05 10-11 ¶9-11

Sabtu, 21 Februari

Yehuwa ialah Tuhan yang hidup! Terpujilah Dia, Gunung Batuku! Semoga Dia dimuliakan kerana Dialah Penyelamatku!​—Mzm. 18:46.

Bible kata bahawa kita sedang hidup pada “masa genting yang sukar dihadapi.” (2 Tim. 3:1) Selain bergelut dengan cabaran yang dihadapi semua orang dalam dunia jahat ini, umat Yehuwa perlu berdepan dengan tentangan dan penganiayaan. Apakah yang membantu kita terus menyembah Yehuwa? Satu hal penting yang membantu kita ialah kita sudah merasai bantuan Yehuwa dan yakin bahawa Dia ialah “Tuhan yang hidup.” (Yer. 10:10; 2 Tim. 1:12) Yehuwa betul-betul wujud dan sedia menyokong kita semasa menghadapi cubaan. (2 Taw. 16:9; Mzm. 23:4) Jika kita ingat bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang hidup, kita dapat menghadapi apa-apa cubaan dengan berjaya. w24.06 20 ¶1-2

Ahad, 22 Februari

Jalan orang yang melakukan apa yang benar bagaikan sinaran mentari pada waktu fajar; kian lama kian cerah sehingga sinarannya terang-benderang.​—Ams. 4:18.

Mengapakah kita harus terus mempercayai organisasi Yehuwa? Semasa para saudara yang mengambil pimpinan melihat bukti yang jelas bahawa pemahaman Bible tertentu atau cara kita berkhidmat kepada Yehuwa perlu diubah, mereka tidak teragak-agak untuk membuat perubahan. Bagi mereka, hal yang terpenting ialah menyenangkan hati Yehuwa. Semasa membuat keputusan, mereka berusaha sedaya upaya untuk mengikut bimbingan Bible. Itulah standard atau piawaian yang harus dipatuhi oleh semua penyembah Yehuwa. Rasul Paulus memberikan nasihat ini: “Teruslah berpegang pada piawaian kata-kata sihat.” (2 Tim. 1:13) “Piawaian kata-kata sihat” merujuk kepada ajaran Bible. (Yoh. 17:17) Ajaran sedemikian merupakan asas kepercayaan kita. Organisasi Yehuwa mengajar kita untuk berpegang pada piawaian itu. Selagi kita berbuat demikian, kita akan diberkati. w24.07 11-12 ¶12-13

Isnin, 23 Februari

Yehuwa sabar terhadap kamu, kerana Dia tidak ingin seorang pun dibinasakan. Dia ingin agar semua orang berpeluang untuk bertaubat.​—2 Ptr. 3:9.

Daripada pengalamannya, Petrus dapat mengajar orang bahawa jika mereka mahu diampuni, mereka mesti bertaubat. Tidak lama selepas Perayaan Pentakosta, Petrus berikan ceramah kepada sekumpulan orang Yahudi. Dia menjelaskan bahawa mereka telah bunuh Mesias. Namun dengan penuh kasih, dia menggalakkan mereka, “Bertaubatlah, dan berpalinglah kepada Tuhan supaya dosa kamu dihapuskan. Dengan itu, Yehuwa sendiri akan menyegarkan kamu.” (Kis. 3:​14, 15, 17, 19) Kata-katanya menunjukkan bahawa pendosa yang bertaubat dengan ikhlas harus ‘berpaling kepada Tuhan.’ Maksudnya, dia harus ubah fikiran dan perbuatannya, lalu ikut haluan hidup baharu yang menyenangkan Tuhan. Dengan itu, Tuhan akan menghapuskan dosanya. Tidakkah kita lega kerana tahu bahawa biarpun kita buat dosa serius, dosa kita dapat diampunkan asalkan kita bertaubat? w24.08 12 ¶14

Selasa, 24 Februari

Hendaklah cara hidup kamu bebas daripada cinta akan wang.​—Ibr. 13:5.

Jika kita ada iman yang kuat bahawa akhir dunia ini sudah sangat dekat, kita akan menolak sikap mencintai kebendaan. Semasa kesengsaraan besar, orang akan “mencampakkan perak mereka di jalan” kerana sedar bahawa “baik perak mahupun emas tidak dapat menyelamatkan mereka pada hari kemurkaan Yehuwa.” (Yeh. 7:19) Jadi daripada sibuk mengejar wang, kita akan buat keputusan yang bantu kita menjaga keperluan hidup tanpa mengabaikan ibadat kepada Yehuwa. Untuk berbuat demikian, kita perlu mengelak daripada menanggung hutang yang tidak perlu atau menghabiskan terlalu banyak masa untuk menjaga harta milik kita. Kita juga mesti berhati-hati agar harta kita tidak menjadi hal terpenting. (Mat. 6:​19, 24) Apabila akhir semakin dekat, kita mungkin menghadapi situasi di mana kita harus menunjukkan sama ada kita bergantung pada Yehuwa atau pada kekayaan. w24.09 11 ¶13-14

Rabu, 25 Februari

Jika sesiapa berfikir bahawa dia sedang berdiri dengan teguh, hendaklah dia berwaspada supaya dia tidak jatuh.​—1 Kor. 10:12.

