Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
© 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
2-8 MAC
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN YESAYA 41-42
“Janganlah Takut”
w25.05 12 ¶13
13 Walaupun Yehuwa memberi para tawanan Yahudi harapan yang sangat melegakan, Dia tahu bahawa mereka akan menghadapi banyak kesusahan apabila masa pembebasan mereka semakin dekat. Yehuwa menubuatkan bahawa pada masa itu, seorang raja akan menakluki bangsa-bangsa di sekeliling Babilon dan menyerang Babilon. (Yes. 41:2-5) Perlukah orang Yahudi berasa risau? Tidak. Yehuwa melegakan hati mereka dengan berkata, “Janganlah takut kerana Aku menyertaimu. Janganlah risau kerana Akulah Tuhanmu.” (Baca Yesaya 41:10-13.) Mengapakah Yehuwa berkata, “Akulah Tuhanmu”? Dia bukannya ingin mengingatkan orang Yahudi untuk menyembah-Nya, kerana mereka sudah tahu akan hal itu. Sebaliknya, Yehuwa mahu mengingatkan mereka bahawa Dia ada bersama mereka dan akan membantu mereka.—Mzm. 118:6.
ijwbv 5 ¶4-7
“Aku menyertaimu.” Yehuwa memberitahu penyembah-Nya bahawa mereka tidak perlu berasa takut. Hal ini kerana Dia seolah-olah berada di samping mereka. Maka, mereka tidak bersendirian. Dia tahu apa yang dialami mereka dan Dia mendengar doa mereka.—Mazmur 34:15; 1 Petrus 3:12.
“Akulah Tuhanmu.” Yehuwa menenangkan hamba-Nya dengan mengingatkan mereka bahawa Dia ialah Tuhan mereka dan mereka ialah penyembah-Nya. Mereka dapat yakin bahawa Yehuwa akan membantu mereka tidak kira apa pun situasi yang dihadapi.—Mazmur 118:6; Roma 8:32; Ibrani 13:6.
“Aku akan meneguhkanmu, dan Aku akan membantumu. Aku pasti akan memegangmu dengan tangan kanan-Ku yang menegakkan keadilan.” Yehuwa menggunakan tiga ungkapan yang berbeza untuk menekankan hal yang sama, iaitu Dia akan menolong umat-Nya. Gambaran tentang tangan Yehuwa yang memegang kita menunjukkan bahawa Dia tidak akan berdiam diri apabila kita dalam kesusahan. Semasa seseorang jatuh, Yehuwa akan menariknya dengan tangan-Nya agar dia bangkit semula.—Yesaya 41:13.
Cara utama Tuhan menguatkan dan membantu penyembah-Nya adalah melalui Bible. (Yosua 1:8; Ibrani 4:12) Contohnya, Firman Tuhan mengandungi nasihat bijak bagi mereka yang menghadapi kemiskinan, penyakit, kehilangan orang tersayang dalam kematian, dan cabaran lain. (Amsal 2:6, 7) Tuhan juga dapat menggunakan kuasa suci-Nya agar umat-Nya dapat berfikir dengan jelas dan tidak berasa terlalu khuatir sehingga berputus asa.—Yesaya 40:29; Lukas 11:13.
w25.04 25 ¶19
YEHUWA SENTIASA DI SISI KITA
19 Yehuwa sangat mengambil berat terhadap setiap orang yang mengasihi-Nya. Semasa kita ditimpa kesusahan, Dia tidak akan meninggalkan kita. Sebaliknya, Dia menjaga kita sebagaimana ibu bapa menjaga anak mereka dengan penuh kasih sayang. Seperti yang dibincangkan dalam rencana ini, Dia membimbing kita, menjaga keperluan kita, melindungi kita, dan melegakan hati kita. Kita dapat meniru Bapa kita yang pengasih dengan menyokong dan menggalakkan orang yang ditimpa kesusahan. Yehuwa telah berjanji, “Janganlah takut kerana Aku menyertaimu.” (Yes. 41:10) Jadi, tidak kira apa cabaran atau kesedihan yang akan kita lalui, yakinlah bahawa Yehuwa sentiasa di sisi kita. Ya, kita tidak pernah akan keseorangan!
9-15 MAC
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN YESAYA 43-44
Nubuat yang Dicatatkan 200 Tahun sebelum Terjadi
wp20.1 8 ¶2-3
Nubuat: Pada abad kelapan SM, seorang penulis Bible yang bernama Yesaya menulis tentang Babilon. Babilon ialah sebuah kota yang bakal menjadi ibu kota sebuah empayar yang besar. Yesaya menyatakan bahawa kota itu akan diserang dan akhirnya dibiarkan kosong tanpa penduduk. (Yesaya 13:17-20) Dia bahkan menyatakan nama orang yang akan melancarkan serangan itu, iaitu Kores. Dia juga menggambarkan apa yang akan dilakukan oleh Kores, iaitu ‘mengeringkan semua sungai’ di kota itu. Dia turut mengatakan bahawa pintu-pintu gerbang kota itu tidak akan ditutup.—Yesaya 44:27–45:1.
Apa yang Berlaku: Kira-kira 200 tahun selepas nubuat itu ditulis, seorang raja dari Persia menyerang Babilon. Siapakah nama raja itu? Kores. Oleh sebab Babilon mempunyai tembok yang kukuh dan dilindungi oleh Sungai Efrat, Kores menyuruh askarnya menggali sebuah saluran untuk menyalurkan air sungai itu ke tempat lain. Kemudian paras air sungai itu menurun sehingga askarnya dapat berjalan ke seberang dan sampai di luar tembok kota. Yang menariknya, orang Babilon tidak menutup pintu gerbang mereka! Maka askar-askar Kores dapat memasuki kota itu dan menawannya dengan senang sekali.
lfb 63 ¶5
Dalam masa setahun, Kores mengumumkan, “Yehuwa menyuruh beta untuk membina semula Rumah Tuhan di Yerusalem. Sesiapa yang mahu bantu boleh kembali ke Yerusalem.” Jadi, seperti yang dijanjikan Yehuwa, orang Yahudi kembali ke tanah air mereka 70 tahun selepas Yerusalem dimusnahkan. Raja Kores juga memulangkan semua cawan emas dan perak serta perkakas yang diambil dari Rumah Tuhan. Dapatkah adik melihat cara Yehuwa menggunakan Kores untuk membantu umat-Nya?
16-22 MAC
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN YESAYA 45-47
“Akulah Tuhan, dan Tiada Sesiapa pun yang Sama seperti Aku”
w20.06 5 ¶14
14 Syaitan telah menggunakan bermacam-macam cara untuk menggagalkan tujuan Yehuwa, tetapi dia tidak pernah berjaya. Catatan Bible tentang perbuatan Yehuwa membuktikan bahawa Yehuwa sesungguhnya Bapa yang pengasih dan Pemerintah yang terbaik. Memang benar, Yehuwa sangat sedih semasa Syaitan dan para penyokongnya memberontak. (Mzm. 78:40) Namun, cara Dia menangani masalah ini menunjukkan bahawa Dia ialah Tuhan yang bijaksana, sabar, adil, dan maha kuasa. Yang terpenting, segala perbuatan Yehuwa menunjukkan kasih-Nya. (1 Yoh. 4:8) Ya, sejak dahulu lagi, Yehuwa sentiasa bertindak untuk menyucikan nama-Nya.
w25.06 17 ¶15
15 Kita tahu bahawa Yehuwa telah menjanjikan kehidupan kekal kepada kita. Tidak kira harapan kita adalah untuk hidup kekal di syurga atau di bumi, kita tahu Dia tidak mungkin berdusta, dan tiada apa-apa yang dapat menghalang-Nya daripada menunaikan janji-janji-Nya. (Tit. 1:2) Kita tahu kebanyakan nubuat Bible telah menjadi kenyataan, jadi kita yakin nubuat Bible tentang masa depan pun pasti berlaku. Bible kata hanya Yehuwa yang dapat “bernubuat tentang hal yang akan berlaku” dan “menyatakan perkara yang belum terjadi.” (Yes. 46:10) Selain itu, kita tahu bahawa tiada apa-apa yang dapat menghalang Yehuwa daripada mengasihi kita. (Rm. 8:35-39) Dia akan memberi kita kebijaksanaan, kelegaan, dan kuasa yang diperlukan untuk menghadapi apa-apa sahaja dengan tabah. Kita juga yakin Yehuwa pasti membantu dan memberkati kita.—Yer. 17:7, 8.
w24.09 11 ¶13-14
13 Sementara menunggu arahan untuk melarikan diri, orang Kristian Ibrani juga perlu terus hidup sederhana dan “bebas daripada cinta akan wang.” (Baca Ibrani 13:5.) Sesetengah antara mereka pernah hidup miskin, mengalami kebuluran, dan menderita demi berita baik. (Ibr. 10:32-34) Namun sekarang, mereka mungkin mula berfikir mereka mesti mengumpulkan kekayaan supaya dapat mengelakkan kesusahan. Tetapi biarpun harta mereka bertimbun-timbun, itu tidak dapat melindungi mereka daripada pembinasaan yang bakal tiba. (Yak. 5:3) Sebenarnya, mereka yang mencintai kekayaan akan berasa lebih susah untuk melarikan diri kerana terlalu menyayangi rumah dan harta mereka.
14 Jika kita memiliki iman yang kuat bahawa akhir dunia ini sudah sangat dekat, kita akan menolak sikap mencintai kebendaan. Semasa kesengsaraan besar, orang akan “mencampakkan perak mereka di jalan” kerana sedar bahawa “baik perak mahupun emas tidak dapat menyelamatkan mereka pada hari kemurkaan Yehuwa.” (Yeh. 7:19) Jadi daripada sibuk mengejar wang, kita akan membuat keputusan yang membolehkan kita menjaga keperluan hidup tanpa mengabaikan ibadat kita kepada Yehuwa. Untuk berbuat demikian, kita perlu mengelak daripada menanggung hutang yang tidak perlu atau menghabiskan terlalu banyak masa untuk menjaga harta milik kita. Kita juga mesti berhati-hati agar harta kita tidak menjadi hal yang terpenting dalam hidup. (Mat. 6:19, 24) Apabila akhir semakin dekat, kita mungkin menghadapi situasi di mana kita harus menunjukkan sama ada kita bergantung pada Yehuwa atau pada kekayaan.
23-29 MAC
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN YESAYA 48-49
Manfaat Mendengarkan Perintah Yehuwa
w22.08 30 ¶16-17
16 Adakah anda risau anda tidak dapat hidup selaras dengan standard Yehuwa buat selama-lamanya? Perhatikan perumpamaan yang digunakan oleh Yehuwa di Yesaya 48:18. (Baca.) Yehuwa berjanji bahawa perbuatan baik kita “akan menjadi seperti ombak laut.” Bayangkan anda berdiri di tepi laut sambil melihat ombak yang tidak berhenti-henti memukul pantai. Pernahkah anda risau bahawa ombak akan berhenti suatu hari nanti? Tidak. Ombak tidak pernah jemu memukul pantai sejak ribuan tahun dahulu dan pasti akan berterusan buat selama-lamanya.
17 Bagaimanakah perbuatan baik anda dapat menjadi seperti ombak laut? Sebelum membuat keputusan, fikirkan terlebih dahulu apa yang dikehendaki oleh Yehuwa. Kemudian, bertindaklah selaras dengan kehendak Yehuwa. Biarpun keputusan itu sangat susah, yakinlah bahawa Bapa anda yang pengasih pasti menyertai anda, memberi anda kekuatan, dan membantu anda untuk hidup selaras dengan standard-Nya yang benar setiap hari.—Yes. 40:29-31.
Permata Rohani
w19.01 9-10 ¶7
7 Memberikan komen bermanfaat untuk kita. (Yes. 48:17) Bagaimana? Pertama, jika kita bermatlamat untuk memberikan komen, kita lebih bersemangat untuk membuat persiapan yang rapi. Apabila kita membuat persiapan yang rapi, kita lebih memahami Firman Tuhan. Apabila pemahaman kita bertambah, kita lebih mahir menerapkan apa yang dipelajari. Kedua, kita akan lebih menikmati perjumpaan kerana kita menyertai perbincangan itu. Ketiga, memandangkan usaha diperlukan untuk memberikan komen, kita biasanya dapat mengingati isi-isi yang kita sebutkan lama selepas perjumpaan berakhir.
6-12 APRIL
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN YESAYA 50-51
Dengarlah Anak Murid Tuhan
kr 206 ¶5
5 Apabila masanya tiba, Yehuwa telah mengajar Anak-Nya tentang tugas yang harus dilakukannya di bumi. Bagaimanakah nubuat Bible menggambarkan hubungan antara Pendidik Agung, iaitu Yehuwa, dengan Anak sulung-Nya? (Baca Yesaya 50:4, 5.) Nubuat itu menyatakan bahawa Yehuwa membangunkan Anak-Nya “tiap-tiap pagi.” Tuhan digambarkan seperti seorang guru yang membangunkan anak muridnya pada awal pagi untuk mengajarnya. Menurut sebuah karya rujukan Bible, “Yehuwa . . . seolah-olah membawanya ke sekolah, dan mengajarnya seperti seorang pelajar.” Di syurga, Yehuwa telah mengajar Anak-Nya “apa yang harus dikatakan dan apa yang harus disampaikan.” (Yoh. 12:49) Bapa juga telah mengajar Anak-Nya cara untuk mengajar.a Latihan itu bukan sahaja membantu Yesus melaksanakan kerja penyebarannya di bumi, malah membantu Yesus untuk melatih para pengikutnya agar mereka juga dapat melaksanakan kerja penyebaran dengan baik.
* Bagaimanakah kita tahu bahawa Bapa telah mengajar Anak-Nya cara untuk mengajar? Yesus sering menggunakan perumpamaan, atau kata-kata hikmat, semasa mengajar. Perbuatannya ini telah dinubuatkan beratus-ratus tahun sebelum kelahirannya. (Mzm. 78:2; Mat. 13:34, 35) Nubuat itu dinyatakan oleh Yehuwa, maka jelaslah bahawa Dia telah menentukan terlebih dahulu bahawa Anak-Nya akan menggunakan cerita ibarat, atau perumpamaan, semasa mengajar.—2 Tim. 3:16, 17.
cf 133 ¶13
“Aku Mengasihi Bapa”
13 Sejak di syurga, Yesus sangat suka belajar daripada Bapanya. Yesaya 50:4-6 juga mengatakan bahawa Yehuwa mengajar Yesus tentang peranannya sebagai Mesias. Walaupun Yesus belajar bahawa dia akan mengalami banyak kesusahan, dia ingin terus belajar. Semasa di bumi, Yesus juga rajin pergi rumah ibadat untuk belajar tentang Yehuwa dan menyembah-Nya. Ini merupakan rutinnya. (Lukas 4:16; 19:47) Jika kita mahu mengekalkan kasih kepada Yehuwa dan memastikannya terus membara, kita perlu rajin menghadiri perjumpaan Kristian. Di sana, kita dapat menyembah Yehuwa serta memperdalamkan pengetahuan dan penghargaan kita terhadap-Nya.
Permata Rohani
w23.03 4 ¶8
8 Kita mengasihi Yesus, Raja kita, kerana dia ialah Pemerintah yang terbaik. Fikirkan: Yesus telah dilatih dan dilantik oleh Yehuwa sebagai pemerintah. (Yes. 50:4, 5) Selain itu, Yesus rela berkorban dan sentiasa menunjukkan kasih. (Yoh. 13:1) Ya, Yesus, Raja kita, memang layak dikasihi. Jika kita mengasihi Yesus, kita akan mematuhi perintahnya, dan Yesus akan menganggap kita sebagai sahabatnya. (Yoh. 14:15; 15:14, 15) Tidakkah anda berasa bangga untuk menjadi sahabat Yesus?
13-19 APRIL
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN YESAYA 52-53
Alangkah Besarnya Kasih Yesus!
w21.05 9 ¶4
4 Apakah yang dinyatakan dalam Ayat-Ayat Suci? Lama sebelum kedatangan Mesias, Nabi Yesaya sudah menubuatkan bahawa dia tidak akan diterima oleh ramai orang. Yesaya menulis, “Dia dipandang hina dan ditolak. . . . Mukanya seolah-olah tersembunyi daripada kami. Dia dipandang rendah, dan kami juga tidak mempedulikannya.” (Yes. 53:3) Ya, Ayat-Ayat Suci sudah menubuatkan bahawa Mesias akan “dipandang hina dan ditolak.” Jadi, orang Yahudi pada abad pertama tidak patut berasa hairan semasa ramai orang tidak menerima Mesias.
w19.02 11 ¶15
15 Menjelang akhir kehidupannya di bumi, Yesus sangat tertekan. Dia tahu bahawa dia akan diseksa dengan kejam lalu dibunuh. (Yoh. 3:14, 15; Gal. 3:13) Beberapa bulan sebelum kematiannya, Yesus berkata bahawa dia sungguh resah. (Luk. 12:50) Beberapa hari sebelum dia dibunuh, Yesus berkata, “Sekarang aku sangat sedih.” Perhatikan bagaimana doa yang diucapkannya dengan penuh perasaan menunjukkan kerendahan hati dan ketaatannya: “Bapa, selamatkanlah aku daripada saat penderitaan ini. Namun, untuk saat inilah aku datang ke bumi. Ya Bapa, muliakanlah nama-Mu.” (Yoh. 12:27, 28) Apabila masanya tiba, Yesus menyerahkan dirinya kepada musuh-musuh Tuhan, lalu diseksa, dihina, dan dibunuh dengan kejam. Walaupun Yesus begitu tertekan dan menderita, dia tetap melakukan kehendak Tuhan dengan rendah hati. Tidakkah kita kagum dengan teladannya?—Baca Yesaya 53:7, 10.
Permata Rohani
w25.02 13 ¶17
17 Baca Yesaya 53:5. Gambaran terakhir yang akan kita bincangkan menyamakan kita dengan orang yang sakit tenat. Kita semua sakit secara rohani kerana dosa telah merosakkan hubungan kita dengan Yehuwa. Namun, tebusan yang disediakan oleh Yehuwa menyembuhkan kita. (1 Ptr. 2:24) Korban tebusan Yesus membolehkan kita berbaik semula dengan Yehuwa dan sembuh secara rohani. Sebagaimana seseorang yang sakit tenat berasa gembira setelah disembuhkan, kita bersukacita apabila pengampunan Yehuwa membolehkan kita sembuh secara rohani dan mendapat semula perkenan-Nya.
20-26 APRIL
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN YESAYA 54-55
Berapa Banyak Anda Sanggup Bayar?
w20.10 24 ¶15
15 Pada zaman moden. Yehuwa telah menubuatkan bahawa “pada hari-hari terakhir,” orang daripada segala bangsa akan berduyun-duyun ke “gunung Yehuwa” untuk mempelajari haluan-Nya. (Baca Yesaya 2:2, 3.) Nubuat ini sedang menjadi kenyataan dewasa ini. Terdapat bukti yang jelas bahawa ibadat sejati jauh lebih unggul daripada semua agama palsu. Melalui “hamba yang setia dan bijaksana,” Yehuwa menyediakan beraneka jenis makanan rohani secara melimpah, seperti rencana, ceramah, animasi, dan video. (Mat. 24:45) Setelah menikmati jamuan rohani yang disediakan oleh Yehuwa, tidakkah kita setuju dengan Elihu yang berkata, “Pernahkah kamu melihat guru yang sehebat [Tuhan]?”—Ayb. 36:22; Yes. 25:6.
w18.11 4 ¶6-7
6 Baca Yesaya 55:1-3 dan nota kaki. Dalam beberapa ayat ini, Yehuwa menjelaskan maksud ‘membeli kebenaran.’ Dia menyamakan firman-Nya dengan air, susu, dan wain. Seperti seteguk air yang sejuk dan bersih, kebenaran dalam firman Tuhan menyegarkan kita. Sebagaimana susu menguatkan kita dan membantu kanak-kanak membesar, firman Yehuwa menguatkan kita dan membantu kita bertumbuh secara rohani. Bagaimanakah firman Yehuwa ibarat wain? Bible mengaitkan wain dengan kegembiraan. (Mzm. 104:15) Maka, dengan menjemput umat-Nya untuk ‘membeli wain,’ Yehuwa menjamin bahawa orang yang hidup menurut firman-Nya akan meraih kegembiraan. (Mzm. 19:8) Tiga perumpamaan tadi tepat menggambarkan manfaat yang dituai apabila kita mempelajari dan mengamalkan kebenaran. Sekarang, mari kita perhatikan lima perkara yang mungkin perlu kita korbankan untuk membeli kebenaran.
APAKAH YANG TELAH ANDA KORBANKAN UNTUK MEMBELI KEBENARAN?
7 Masa. Kita mesti meluangkan masa untuk mendengar berita baik, membaca Bible dan bahan bacaan Bible, mempelajari Bible, membuat persiapan untuk perjumpaan, dan menghadiri perjumpaan. Kita perlu ‘membeli’ masa itu daripada kegiatan yang kurang penting. (Baca Efesus 5:15, 16 dan nota kaki.) Berapa banyakkah masa yang diperlukan untuk mendapat pengetahuan yang tepat tentang ajaran asas Bible? Jawapannya bergantung pada keadaan setiap orang. Kebijaksanaan, perbuatan, dan haluan Yehuwa yang dapat kita pelajari, tiada hadnya. (Rm. 11:33) Terbitan pertama Watch Tower menyamakan kebenaran dengan “sekuntum bunga kecil” dan menyatakan, “Setelah mendapat ‘sekuntum’ kebenaran, janganlah berpuas hati. Jika sekuntum kebenaran sudah cukup, Tuhan tidak akan menyediakan begitu banyak kebenaran. Carilah dan kumpullah lebih banyak lagi.” Maka tanyalah diri, “Seberapa besarkah ‘jambangan bunga kebenaran’ saya?” Pengetahuan kita tentang Yehuwa akan bertambah untuk selama-lamanya, tetapi buat masa sekarang, gunakanlah masa kita dengan bijak untuk membeli seberapa banyak kebenaran yang mampu. Perhatikan contoh berikut.
ws16.05 18 ¶12
12 Satu lagi cara untuk memahami pemikiran Yehuwa adalah dengan menumpukan perhatian terhadap bimbingan Bible yang diberikan menerusi organisasi-Nya. Contohnya, Panduan Penyelidikan Saksi-Saksi Yehuwa dan PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower membantu kita mengenali pemikiran Yehuwa dalam pelbagai situasi. Hal ini membantu kita semasa membuat keputusan peribadi. Kita juga meraih manfaat apabila menghadiri dan mengambil bahagian semasa perjumpaan. Merenungkan apa yang diajar dapat membantu kita memahami pemikiran Yehuwa dan menyelaraskan pemikiran kita dengan pemikiran-Nya. Dengan menyantap makanan rohani, kita lebih memahami cara Dia bertindak. Hasilnya, kita dapat membuat keputusan yang diberkati Tuhan.
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
w24.11 31 ¶1-6
Cadangan untuk Membuat Pembelajaran Secara Tetap
ADAKAH anda berasa susah untuk menikmati pembelajaran peribadi dan mengadakannya secara tetap? Kita semua mungkin pernah berasa begitu. Namun fikirkan kegiatan lain yang kita lakukan secara tetap, seperti mandi. Kita memang memerlukan masa dan usaha untuk mandi, tetapi selepas itu kita berasa segar-bugar! Begitu juga dengan pembelajaran peribadi. Setelah melakukannya, kita berasa disegarkan. (Ef. 5:26) Perhatikan beberapa cadangan yang dapat membantu kita untuk melakukannya secara tetap:
• Sediakan jadual. Pembelajaran peribadi tergolong antara “perkara-perkara yang lebih penting” yang tidak boleh diabaikan oleh orang Kristian. (Flp. 1:10) Untuk membantu anda mengikut jadual yang telah anda sediakan, cubalah paparkannya di tempat yang mudah dilihat, seperti papan kenyataan di rumah atau di peti sejuk. Anda juga boleh menggunakan fungsi seperti alarm pada alat elektronik, untuk mengingatkan anda apabila masa pembelajaran tiba.
• Sesuaikan dengan keperluan anda. Manakah yang lebih senang bagi anda? Satu sesi pembelajaran yang panjang, atau beberapa sesi yang pendek? Andalah yang paling mengenali diri sendiri, jadi buatlah penyesuaian mengikut situasi anda. Bagaimana pula jika masa pembelajaran sudah tiba tetapi anda tiada semangat untuk memulakannya? Cubalah membuat pembelajaran selama 10 minit sahaja. Itu lebih baik daripada langsung tidak melakukannya. Barangkali, selepas anda memulakannya, anda akan semakin bersemangat dan ingin terus membuat pembelajaran.—Flp. 2:13.
• Pilih topik pembelajaran terlebih dahulu. Jika anda sudah duduk dan baru mula fikir apa yang hendak anda pelajari, anda tidak ‘menggunakan masa dengan sebaik-baiknya.’ (Ef. 5:16) Jadi awal-awal lagi, senaraikanlah rencana atau topik yang ingin anda kaji. Setiap kali anda terfikir suatu soalan, tambahkannya ke dalam senarai itu. Pada akhir setiap sesi pembelajaran, anda juga boleh menuliskan topik apa yang ingin anda kaji pada masa depan.
• Buatlah perubahan jika perlu. Anda boleh ubah tempoh pembelajaran anda atau topik yang anda mahu kaji. Yang penting bukanlah bila, berapa lama, atau topik apa yang anda kaji, tetapi seberapa kerap anda membuat pembelajaran peribadi.
Kita akan meraih manfaat yang besar jika kita membuat pembelajaran peribadi secara tetap. Kita akan semakin menghampiri Yehuwa, dapat bertindak dengan bijak, dan disegarkan.—Yos. 1:8.
27 APRIL–3 MEI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN YESAYA 56-57
Kita Gembira kerana Yehuwa ialah Tuhan Kita
ip-2 269 ¶14-16
Yehuwa Menguatkan Orang yang Patah Semangat
14 Kesabaran Tuhan ada hadnya. Yehuwa berfirman, “Segala perbuatan dan ‘kebaikan’ kamu akan Aku dedahkan. Semua itu tidak akan mendatangkan manfaat kepada kamu. Apabila kamu berseru meminta tolong, semua berhala yang kamu kumpulkan itu tidak akan menyelamatkan kamu. Berhala-berhala itu akan diterbangkan angin; dengan satu hembusan nafas, semua berhala itu akan dibawa pergi.” (Yesaya 57:12, 13a) Yehuwa akan mendedahkan kejahatan dan kemunafikan Yehuda. ‘Semua berhala yang dikumpulkannya’ tidak dapat menyelamatkannya. Apabila musibah melanda, tuhan-tuhan yang disembahnya akan diterbangkan dengan satu hembusan nafas.
15 Kata-kata Yehuwa itu telah menjadi kenyataan pada 607 SM. Pada masa itulah Raja Nebukadnezar dari Babilon memusnahkan Yerusalem, membakar Rumah Tuhan, dan menjadikan penduduknya sebagai tawanan. “Demikianlah orang Yehuda dibuang negeri.”—2 Raja-Raja 25:1-21.
16 Begitu juga, berhala-berhala susunan Kristian tidak dapat menyelamatkan mereka pada hari penghakiman Yehuwa. (Yesaya 2:19-22; 2 Tesalonika 1:6-10) Ketika itu, susunan Kristian dan semua agama palsu akan dimusnahkan. Binatang buas yang berwarna merah marak dan mempunyai 10 tanduk akan “membinasakan [Babilon Besar] dan membuatnya telanjang. Mereka akan memakan habis dagingnya dan memusnahkannya dengan api.” (Wahyu 17:3, 16, 17) Kita bersyukur kerana mematuhi arahan ini: “Keluarlah daripadanya, hai umat-Ku, jika kamu tidak mahu turut menanggung dosa-dosanya, dan jika kamu tidak mahu menerima sebahagian daripada tulah-tulahnya!” (Wahyu 18:4, 5) Semoga kita tidak menjadi sebahagian daripada Babilon Besar atau kembali ke haluannya.
w18.06 7 ¶16
16 Perubahan sebegini sungguh penting! Bible menggambarkan manusia seperti laut bergelora yang tidak dapat berdamai. (Yes. 17:12; 57:20, 21; Why. 13:1) Isu-isu politik membangkitkan kemarahan, memecahbelahkan orang, dan mencetuskan keganasan. Namun, penyembah Yehuwa tetap berdamai dan bersatu. Semasa memerhatikan dunia yang berpecah belah ini, Yehuwa pasti amat gembira untuk melihat perpaduan kita.—Baca Zefanya 3:17.
Permata Rohani
w21.07 23 ¶11
11 Baca Yesaya 57:15. Yehuwa sangat mengambil berat terhadap “mereka yang remuk hati.” Kita semua, bukan sahaja para penatua, boleh menggalakkan saudara saudari kita yang remuk hati. Salah satu cara untuk melakukannya adalah dengan mengambil berat terhadap mereka secara ikhlas. Apabila kita berbuat demikian, mereka akan merasai kasih Yehuwa. (Ams. 19:17) Kita juga boleh membantu saudara saudari kita dengan bersikap rendah hati. Kita tidak mahu menunjuk-nunjuk kebolehan kita atau menarik perhatian kepada diri sendiri kerana hal ini mungkin membuat mereka berasa iri hati. Sebaliknya, kita ingin menggunakan kebolehan dan pengetahuan kita untuk menggalakkan satu sama lain.—1 Ptr. 4:10, 11.