Januari
Khamis, 1 Januari
Hendaklah kamu berfikir seperti orang yang matang.—1 Kor. 14:20.
Kelahiran seorang bayi ialah peristiwa yang amat menggembirakan. Namun, walaupun ibu bapa sangat menyayangi bayi mereka, mereka tidak mahunya kekal sebagai bayi buat selama-lamanya. Jika bayi mereka tidak membesar, mereka pasti sangat risau. Begitu juga, Yehuwa sangat gembira semasa kita mula mengikut Yesus, tetapi Dia tidak mahu kita terus menjadi bayi secara rohani. (1 Kor. 3:1) Sebaliknya, Dia mahu kita menjadi “orang [Kristian] yang matang.” Dalam Bible, perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “orang yang matang” juga bermaksud “dewasa,” “sempurna,” atau “lengkap.” (Ef. 4:13, nota kaki) Kita menjadi orang Kristian yang matang apabila hubungan kita dengan Yehuwa menjadi semakin akrab. Sudah tentu, selepas kita menjadi orang Kristian yang matang, kita perlu terus maju secara rohani.—1 Tim. 4:15. w24.04 2 ¶1, 3
Jumaat, 2 Januari
Khemah-Ku akan ada bersama mereka. Aku akan menjadi Tuhan mereka.—Yeh. 37:27.
Bagi anda, siapakah Yehuwa? Anda mungkin kata, “Yehuwa ialah Tuhanku, Bapaku, dan Sahabatku.” Anda juga mungkin menggambarkan Yehuwa dalam cara lain, tetapi pernahkah anda kata, “Yehuwa ialah Tuan Rumahku?” Daud menulis bahawa hubungan antara Yehuwa dengan para penyembah-Nya adalah seperti tuan rumah dengan tetamu. Dia bertanya, “Ya Yehuwa, siapakah yang boleh menjadi tetamu di khemah-Mu? Siapakah yang boleh tinggal di gunung-Mu yang suci?” (Mzm. 15:1) Kata-kata ini menunjukkan bahawa kita dapat jadi sahabat dan tetamu Yehuwa. Sebelum menciptakan segala sesuatu, Yehuwa tinggal seorang diri. Tetapi selepas Dia menciptakan Yesus, Yesus telah menjadi tetamu yang pertama. Yehuwa gembira menjadi Tuan Rumah, kerana Bible kata Anak-Nya ialah “sumber kebahagiaan-Nya.” Apakah perasaan Yesus? Bible kata tetamu pertama Yehuwa “sentiasa bergembira di hadirat-Nya.”—Ams. 8:30. w24.06 2 ¶1-3
Sabtu, 3 Januari
Zadok ialah seorang pemuda yang gagah berani.—1 Taw. 12:28.
Bayangkan peristiwa yang berlaku di kawasan pergunungan Hebron. Lebih daripada 340,000 orang telah berkumpul untuk jadikan Daud raja atas seluruh Israel. Selama tiga hari, kedengaran suara orang berbual dengan gembira dan menyanyikan lagu pujian. (1 Taw. 12:39) Dalam kumpulan besar itu, ada seorang lelaki muda yang bernama Zadok. Kehadirannya mungkin tidak disedari banyak orang. Namun, Yehuwa mahu kita mengenalinya. (1 Taw. 12:22, 26-28) Zadok ialah seorang imam yang bekerja rapat dengan Imam Agung Abiatar. Zadok juga seorang pelihat yang dapat mengetahui kehendak Tuhan dan dikurniai kebijaksanaan yang luar biasa. (2 Sam. 15:27) Dia sangat berani. Sepanjang hari-hari terakhir, Syaitan semakin berusaha serang umat Tuhan. (1 Ptr. 5:8) Maka, kita perlu berani sambil menantikan masanya Yehuwa membinasakan Syaitan dan dunianya yang jahat. (Mzm. 31:24) Dengan itu, kita dapat tiru keberanian Zadok. w24.07 2 ¶1-3
Ahad, 4 Januari
Adam hidup selama 930 tahun, lalu dia meninggal.—Kej. 5:5.
Semasa Yehuwa menciptakan nenek moyang kita yang pertama, iaitu Adam dan Hawa, Dia mahu mereka hidup bahagia. Dia memberi mereka tempat tinggal yang indah, perkahwinan yang sempurna, dan tugasan yang menarik. Yehuwa menyuruh mereka beranak cucu dan menjadikan seluruh bumi tempat yang cantik seperti Taman Eden. Namun, terdapat satu larangan yang harus mereka patuh. Yehuwa memberitahu mereka bahawa jika mereka melanggar perintah-Nya, mereka akan mati. Apakah yang berlaku kemudian? Satu malaikat yang tidak mengasihi mereka ataupun Tuhan telah menggoda mereka untuk mengingkari Tuhan. Biarpun Yehuwa begitu mengasihi mereka, Adam dan Hawa tidak mempercayai-Nya, malah memilih untuk mendengar cakap Syaitan. Seperti yang dikatakan Yehuwa, pada hari mereka berdosa, mereka beransur-ansur menjadi tua dan akhirnya mati.—Kej. 1:28, 29; 2:8, 9, 16-18; 3:1-6, 17-19, 24. w24.08 3 ¶3
Isnin, 5 Januari
Hendaklah kamu melakukan apa yang difirmankan oleh Tuhan. Janganlah mendengar sahaja.—Yak. 1:22.
Yehuwa dan Yesus mahu kita gembira. Mazmur 119:2 menyatakan, “Berbahagialah orang yang mematuhi ajaran-Nya, dan yang mencari-Nya dengan sepenuh hati.” Yesus juga kata, “Berbahagialah orang yang mendengar firman Tuhan dan menurutinya!” (Luk. 11:28) Umat Yehuwa ialah umat yang bahagia kerana kita sering baca Bible dan berusaha menerapkan ajarannya. (Yak. 1:22-25) Kita tahu bahawa usaha kita menggembirakan Yehuwa. (Pkh. 12:13) Selain itu, keluarga kita menjadi lebih bahagia dan hubungan kita dengan rakan seiman lebih akrab. Kita juga dapat elak banyak masalah yang menimpa orang yang tidak ikut prinsip Yehuwa. Kita memang setuju dengan kata-kata Daud. Selepas menggubah sebuah lagu tentang hukum, peraturan, dan penghakiman Yehuwa, dia akhiri lagunya dengan berkata, “Orang yang menurut penghakiman-Nya akan diberkati dengan berlimpah-limpah.”—Mzm. 19:7-11. w24.09 2 ¶1-3
Selasa, 6 Januari
Dia menyembuhkan orang yang hancur hati; Dia membalut luka mereka.—Mzm. 147:3.
Yehuwa memperhatikan segala yang berlaku kepada hamba-Nya di bumi. Dia tahu semua suka dan duka kita. (Mzm. 37:18) Semasa Dia melihat kita berusaha sedaya upaya menyembah-Nya meskipun kita menderita secara emosi, Dia bukan sahaja sangat bangga dengan kita, malah mahu menyokong dan melegakan kita. Mazmur 147:3 kata Yehuwa “membalut luka” orang yang hancur hati. Ayat ini menunjukkan bahawa Yehuwa menjaga orang yang remuk hati dengan penuh kasih. Namun, apakah yang perlu kita lakukan? Fikirkan contoh ini: Doktor yang mahir dapat membantu orang yang cedera untuk sembuh. Namun orang itu harus mengikut arahan doktor dengan teliti. Begitu juga, kita perlu ikut arahan Yehuwa jika kita mahu disembuhkan. Menerusi Firman-Nya, Yehuwa memberikan nasihat-Nya dalam cara yang pengasih kepada orang yang mempunyai luka emosi. w24.10 6 ¶1-2
Rabu, 7 Januari
Semuanya lenyap dari muka bumi.—Kej. 7:23.
Dahulu, bahan bacaan kita membincangkan apa yang akan berlaku kepada orang yang tidak baik. Kita belajar bahawa orang yang dibinasakan Yehuwa, tiada peluang untuk dibangkitkan. Beberapa catatan Bible menggambarkan bagaimana Yehuwa menghukum orang yang tidak baik. Semasa Banjir pada zaman Nuh, Yehuwa membinasakan semua orang yang di luar bahtera. Yehuwa juga menyuruh umat-Nya membinasakan tujuh bangsa yang mendiami Tanah yang Dijanjikan. Selain itu, Yehuwa mengutus malaikat-Nya untuk membunuh 185,000 orang askar Assyria dalam satu malam. (Ul. 7:1-3; Yes. 37:36, 37) Adakah Bible menyatakan dengan jelas bahawa Yehuwa telah menjatuhkan hukuman pembinasaan kekal ke atas semua orang itu, dan mereka tidak mungkin dibangkitkan? Tidak. Dalam beberapa contoh tadi, kita tidak tahu bagaimana Yehuwa menghakimi setiap orang. Kita juga tidak tahu jika mereka yang dibunuh telah diberi peluang untuk belajar tentang Yehuwa dan bertaubat. w24.05 3 ¶5-7
Khamis, 8 Januari
Teruslah kalahkan kejahatan dengan kebaikan.—Rm. 12:21.
Yesus menceritakan perumpamaan tentang seorang balu yang asyik meminta seorang hakim untuk menegakkan keadilan baginya. Sudah pasti murid-murid Yesus memahami perasaan balu itu kerana pada masa itu, rakyat jelata sering menjadi mangsa ketidakadilan. (Luk. 18:1-5) Kita juga dapat memahami perasaan balu itu kerana kita pun menghadapi ketidakadilan dari masa ke masa. Dunia hari ini penuh dengan prasangka, ketidakadilan, dan penindasan. Jadi kita tidak hairan semasa orang di dunia melayan kita dengan buruk, dan kita bahkan sudi bersabar terhadap mereka. (Pkh. 5:8) Namun kita mungkin sangat kecewa jika yang melayan kita dengan buruk ialah saudara saudari kita. Sebenarnya, kita ada lebih banyak sebab untuk bersabar terhadap mereka kerana mereka tidak berbuat demikian dengan sengaja. Kita dapat belajar daripada reaksi Yesus semasa dia dilayan dengan buruk oleh para penentang. w24.11 2 ¶1-2
Jumaat, 9 Januari
Di manakah kita dapat membeli roti untuk mereka?—Yoh. 6:5.
Roti ialah makanan utama pada zaman Bible. (Kej. 14:18; Luk. 4:4) Roti begitu penting sehingga Bible ada kalanya menyamakan roti dengan makanan. (Mat. 6:11, nota kaki; Kis. 20:7, lihat nota pembelajaran dalam Alkitab Edisi Pelajaran bahasa Indonesia.) Sebanyak dua kali, Yesus pernah buat mukjizat untuk menyediakan roti bagi ribuan orang. (Mat. 16:9, 10) Salah satu kisah itu ada di Yohanes bab 6. Para rasul sangat penat kerana baru habis menginjil, maka mereka naik perahu bersama Yesus dan menyeberangi Tasik Galilea. (Mrk. 6:7, 30-32; Luk. 9:10) Mereka pergi ke suatu tempat terpencil di kawasan Betsaida untuk berehat. Tetapi setelah ramai yang tahu hal ini, ribuan orang sampai di sana. Yesus menyambut mereka dan meluangkan masa ajar mereka tentang Kerajaan Tuhan serta menyembuhkan orang sakit. Apabila hari sudah lewat, mereka semua perlukan makanan. Ada yang mungkin bawa bekal, tetapi kebanyakannya perlu ke pekan berhampiran untuk beli makanan.—Mat. 14:15. w24.12 2 ¶1-2
Sabtu, 10 Januari
Kurniaan daripada Tuhan ialah kehidupan kekal melalui Kristus Yesus, Tuan kita.—Rm. 6:23.
Adam dan Hawa ada nyawa yang sempurna dan tinggal di firdaus yang indah. (Kej. 1:27; 2:7-9) Mereka berpeluang hidup selamanya dengan bahagia. Namun, semuanya berubah setelah mereka berdosa. Mereka hilang tempat tinggal yang indah dan peluang hidup kekal. Selain itu, Bible kata, “Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang [iaitu Adam], dan dosa membawa kematian. Akibatnya, kematian tersebar kepada semua orang kerana mereka semua berdosa.” (Rm. 5:12) Ya, Adam mewariskan dosa kepada kita, dan dosa membawa kematian. Hutang dosa begitu besar sehingga tiada seorang pun daripada kita mampu membayarnya. (Mzm. 49:8) Yesus menyamakan dosa dengan “hutang.” (Mat. 6:12, nota kaki; Luk. 11:4, nota kaki) Jadi semasa kita berdosa, kita seolah-olah berhutang dengan Yehuwa dan perlu bayar. Jika Yehuwa tidak sediakan aturan untuk mengampunkan dosa kita, kita perlu bayar hutang itu dengan nyawa sendiri, dan kita tiada harapan untuk hidup semula.—Rm. 6:7. w25.02 2 ¶2-3
Ahad, 11 Januari
Aku sudah membuat nama-Mu nyata.—Yoh. 17:26.
Kita gembira untuk kongsi kebenaran tentang Kerajaan Tuhan kepada orang! Penghormatan ini tidak diberikan kepada sesiapa sahaja. Contohnya, semasa di bumi, Yesus melarang roh-roh jahat daripada memberitahu orang tentangnya. (Luk. 4:41) Hari ini, sebelum seseorang boleh menginjil bersama umat Tuhan, dia perlu memenuhi syarat tertentu. Kita menunjukkan bahawa kita menghargai penghormatan untuk menginjil dengan memberikan kesaksian di mana sahaja atau pada bila-bila masa. Seperti Yesus, kita ingin menanam dan menyiram benih Kerajaan Tuhan dalam hati orang. (Mat. 13:3, 23; 1 Kor. 3:6) Seperti Yesus, organisasi Yehuwa melakukan apa sahaja yang terdaya untuk membantu orang mengenali nama Tuhan. Misalnya, mereka menerbitkan Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu, sebuah terjemahan Bible yang mengembalikan nama Tuhan ke tempat asalnya. Kini, sebahagian atau seluruh terjemahan ini terdapat dalam lebih daripada 270 bahasa. w24.04 9 ¶8-9
Isnin, 12 Januari
Suaminya bangkit dan memujinya.—Ams. 31:28.
Sesetengah saudara yang mempunyai perkahwinan yang bahagia melakukan sesuatu setiap hari untuk menunjukkan kasih sayang kepada isteri. (1 Yoh. 3:18) Contohnya mereka memegang tangan isteri, memeluknya, atau menghantar mesej untuk memberitahunya, “Saya sayang kamu,” atau “Apa khabar hari ini?” Dari masa ke masa, suami juga boleh menulis kad untuk memberitahu isteri bahawa dia sangat mencintainya. Jika seorang suami melakukan hal-hal ini, dia sedang menghormati dan mengasihi isterinya, dan hal itu akan menguatkan perkahwinan mereka. Suami yang menghormati isteri akan sering memujinya. Dia akan mengucapkan terima kasih kepada isteri atas segala sokongannya. (Kol. 3:15) Pujian yang ikhlas daripada suami akan membuat isteri berasa selamat, dikasihi, dan dihormati. w25.01 11 ¶15; 13 ¶16
Selasa, 13 Januari
Aku, Yehuwa, ialah Tuhan kamu. Aku memimpin kamu di jalan yang harus kamu tempuh.—Yes. 48:17.
Mazmur 15 berakhir dengan janji ini: “Orang yang melakukan semua itu tidak akan tergoyah.” Daripada ayat ini, kita tahu bahawa Yehuwa mahu kita melakukan hal-hal yang disebut dalam Mazmur 15, kerana Dia mahu kita hidup bahagia serta menerima berkat dan perlindungan-Nya. Tetamu Yehuwa menantikan masa depan yang cerah. Bagi orang Kristian terurap yang setia, Yesus telah menyediakan “banyak tempat kediaman” bagi mereka di syurga. (Yoh. 14:2) Bagi mereka yang memiliki harapan untuk tinggal di bumi, mereka menanti-nantikan janji di Wahyu 21:3 ditunaikan. Tidakkah kita berbesar hati kerana dijemput oleh Yehuwa untuk menjadi sahabat dan tetamu-Nya buat selama-lamanya?—Mzm. 15:1-5. w24.06 13 ¶19-20
Rabu, 14 Januari
Muliakanlah Yehuwa kerana nama-Nya yang gemilang.—Mzm. 96:8.
Apakah maksud “kemuliaan”? Dalam Bible, perkataan “kemuliaan” menggambarkan apa-apa yang membuat seseorang dikagumi. Yehuwa menunjukkan kemuliaan-Nya yang besar tidak lama selepas Dia membebaskan bangsa Israel daripada perhambaan di Mesir. Bayangkan keadaannya: Jutaan orang Israel berkumpul di kaki Gunung Sinai untuk menghadap Tuhan mereka. Seluruh gunung diliputi dengan awan yang tebal. Tiba-tiba, gempa bumi yang dahsyat berlaku, dan api yang besar bernyala-nyala di atas gunung. Ada guruh, kilat, dan bunyi trompet yang kuat sekali. (Kel. 19:16-18; 24:17; Mzm. 68:8) Orang Israel pasti sangat kagum semasa melihat Yehuwa menunjukkan kemuliaan-Nya. Hari ini, kita memberi Yehuwa kemuliaan dengan memberitahu orang lain tentang kuasa dan sifat-sifat-Nya yang menakjubkan serta memuji-Nya atas segala hal yang dapat kita lakukan dengan bantuan-Nya.—Yes. 26:12. w25.01 2 ¶2-3
Khamis, 15 Januari
Yehuwalah yang menyuruh aku.—Bil. 16:28.
Dalam perjalanan ke Tanah yang Dijanjikan, beberapa orang pemimpin Israel mencabar kedudukan Musa sebagai wakil Yehuwa. Mereka berkata, “Segenap umat ini suci dan Yehuwa menyertai kami semua.” (Bil. 16:1-3) Memang benar, Yehuwa menganggap segenap umat-Nya suci, tetapi Dia telah memilih Musa untuk mengambil pimpinan. Jadi, orang yang sedang mengkritik Musa sebenarnya sedang mengkritik Yehuwa. Bagi mereka, kehendak Yehuwa tidak penting. Mereka hanya mahu menjadi lebih berkuasa dan terkemuka. Akibatnya, Yehuwa membinasakan para pemberontak dan ribuan orang yang menyokong mereka. (Bil. 16:30-35, 41, 49) Hari ini, Yehuwa juga tidak senang hati dengan orang yang tidak mahu mengikut arahan daripada organisasi-Nya. w24.07 11 ¶11
Jumaat, 16 Januari
Segala perkara yang dinyatakan dalam penglihatan ini akan berlaku pada masa yang ditentukan.—Hab. 2:3.
Kebanyakan orang mencemuh kita kerana kita mempercayai ajaran Bible bahawa akhir sudah dekat. (2 Ptr. 3:3, 4) Walaupun masih ada banyak butiran yang kita tidak tahu, kita perlu iman yang kuat untuk percaya bahawa Yehuwa sudah menentukan bila akhir akan datang dan bahawa Dia akan menjaga kita. Kita juga perlu menguatkan iman kita bahawa Yehuwa sedang menggunakan “hamba yang setia dan bijaksana” untuk membimbing kita. (Mat. 24:45) Kita mungkin diberi arahan spesifik semasa kesengsaraan besar agar kita terselamat. Maka sekaranglah masanya untuk menguatkan kepercayaan kita terhadap mereka yang mengambil pimpinan dalam organisasi Yehuwa. Jika sekarang pun kita susah untuk mematuhi mereka, kita akan berasa lebih susah lagi untuk berbuat demikian semasa kesengsaraan besar. w24.09 11 ¶11-12
Sabtu, 17 Januari
Kamu perlu membuktikan kepada diri sendiri kehendak Tuhan yang baik, yang menyenangkan hati-Nya, dan yang sempurna.—Rm. 12:2, nota kaki.
Iman ibu bapa tidak dapat diwariskan kepada anak secara automatik. Itulah sebabnya seorang anak mungkin tanya soalan seperti, “Bagaimana saya tahu Tuhan wujud? Adakah Bible betul-betul boleh dipercayai?” Sebenarnya, soalan sebegini tidak salah kerana Bible pun menggalakkan kita untuk “menggunakan daya pemikiran” dan ‘memeriksa semua perkara.’ (Rm. 12:1; 1 Tes. 5:21) Jadi, bagaimanakah anda dapat menguatkan iman anak anda? Galakkannya cari bukti bahawa ajaran Bible memang tepat. Apabila anak tanya soalan, guna peluang ini untuk ajar mereka cara cari jawapan dengan menggunakan bahan bacaan seperti Panduan Penyelidikan Saksi-Saksi Yehuwa. Di bawah bahagian subjek, cari “Bible” kemudian cari “Diilhami Tuhan” untuk lihat bukti bahawa Bible bukan sekadar buku yang ditulis oleh manusia, tetapi merupakan “perkhabaran daripada Tuhan.”—1 Tes. 2:13. w24.12 14-15 ¶4-5
Ahad, 18 Januari
Amanahkanlah perkara-perkara itu kepada orang yang setia agar mereka juga menjadi layak untuk mengajar orang lain.—2 Tim. 2:2.
Bagaimanakah penatua dapat meniru Yesus? Mereka mesti melatih para saudara, termasuk saudara muda, agar layak memikul lebih banyak tanggungjawab. Mereka tidak harapkan kesempurnaan daripada saudara yang mereka latih. Sebaliknya, mereka beri nasihat dengan penuh kasih agar saudara-saudara muda dapat menimba pengalaman dan belajar pentingnya bersikap rendah hati, setia, dan sudi berkhidmat kepada orang lain. (1 Tim. 3:1; 1 Ptr. 5:5) Yesus bukan sahaja suruh murid-muridnya untuk menginjil, tetapi juga untuk mengajar. Murid-muridnya mungkin berasa tidak layak memikul tanggungjawab itu. Namun Yesus yakin bahawa mereka mampu melakukannya. Dia begitu yakin terhadap mereka sehingga berkata, “Sebagaimana Bapa mengutus aku, aku juga mengutus kamu.”—Yoh. 20:21. w24.10 16 ¶15; 17 ¶17
Isnin, 19 Januari
Daud seorang lelaki yang menyenangkan hati-Ku.—Kis. 13:22.
Daud seorang raja yang sangat baik. Dia juga merupakan nabi, ahli muzik, penggubah puisi, dan pahlawan yang gagah. Namun selama bertahun-tahun, dia hidup sebagai pelarian kerana Saul ingin membunuhnya. Selepas Daud jadi raja, anaknya Absalom ingin merampas takhtanya. Jadi dia perlu melarikan diri lagi. Meskipun ditimpa banyak kesusahan dan pernah buat dosa serius, dia tetap setia kepada Tuhan sampai akhir hayatnya. Yehuwa berkata bahawa Daud ‘seorang lelaki yang menyenangkan hati-Nya.’ Maka, nasihat Daud tentu bermanfaat bagi kita! (1 Raj. 15:5) Salomo bakal menggantikan bapanya Daud sebagai raja. Dia juga dipilih oleh Yehuwa untuk bina Rumah Tuhan sebagai pusat ibadat sejati. (1 Taw. 22:5) Tanggungjawab Salomo memang sangat mencabar. Perhatikan nasihat Daud kepada Salomo untuk membantunya. Daud berkata bahawa jika dia mematuhi Yehuwa, dia akan berjaya dalam segala usahanya.— 1 Raj. 2:2, 3. w24.11 10 ¶9-11
Selasa, 20 Januari
Serahkanlah hidupmu kepada Yehuwa; bergantunglah pada-Nya, dan Dia akan bertindak bagi pihakmu.—Mzm. 37:5.
Suami yang mendera atau menghina isteri harus ambil langkah untuk berbaik semula dengan isterinya dan Yehuwa. Pertama, dia perlu sedar bahawa perbuatannya itu serius dan Yehuwa nampak segala yang dilakukannya. (Mzm. 44:21; Pkh. 12:14; Ibr. 4:13) Kedua, dia perlu ubah kelakuannya dan berhenti layan isterinya dengan buruk. (Ams. 28:13) Ketiga, dia perlu meminta maaf daripada isterinya dan Yehuwa. (Kis. 3:19) Dia juga harus merayu agar Yehuwa memberinya keinginan untuk berubah dan kekuatan untuk mengawal pemikiran, kata-kata, dan kelakuannya. (Mzm. 51:10-12; 2 Kor. 10:5; Flp. 2:13) Keempat, dia harus bertindak selaras dengan doanya. Dia perlu belajar untuk benci segala keganasan dan kata-kata hinaan. (Mzm. 97:10) Kelima, dia perlu segera minta bantuan penatua. (Yak. 5:14-16) Keenam, dia perlu buat rancangan yang dapat mencegahnya daripada layan isterinya dengan buruk pada masa depan. w25.01 11 ¶14
Rabu, 21 Januari
Janganlah berlengah lagi. Bangunlah, dan hendaklah kamu dibaptis.—Kis. 22:16.
Adakah anda mengasihi Tuhan Yehuwa, yang telah memberi anda setiap pemberian yang baik, termasuk nyawa anda? Inginkah anda menunjukkan kasih kepada-Nya? Cara terbaik untuk berbuat demikian adalah dengan membaktikan diri dan dibaptis. Apakah manfaatnya jika anda dibaptis? Anda akan menjadi ahli keluarga Yehuwa. Yehuwa akan menjadi Bapa dan Sahabat anda. Dia akan membimbing dan menjaga anda kerana anda milik-Nya. (Mzm. 73:24; Yes. 43:1, 2) Anda juga berpeluang menikmati kehidupan kekal. (1 Ptr. 3:21) Adakah sesuatu yang menghalang anda daripada dibaptis? Jika ya, anda tidak keseorangan. Jutaan orang pun pernah berasa begitu. Namun, selepas mengubah kelakuan dan pemikiran mereka agar layak dibaptis, mereka dapat menyembah Yehuwa dengan sukacita dan bersemangat. w25.03 2 ¶1-2
Khamis, 22 Januari
Engkau mengampuni orang dengan sepenuhnya.—Mzm. 130:4.
Dalam Bible, dosa sering digambarkan sebagai beban yang berat. Raja Daud menulis, “Aku lemas dalam banjir dosaku; dosaku bagaikan beban yang sangat berat, dan aku tidak lagi mampu menanggungnya.” (Mzm. 38:4) Namun, jika seorang pendosa bertaubat, Yehuwa akan mengampunkan dosanya. (Mzm. 25:18; 32:5) Perkataan Ibrani yang diterjemahkan sebagai “mengampunkan” membawa maksud “mengangkat.” Bayangkan, Yehuwa seolah-olah mengangkat dosa yang berat daripada bahu kita dan membawanya ke tempat yang jauh. Perhatikan satu lagi gambaran yang menunjukkan sejauh mana Yehuwa menyingkirkan dosa kita. Mazmur 103:12 kata, “Sejauh matahari terbit dari matahari terbenam, sejauh itu juga Dia membuang dosa kita.” Barat dan timur tidak akan pernah bertemu. Dalam kata lain, Yehuwa akan membuang dosa kita lebih jauh daripada apa yang dapat kita bayangkan. Gambaran yang sungguh melegakan, bukan? w25.02 9 ¶5-6
Jumaat, 23 Januari
Semasa kamu membuat kebajikan, janganlah kamu meniup trompet untuk menarik perhatian.—Mat. 6:2.
Selepas Yesus naik ke syurga, Petrus melakukan mukjizat dengan menyembuhkan seorang lelaki yang lumpuh sejak lahir. (Kis. 1:8, 9; 3:2, 6-8) Banyak orang nampak mukjizat ini dan berasa sangat kagum. (Kis. 3:11) Biarpun Petrus dibesarkan dalam kebudayaan yang sangat mementingkan kedudukan, dia menghalakan semua pujian kepada Yehuwa dan Yesus. Dia berkata, “Lelaki lumpuh yang kamu lihat dan kenal ini telah menjadi kuat kerana nama Yesus, dan kerana kami beriman kepada namanya.” (Kis. 3:12-16) Kita mahu meniru kerendahan hati Petrus. Maka semasa melakukan sesuatu, kita melakukannya kerana mengasihi Yehuwa dan orang lain, dan bukannya kerana ingin disanjung. Jika kita sudi menyembah Yehuwa dan membantu saudara saudari dengan sukacita biarpun tiada orang lain yang melihatnya, hal itu menunjukkan bahawa kita rendah hati.—Mat. 6:1-4. w25.03 10-11 ¶11-12
Sabtu, 24 Januari
Teruslah memberikan perhatian kepada dirimu sendiri dan kepada ajaranmu.—1 Tim. 4:16.
Kita dapat tingkatkan semangat kita dengan ingat bahawa melakukan kerja penyebaran ialah cara kita menunjukkan kasih kepada Yehuwa dan orang lain. (Mat. 22:37-39) Yehuwa pasti gembira semasa melihat kita menyertai kerja ini, dan betapa gembiranya orang yang mula belajar Bible! Ingatlah juga bahawa orang yang menerima mesej kita dan menyembah Yehuwa berpeluang untuk hidup selamanya. (Yoh. 6:40) Adakah anda tidak dapat keluar rumah atas sebab tertentu? Jika ya, fokuslah kepada apa yang dapat anda buat untuk membuktikan kasih anda. Semasa pandemik COVID-19, Samuel dan Dania tidak dapat keluar rumah. Sepanjang masa itu, mereka sering memberikan kesaksian menerusi telefon, surat, dan mengendalikan pembelajaran Bible melalui Zoom. Biarpun keadaan mereka terhad, mereka buat apa yang mampu dan meraih sukacita. w24.04 18-19 ¶15-16
Ahad, 25 Januari
Siapakah yang dapat menemui isteri yang cekap? Isteri yang cekap jauh lebih berharga daripada batu permata.—Ams. 31:10.
Kebahagiaan seseorang tidak bergantung pada sama ada dia berkahwin atau tidak. Namun, banyak orang Kristian bujang, tidak kira muda atau tua, ada hasrat untuk berkahwin. Sebelum berdating, anda harus sedia dari segi kewangan, emosi, dan rohani. (1 Kor. 7:36) Adalah baik jika anda tahu sifat yang anda ingin teman hidup anda miliki sebelum berdating. Jika tidak, anda mungkin cari orang yang tidak sesuai atau tidak sedar apabila orang yang sesuai ada di depan mata anda. Memang, bakal teman hidup anda haruslah seorang yang terbaptis. (1 Kor. 7:39) Namun, bukan semua orang yang dibaptis akan menjadi teman hidup yang sesuai. Maka, tanyalah diri, “Apakah matlamat hidup saya? Apakah sifat yang harus bakal teman hidup saya miliki? Adakah apa yang saya harapkan itu realistik?” w24.05 20 ¶1; 21 ¶3
Isnin, 26 Januari
Tunjukkanlah kebaikan hati kepada satu sama lain.—Ef. 4:32.
Semasa berdating, apakah reaksi anda terhadap masalah dan perselisihan faham yang mungkin timbul dari masa ke masa? Adakah ini bermaksud hubungan anda harus ditamatkan? Tidak semestinya. Semua pasangan juga pernah berselisih faham. Untuk bina perkahwinan bahagia, yang diperlukan ialah dua orang yang dapat bekerjasama untuk atasi masalah. Jadi cara anda selesaikan masalah dapat menunjukkan jika perkahwinan anda akan berjaya atau tidak. Maka bincanglah soalan ini bersama bakal teman hidup anda: “Dapatkah kami bincang masalah kami dengan tenang dan hormat? Adakah kami sudi akui kesalahan dan cuba memperbaikinya? Adakah kami sanggup mengalah, meminta maaf, dan mengampuni?” (Ef. 4:31) Namun, jika anda selalu bergaduh, hal ini mungkin berlanjutan, bahkan selepas berkahwin. Jika anda sedar orang itu tidak sesuai jadi pasangan anda, akhiri hubungan itu barangkali keputusan terbaik bagi anda berdua. w24.05 29 ¶12
Selasa, 27 Januari
Pujilah Yehuwa, Gunung Batuku. Dia melatih aku untuk berperang.—Mzm. 144:1.
Jika kita patuhi Yehuwa dan buat keputusan menurut prinsip Bible, kita dapat jadi teladan bagi orang lain. Apabila iman kita semakin kuat dan pengetahuan Bible semakin bertambah, kita akan lebih teguh dalam kebenaran. Kita tidak akan jadi orang yang tidak tetap pendirian, senang goyah, atau diumbang-ambingkan oleh ajaran palsu dan pemikiran dunia. (Ef. 4:14; Yak. 1:6-8) Kita juga dapat bantu orang yang hadapi cubaan. (1 Tes. 3:2, 3) Para penatua harus sederhana dalam segala hal, berfikiran sihat, bertatatertib, dan munasabah. Mereka menstabilkan sidang dengan “berpegang teguh pada firman yang dapat dipercayai.” (Tit. 1:9; 1 Tim. 3:1-3) Menerusi teladan mereka dan kerja penggembalaan, mereka bantu penyiar menghadiri perjumpaan, menginjil, dan mengadakan pembelajaran peribadi secara tetap. Apabila rakan seiman hadapi masalah yang susah, para penatua ingatkan mereka untuk bergantung pada Yehuwa dan berfokus kepada janji-Nya. w24.06 31 ¶16-18
Rabu, 28 Januari
Bertaubatlah, kerana Kerajaan di syurga sudah dekat.—Mat. 4:17.
Yesus sering mengajar orang bahawa Bapanya sudi mengampuni pendosa. Perhatikan ceritanya tentang anak yang sesat. Anak itu meninggalkan keluarganya dan hidup berfoya-foya buat suatu ketika. Apabila “dia insaf” dan pulang, apakah reaksi bapanya? Yesus berkata, “Apabila bapanya nampak dia dari jauh, bapanya . . . berlari ke arahnya, memeluknya, dan menciumnya.” Anak itu sangka bapanya tidak akan memaafkannya, jadi dia bertanya jika dia boleh menjadi orang gaji bapanya. Tetapi bapanya memanggilnya “anakku” dan menerimanya semula ke dalam keluarganya. Bapanya berkata, “Dia hilang tetapi sudah ditemui.” (Luk. 15:11-32) Sebelum Yesus datang ke bumi, dia pasti pernah melihat Bapanya berbelas kasihan terhadap ramai pendosa yang bertaubat. Maka menerusi cerita yang menyentuh hati ini, Yesus mengajar kita betapa besarnya belas kasihan Bapa kita, Yehuwa! w24.08 11 ¶11-12
Khamis, 29 Januari
Hendaklah kamu berfikiran sihat.—1 Ptr. 4:7.
Seorang Kristian yang berfikiran sihat akan berusaha memastikan keputusannya selaras dengan pemikiran Yehuwa. Dia tahu bahawa hal yang terpenting ialah hubungannya dengan Yehuwa. Dia ada pandangan yang seimbang dan sedar bahawa dia tidak mengetahui segala-galanya. Dengan rendah hati, dia juga bergantung pada Tuhan dan sering berdoa. Biarpun kita ada kebolehan tertentu, kita sedar kita perlu bergantung pada Yehuwa melalui doa. Jika kita yakin bahawa Yehuwa tahu apa yang terbaik untuk kita, kita akan berdoa untuk meminta bimbingan-Nya, terutamanya semasa perlu membuat keputusan yang penting. Kita bersyukur kerana Yehuwa telah menciptakan kita dengan kebolehan untuk mencerminkan sifat-sifat-Nya. (Kej. 1:26) Sudah tentu, kita tidak dapat meniru teladan Yehuwa dengan sempurna.—Yes. 55:9. w25.03 11 ¶13; 13 ¶17-18
Jumaat, 30 Januari
Kasih tidak hilang harapan terhadap segala sesuatu dan menghadapi segala sesuatu dengan tabah.—1 Kor. 13:7.
Jangan bersangka buruk. Jika orang tidak ucap terima kasih atas apa yang kita buat, tanyalah diri, “Adakah mereka benar-benar tidak menghargainya, atau hanya lupa mengucapkannya?” Barangkali, ada sebab lain mereka tidak menunjukkan penghargaan dalam cara yang kita harapkan. Sesetengah orang mungkin sangat bersyukur, tetapi susah meluahkannya. Ada juga yang malu kerana memerlukan bantuan orang lain, terutamanya jika merekalah yang sering bantu orang pada masa lalu. Tidak kira apa sebabnya, kasih mendorong kita untuk bersangka baik terhadap mereka dan terus memberi dengan sukacita. (Ef. 4:2) Bersabarlah. Mengenai sikap murah hati, Salomo menulis, “Lemparkanlah rotimu ke dalam air kerana kamu akan menemuinya semula pada kemudian hari.” (Pkh. 11:1) Kata-kata itu menunjukkan bahawa sesetengah orang mungkin tunjuk penghargaan “pada kemudian hari,” atau lama selepas kita bermurah hati kepada mereka. w24.09 30 ¶18-19
Sabtu, 31 Januari
Orang yang mengamalkan perbuatan yang berdosa haruslah ditegur di hadapan umum sebagai amaran kepada orang lain.—1 Tim. 5:20.
Ada kalanya pengumuman akan dibuat bahawa seseorang telah diberi teguran. Dalam situasi sebegini, kita masih boleh bergaul dengannya kerana dia telah bertaubat dan meninggalkan haluan buruknya. Dia masih merupakan sebahagian daripada sidang dan memerlukan galakan dan pergaulan. (Ibr. 10:24, 25) Namun, jika seseorang dikeluarkan daripada sidang, kita “tidak lagi bergaul” dengannya dan ‘bahkan tidak makan bersama dengannya.’ (1 Kor. 5:11) Adakah ini bermaksud kita langsung tidak mempedulikannya? Tidak. Kita memang tidak akan bergaul dengannya. Namun, jika kita mempunyai saudara-mara atau sahabat yang telah dikeluarkan daripada sidang, kita boleh menggunakan hati nurani yang dilatih Bible untuk memutuskan jika kita akan menjemput mereka untuk menghadiri perjumpaan. w24.08 30 ¶13-14