Sesetengah kelemahan kita mungkin berjaya diatasi, tetapi ada yang mungkin terus menghantui kita. Contohnya, Petrus pernah tunduk kepada rasa takut akan manusia dan menyangkal Yesus sebanyak tiga kali. (Mat. 26:​69-75) Semasa dia beri kesaksian dengan berani di hadapan Majlis Orang Yahudi, nampaknya dia berjaya atasi kelemahan itu. (Kis. 5:​27-29) Namun, beberapa tahun kemudian, dia “takut akan orang daripada golongan bersunat” dan tidak mahu makan bersama orang Kristian bukan Yahudi. (Gal. 2:​11, 12) Kelemahannya kembali menghantuinya. Barangkali, dia perlu lawan kelemahan itu seumur hidup. Seperti Petrus, sesetengah kelemahan yang kita fikir sudah atasi mungkin kembali lagi. Namun, kita dapat atasinya dengan ikut nasihat Yesus untuk ‘terus berjaga-jaga.’ (Mat. 26:41) Biarpun anda rasa dapat berdiri teguh, teruslah jauhi situasi yang buat anda tergoda. Teruslah ambil langkah yang telah bantu anda menolak godaan selama ini.​—2 Ptr. 3:14. w24.07 18-19 ¶17-19

Khamis, 26 Februari

Dia memberikan kurnia berupa manusia.​—Ef. 4:8.

Tiada manusia yang lebih murah hati daripada Yesus. Semasa di bumi, dia sering buat mukjizat untuk bantu orang. (Luk. 9:​12-17) Namun, kurniaan Yesus yang terbesar ialah nyawa yang dikorbankannya bagi kita. (Yoh. 15:13) Selepas dibangkitkan, Yesus terus bersikap murah hati. Seperti yang dijanjikannya, dia telah minta Yehuwa mencurahkan kuasa suci-Nya untuk mengajar dan melegakan kita. (Yoh. 14:​16, 17, nota kaki; 16:13) Dia juga melengkapi kita melalui perjumpaan untuk bantu orang menjadi muridnya. (Mat. 28:​18-20) Paulus menulis bahawa selepas Yesus naik ke syurga, “dia [Yesus] memberikan kurnia berupa manusia” kepada kita. (Ef. 4:​7, 8) Paulus menjelaskan bahawa Yesus memberikan kurniaan ini agar dapat bantu sidang dalam pelbagai cara. (Ef. 1:​22, 23; 4:​11-13) Para saudara tidak sempurna, jadi mereka akan buat silap. (Yak. 3:2) Namun, mereka ialah kurniaan daripada Yesus untuk membantu kita. w24.10 18 ¶1-2

Jumaat, 27 Februari

Pengertian akan menjagamu.​—Ams. 2:11.

Daud memberitahu bahawa Salomo hanya akan berjaya selagi dia mentaati Yehuwa. Sedihnya, semasa Salomo lebih tua, dia mula menyembah berhala. Akibatnya, dia kehilangan perkenan Yehuwa dan tidak lagi diberi kebijaksanaan untuk memerintah dengan adil. (1 Raj. 11:​9, 10; 12:4) Apakah pengajarannya? Ketaatan membawa kejayaan. (Mzm. 1:​1-3) Sudah tentu, Yehuwa tidak berjanji untuk menjadikan kita kaya dan masyhur seperti Salomo. Tetapi jika kita mentaati Yehuwa, Dia akan memberi kita kebijaksanaan untuk membuat keputusan yang baik. (Ams. 2:​6, 7; Yak. 1:5) Nasihat Yehuwa dapat membimbing kita dalam soal pekerjaan, pendidikan, hiburan, dan kewangan. Jika kita mengikut nasihat-Nya, kita akan meraih manfaat yang berkekalan. (Ams. 2:​10, 11) Kita akan mendapat sahabat yang sejati dan keluarga yang bahagia. w24.11 10-11 ¶11-12

Sabtu, 28 Februari

Periksalah semua perkara, dan berpautlah pada apa yang baik.​—1 Tes. 5:21.

Ibu bapa mempunyai banyak peluang untuk merangsang fikiran anak mereka. Anda boleh membawa anak anda untuk melawat muzium. Anda dapat membantu anak anda memperhatikan peristiwa bersejarah atau barang-barang peninggalan yang menunjukkan bahawa Bible adalah tepat. Adakah anak anda tahu bahawa nama peribadi Tuhan terdapat pada sekeping batu bersurat yang ditulis sekitar 3,000 tahun yang lalu? Batu itu dikenali sebagai Batu Orang Moab. Replika, atau model batu itu, juga dipamerkan di Ibu Pejabat Saksi-Saksi Yehuwa di Warwick, New York. Batu itu menunjukkan bahawa Raja Mesa dari Moab memberontak terhadap orang Israel, dan hal ini selaras dengan catatan Bible. (2 Raj. 3:​4, 5) Apabila anak anda melihat dengan mata sendiri bukti yang menunjukkan bahawa Bible adalah tepat, imannya pasti dikuatkan. w24.12 14 ¶4; 15 ¶6

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2026 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Tetapan Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi