Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
© 2026 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
4-10 MEI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN YESAYA 58-59
Rasakan Sendiri Berkat Yehuwa
w24.07 18 ¶16
Bagaimanakah kita dapat memupuk keinginan yang betul? Kita harus sibuk dalam aktiviti rohani. Semasa menghadiri perjumpaan atau menginjil, kita tidak begitu mudah tergoda untuk berdosa. Sebaliknya, kita sedang menguatkan tekad kita untuk menyenangkan hati Yehuwa. (Mat. 28:19, 20; Ibr. 10:24, 25) Selain itu, semasa kita membaca, mengkaji, serta merenungkan Bible, kita semakin mengasihi apa yang benar dan membenci apa yang jahat. (Yos. 1:8; Mzm. 1:2, 3; 119:97, 101) Doa juga sangat penting, kerana Yesus pernah memberitahu para pengikutnya, ‘Teruslah berdoa supaya kamu semua tidak terjerat oleh godaan.’ (Mat. 26:41) Apabila kita meluangkan masa untuk berdoa kepada Yehuwa, kita sedang memberi-Nya peluang untuk membantu kita, dan tekad kita untuk menyenangkan hati-Nya akan menjadi semakin kuat.—Yak. 4:8
w13 15/1 13 ¶5-6
“Janganlah Menjauhkan Diri daripada Yehuwa“
Katakan anda sedang mencari kerja, tetapi tinggal di tempat yang kurang peluang pekerjaan. Anda mungkin tergoda untuk menerima apa-apa sahaja kerja yang ditawarkan. Bagaimana pula jika pekerjaan itu bercanggah dengan prinsip Bible? Atau jika jadual pekerjaan itu menyebabkan anda tiada masa yang secukupnya untuk aktiviti Kristian dan keluarga? Haruskah anda menerima pekerjaan yang tidak sesuai kerana tidak ingin menganggur? Ingatlah, pilihan yang salah akan menjauhkan anda daripada Yehuwa. (Ibr. 2:1) Jadi, bagaimanakah anda dapat membuat keputusan yang bijak semasa mencari atau menukar pekerjaan?
Seperti yang dibincangkan, anda harus ingat destinasi anda. Tanyalah diri, “Apakah tujuan saya bekerja?” Jika matlamat anda bekerja adalah untuk membiayai keperluan keluarga sambil berkhidmat kepada Yehuwa, Dia pasti memberkati usaha anda. (Mat. 6:33) Yehuwa dapat membantu anda semasa anda hilang kerja atau mengalami masalah kewangan. (Yes. 59:1) Dia “tahu akan cara menyelamatkan orang salih daripada cubaan.”—2 Ptr. 2:9.
Permata Rohani
w24.08 3 ¶4
Yehuwa memastikan kisah tentang Adam dan Hawa dicatatkan dalam Bible demi manfaat kita. Daripada kisah itu, kita faham bahawa Yehuwa begitu membenci dosa kerana dosa merosakkan hubungan kita dengan-Nya dan menyebabkan kematian. (Yes. 59:2) Syaitan, iaitu makhluk roh yang memberontak terhadap Yehuwa dan menyebabkan semua masalah ini, mencintai dosa dan mahu manusia terjebak dalam kancah dosa. Semasa Adam dan Hawa berdosa terhadap Tuhan di Taman Eden, Syaitan mungkin berfikir bahawa dia telah menggagalkan tujuan Tuhan untuk manusia. Namun dia lupa bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang pengasih dan tidak akan mengubah tujuan-Nya bagi keturunan Adam dan Hawa. Yehuwa mengasihi manusia dan serta-merta memberi kita harapan. (Baca Roma 8:20, 21.) Yehuwa yakin bahawa sesetengah keturunan Adam dan Hawa akan memilih untuk mengasihi-Nya dan meminta bantuan-Nya untuk melawan dosa. Sebagai Bapa dan Pencipta kita, Dia akan membuka jalan agar kita dibebaskan daripada dosa dan dapat menghampiri-Nya. Apakah yang akan Yehuwa lakukan?
11-17 MEI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN YESAYA 60-61
“Hai Wanita, Bangkitlah dan Bersinarlah“
w24.07 30 ¶1-2
Yesaya 60:1 kata, “Hai wanita, bangkitlah dan bersinarlah, kerana cahayamu sudah datang! Kemuliaan Aku, Yehuwa, menyinarimu.” Konteks ayat ini menunjukkan bahawa “wanita” itu ialah Sion, atau Yerusalem, iaitu ibu kota negeri Yehuda. a (Yes. 60:14; 62:1, 2) Kota itu melambangkan seluruh bangsa Israel. Kata-kata Yesaya menimbulkan dua soalan berikut: Pertama, bilakah dan bagaimanakah Yerusalem ‘bangkit’ dan memancarkan cahaya rohani? Kedua, adakah nubuat Yesaya menjadi kenyataan dalam skala yang lebih besar pada zaman kita?
Bilakah dan bagaimanakah Yerusalem ‘bangkit’ dan memancarkan cahaya rohani? Semasa orang Yahudi menjadi tawanan di Babilon selama 70 tahun, Yerusalem dan Rumah Tuhan berada dalam keadaan terbiar. Namun selepas Babilon ditawan oleh Media dan Persia, orang Israel di seluruh Empayar Babilon dibenarkan kembali ke tanah air mereka dan memulihkan ibadat sejati. (Ezr. 1:1-4) Itulah yang berlaku bermula tahun 537 SM. Orang Israel daripada semua suku telah kembali ke Yerusalem, mempersembahkan korban kepada Yehuwa, menyambut perayaan-perayaan, dan membina semula Rumah Tuhan. (Ezr. 3:1-4, 7-11; 6:16-22; Yes. 60:4) Cahaya kemuliaan Yehuwa mula bersinar lagi ke atas Yerusalem, iaitu umat-Nya, dan umat-Nya telah menyinari bangsa-bangsa lain yang berada dalam kegelapan rohani.
w24.07 30 ¶3-4
Namun, nubuat Yesaya hanya menjadi kenyataan dalam skala yang kecil pada masa itu. Kebanyakan orang Israel masih tidak mematuhi Tuhan. (Neh. 13:27; Mal. 1:6-8; 2:13, 14; Mat. 15:7-9) Ratusan tahun kemudian, mereka bahkan menolak Yesus Kristus sebagai Mesias. (Mat. 27:1, 2) Pada tahun 70 M, Yerusalem dan Rumah Tuhan dibinasakan sekali lagi.
Memandangkan Yehuwa telah menubuatkan bahawa hal ini akan berlaku, jelaslah bahawa hanya sebahagian daripada nubuat di Yesaya bab 60 yang akan menjadi kenyataan di Yerusalem di bumi.—Dan. 9:24-27.
w24.07 30 ¶5–31 ¶2
Adakah nubuat Yesaya menjadi kenyataan dalam skala yang lebih besar pada zaman kita? Ya, tetapi kepada seorang lagi wanita simbolik, iaitu “Yerusalem di syurga.” Rasul Paulus menulis tentang wanita itu, “Dia ialah ibu kita.” (Gal. 4:26) Yerusalem itu ialah bahagian organisasi Tuhan di syurga, yang terdiri daripada makhluk-makhluk roh yang setia. Anaknya ialah Yesus dan 144,000 orang Kristian terurap, yang memiliki harapan untuk tinggal di syurga seperti Paulus. Orang Kristian terurap membentuk satu “bangsa yang suci,” iaitu “Israel milik Tuhan.”—1 Ptr. 2:9; Gal. 6:16.
Bagaimanakah Yerusalem yang di syurga ‘bangkit’ dan ‘bersinar’? Melalui anak-anaknya yang terurap di bumi. Bandingkan apa yang berlaku kepada mereka dengan nubuat di Yesaya bab 60.
Orang Kristian terurap perlu ‘bangkit’ kerana mereka sudah jatuh ke dalam kegelapan rohani. Hal ini berlaku pada abad kedua Masihi semasa pengaruh murtad tersebar luas seperti lalang. (Mat. 13:37-43) Sejak itu, mereka ditawan oleh Babilon Besar, iaitu empayar agama palsu sedunia. Mereka terus menjadi tawanan sehingga “penghujung sistem dunia,” yang bermula pada tahun 1914. (Mat. 13:39, 40) Tidak lama kemudian, mereka dibebaskan pada tahun 1919 dan segera memancarkan cahaya rohani melalui kerja penyebaran. b Hasilnya, orang daripada pelbagai bangsa telah disinari cahaya rohani, termasuk mereka yang bakal menganggotai Israel milik Tuhan, iaitu “raja-raja” yang disebut di Yesaya 60:3.—Why. 5:9, 10.
Pada masa depan, orang Kristian terurap akan bersinar dengan lebih terang lagi. Bagaimana? Selepas mereka mati, mereka akan naik ke syurga dan menjadi sebahagian daripada “Yerusalem Baharu,” iaitu pengantin Kristus yang terdiri daripada 144,000 raja dan imam.—Why. 14:1; 21:1, 2, 24; 22:3-5.
Yerusalem Baharu akan memainkan peranan penting dalam nubuat di Yesaya 60:1. (Bandingkan Yesaya 60:1, 3, 5, 11, 19, 20 dengan Wahyu 21:2, 9-11, 22-26.) Sepertimana Yerusalem di bumi ialah pusat pemerintahan Israel kuno, Yerusalem Baharu dan Kristus akan menjadi pusat pemerintahan bagi dunia baharu. Bagaimanakah Yerusalem Baharu “turun dari syurga daripada Tuhan”? Dengan membantu umat manusia di bumi. Yerusalem Baharu “akan menerangi jalan yang ditempuh” oleh semua bangsa yang taat dan bahkan membebaskan mereka daripada dosa dan kematian. (Why. 21:3, 4, 24) Akhirnya, semua perkara akan dipulihkan, seperti yang dinubuatkan oleh Yesaya dan nabi-nabi lain. (Kis. 3:21) Pemulihan itu bermula semasa Kristus menjadi Raja dan akan berakhir pada hujung Pemerintahan Seribu Tahun Kristus.
18-24 MEI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN YESAYA 62-64
Tukang Tembikar yang Pengasih dan Berbelas Kasihan
w24.01 4-5 ¶9
Semasa menghadapi cubaan yang menakutkan, ingatlah bahawa Yehuwa tahu situasi anda dan perasaan anda. Sebagai contoh, Yehuwa bukan sahaja nampak bagaimana orang Israel di Mesir ditindas, tetapi juga memahami “kesakitan mereka.” (Kel. 3:7) Dalam lagu yang digubahnya, Daud menulis bahawa Yehuwa bukan sahaja melihat penderitaannya, tetapi juga tahu bahawa dia berasa sangat sengsara. (Mzm. 31:7) Selain itu, “semasa [umat Tuhan] menderita, Tuhan juga berasa sedih” biarpun mereka menderita akibat keputusan buruk mereka sendiri. (Yes. 63:9) Jadi, semasa anda takut, ingatlah bahawa Yehuwa memahami perasaan anda dan ingin sekali membantu anda mengatasi rasa takut anda.
w23.08 28-29 ¶8-9
Bawalah Apa yang Perlu, dan Buanglah yang Selebihnya
8 Akibat daripada keputusan kita. Yehuwa telah memberi kita kebebasan untuk memilih dan Dia mahu kita membuat keputusan yang baik dan meraih manfaatnya. Tetapi pada masa yang sama, jika kita membuat keputusan yang salah, Yehuwa tidak melindungi kita daripada akibat buruknya. (Gal. 6:7, 8) Oleh itu, kita harus bertanggungjawab atas keputusan buruk yang kita buat, kata-kata yang melulu, dan perbuatan yang terburu-buru. Kita bahkan mungkin dibelenggu rasa bersalah. Namun, memandangkan kita tahu bahawa kita perlu bertanggungjawab atas keputusan yang dibuat, kita akan mengakui dosa, membetulkan kesilapan kita, dan berusaha agar tidak mengulanginya lagi. Dengan berbuat demikian, kita dapat terus berlari dalam perlumbaan Kristian kita.
9 Bagaimanakah anda dapat memikul tanggungan itu? Jika nasi sudah menjadi bubur, anda tidak dapat mengubah apa yang sudah terjadi. Oleh itu, janganlah membuang masa dan tenaga untuk membela diri, menyalahkan diri, atau menyalahkan orang lain. Sebaliknya, akuilah kesilapan anda dan cubalah melakukan apa yang terdaya dalam situasi anda sekarang. Jika hati nurani anda berasa terganggu, berdoalah kepada Yehuwa untuk mengakui dosa anda dan mintalah pengampunan daripada-Nya. (Mzm. 25:11; 51:3, 4) Minta maaflah kepada orang yang telah anda sakiti, dan dapatkanlah bantuan para penatua jika perlu. (Yak. 5:14, 15) Belajarlah daripada kesilapan anda dan berusahalah agar tidak mengulanginya. Jika anda melakukan hal-hal ini, Yehuwa pasti berbelas kasihan kepada anda dan memberi anda bantuan yang diperlukan.—Mzm. 103:8-13.
w13 15/9 20 ¶15-17
Sudahkah Anda Dibaharui?
15 Baca Yesaya 64:8. Perumpamaan nabi Yesaya mengandungi pengajaran yang penting bagi kita. Yehuwa ialah Tukang Periuk dan kita seperti tanah liat. Bagaimanakah Dia membentuk kita? Sememangnya, Yehuwa tidak mengubah penampilan fizikal kita dengan menjadikan kita lebih kacak atau cantik. Yehuwa memberikan latihan rohani, bukannya latihan jasmani. Jika kita rela dibentuk, kita membenarkan-Nya untuk mengubah batin kita. Dengan ini, kita dapat melawan pengaruh dunia. Bagaimanakah perubahan sedemikian berlaku?
16 Untuk membuat tembikar yang berkualiti, tukang periuk perlu menggunakan tanah liat yang bergred tinggi. Tetapi sebelum itu, dia perlu melakukan dua perkara. Pertama, tanah liat perlu dibersihkan daripada benda asing. Kedua, kuantiti air yang sesuai perlu ditambah supaya tanah liat dapat mengekalkan rupanya selepas dibentuk.
17 Perhatikan bahawa air digunakan untuk membersihkan tanah liat dan menjadikannya mudah dibentuk. Dengan ini, tukang periuk boleh membentuk tanah liat ke dalam bentuk yang diingininya. Sebagaimana air mengubah tanah liat, begitu juga Firman Tuhan mengubah kita. Firman Tuhan membantu kita membuang cara pemikiran dunia dan membaharui kita agar menjadi tembikar yang bernilai di mata Tuhan. (Ef. 5:26) Sudah berkali-kali kita diingatkan supaya membaca Bible setiap hari dan selalu menghadiri perjumpaan untuk membincangkan Firman Tuhan. Mengapakah penting untuk berbuat demikian? Kerana dengan berbuat demikian, kita membenarkan Yehuwa membentuk kita.—Mzm. 1:2; Kis. 17:11; Ibr. 10:24, 25.
Permata Rohani
w22.11 10 ¶7
7 Semasa kita memberitahu Yehuwa masalah kita, hal pertama yang mungkin dilakukan oleh Yehuwa ialah memberi kita kekuatan supaya kita dapat bertahan. Namun, jika masalah kita tidak berakhir pada waktu yang kita harapkan, kita mungkin perlu berulang kali meminta kekuatan daripada Yehuwa. Sebenarnya Yehuwa mahu kita berbuat demikian. Yesaya berkata, ‘Teruslah berdoa kepada Yehuwa.’ (Yes. 62:7) Di Lukas 11:8-10, 13, setelah Yesus menceritakan beberapa perumpamaan tentang doa, dia menggalakkan kita untuk terus berdoa “tanpa rasa segan” dan “terus meminta” kuasa suci Tuhan. Kita juga boleh merayu kepada Yehuwa supaya Dia membimbing kita untuk membuat keputusan yang bijak.
25-31 MEI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN YESAYA 65-66
Kita Sangat Menikmati Firdaus Rohani Kita!
w24.04 21 ¶5
5 Kita berasa sihat dan disegarkan. Nubuat Yesaya menggambarkan perbezaan besar antara kehidupan di dalam dengan kehidupan di luar firdaus rohani. (Baca Yesaya 65:13.) Di dalam firdaus rohani, Yehuwa menyediakan jamuan rohani yang melimpah bagi para penyembah-Nya. Mereka dikurniai kuasa suci-Nya, Firman-Nya, dan makanan rohani supaya mereka dapat “makan, . . . minum, . . . [dan] bersukacita.” (Bandingkan Wahyu 22:17.) Mereka yang di luar firdaus rohani pula tidak dijaga secara rohani. (Amo. 8:11) Akibatnya, mereka “kelaparan . . . , kehausan . . . , [dan] dimalukan.”
w24.04 22 ¶9-10
Jangan Sekali-Kali Meninggalkan Firdaus Rohani
9 Kita berasa selesa dan tenang. Yesaya 65:14 berkata bahawa mereka yang memilih untuk terus berada di luar firdaus rohani “akan menangis kerana bersedih dan meraung-raung kerana patah semangat.” Memang benar, umat Yehuwa juga menderita akibat hal-hal buruk yang berlaku sekarang. Walaupun begitu, Yehuwa berjanji, “Penderitaan pada masa lalu akan dilupakan, dan Aku tidak akan melihat semua itu lagi.” (Baca Yesaya 65:16, 17.) Ya, apabila Yehuwa melenyapkan segala masalah kita, semua kenangan pahit itu akan dilupakan.
10 Sekarang pun, kita berasa selesa dan tenang semasa menghadiri perjumpaan, kerana pada masa itu, kita tidak perlu berfikir tentang masalah dan tekanan dalam dunia Syaitan. Kita menyumbang kepada suasana yang tenang dalam firdaus rohani dengan menunjukkan sifat-sifat dalam buah kuasa suci Tuhan, seperti kasih, sukacita, kedamaian, kebaikan hati, dan kelemahlembutan. (Gal. 5:22, 23) Kita sangat bersyukur kerana dapat menyertai organisasi Tuhan! Jika kita terus berada di dalam firdaus rohani, kita akan dapat melihat bagaimana janji Tuhan untuk mendatangkan “langit baharu dan bumi baharu” ditunaikan dengan sepenuhnya.
w24.04 23 ¶13
Jangan Sekali-Kali Meninggalkan Firdaus Rohani
13 Kita berasa damai dan selamat. Dengan adanya bantuan kuasa suci Tuhan, banyak orang yang dahulunya bersikap seperti binatang buas telah membuat perubahan yang besar dan membuang sikap-sikap buruk mereka. (Baca Yesaya 65:25; Rm. 12:2; Ef. 4:22-24.) Memang benar, umat Tuhan masih tidak sempurna dan akan berbuat silap. Namun, walaupun mereka berasal daripada pelbagai latar belakang, mereka menikmati kedamaian dan perpaduan yang sejati kerana kasih mereka terhadap Yehuwa dan satu sama lain. (Tit. 2:11) Perpaduan ini sesungguhnya mukjizat yang hanya dapat dilakukan oleh Tuhan Yang Maha Kuasa!
Permata Rohani
w24.01 27 ¶4
4 Bible kata, “Yehuwa berbelas kasihan dan mempunyai kasih yang mendalam.” (Yak. 5:11) Dalam Bible, Yehuwa menyamakan diri-Nya dengan seorang ibu yang penyayang. (Yes. 66:12, 13) Fikirkan sejenak tentang seorang ibu yang sangat mengasihi anaknya yang kecil. Dia menggendong anaknya dan bercakap dalam suara yang lembut. Apabila anaknya menangis atau sakit, dia memastikan anaknya ada apa yang diperlukan. Dalam cara yang sama, kita dapat yakin bahawa Yehuwa akan mengasihi kita apabila kita menghadapi kesusahan. Seorang pemazmur menulis, “Apabila aku dilanda kekhuatiran, Engkau menenangkan dan melegakan jiwaku.”—Mzm. 94:19.
1-7 JUN
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN YEREMIA 1-3
“Janganlah Takut . . . kerana ‘Aku Menyertaimu’”
w24.04 15 ¶3-4
3 Sejak dahulu lagi, perkhabaran daripada Tuhan telah menguatkan hamba-hamba-Nya untuk menjalankan tugas yang mencabar. Fikirkan contoh Nabi Yeremia. Semasa Yehuwa menyuruhnya menjalankan kerja penyebaran, Yeremia berasa kurang yakin dan berkata, “Aku tidak pandai berkata-kata kerana aku masih sangat muda.” (Yer. 1:6) Bagaimanakah dia mengatasi perasaan itu? Dia membiarkan firman Tuhan menguatkannya. Yeremia berkata, “Firman-Nya membara dalam hatiku, seperti api yang terkurung dalam tulang-tulangku. Aku letih kerana berusaha menahannya.” (Yer. 20:8, 9) Walaupun orang di kawasan penyebaran Yeremia jahat dan keras kepala, mesej yang harus disebarkannya telah memberinya kekuatan untuk menjalankan tugasnya.
4 Orang Kristian dapat meraih kekuatan daripada mesej dalam Firman Tuhan. Dalam suratnya kepada sidang di Kolose, Rasul Paulus berkata bahawa pengetahuan yang tepat dapat menggerakkan rakan seimannya agar hidup “selaras dengan kehendak Yehuwa” dan terus “membuahkan hasil dalam setiap kerja baik.” (Baca Kolose 1:9, 10.) Kerja baik itu termasuklah kerja menyebarkan berita baik. Jadi semasa kita membaca dan merenungkan Firman Tuhan, kita akan lebih beriman terhadap Yehuwa dan bertambah yakin bahawa kerja penyebaran amat penting.
Permata Rohani
w23.07 15 ¶4
4 Kita menolak penyembahan berhala dan hanya menyembah Yehuwa. Yehuwa memerintahkan orang Israel untuk menyembah Dia sahaja. (Ul. 5:6-10) Semasa digoda oleh Si Iblis, Yesus menyatakan dengan jelas bahawa kita mesti menyembah Yehuwa sahaja. (Mat. 4:8-10) Maka, kita tidak menyembah Tuhan dengan menggunakan patung berhala. Kita juga tidak mengagung-agungkan manusia, tidak kira sama ada mereka ialah pemimpin agama, pemimpin politik, atau bintang dalam dunia sukan dan hiburan. Kita berpihak kepada Yehuwa dan hanya menyembah Dia yang “menciptakan segala sesuatu.”—Baca Wahyu 4:11.
8-14 JUN
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN YEREMIA 4-6
Peroleh Iktibar daripada Orang Yehuda yang Sakit Secara Rohani
w13 15/3 9-10 ¶8-9
Adakah Hati Anda Memiliki Kemahuan untuk Mengenal Yehuwa?
8 Tuhan telah merayu kepada orang Yahudi untuk “menghentikan cara hidup yang berdosa, serta mengubah kelakuan dan perbuatan mereka.” (Yer. 18:11) Kelakuan mereka jahat kerana hati serta fikiran mereka jahat. (Baca Markus 7:20-23.) Melalui Yeremia, Tuhan mendedahkan punca kejahatan orang Yahudi. Hati mereka degil dan suka melawan. Niat hati dan pemikiran mereka tidak menyenangkan hati Tuhan. (Baca Yeremia 5:23, 24; 7:24-26.) Oleh itu, Tuhan memberitahu mereka, “Sunatkanlah hatimu di hadapan Yehuwa, dan singkirkan kekotoran dari hatimu.”—Yer. 4:4, NW.
9 Orang Yahudi pada zaman Yeremia tidak memiliki hati yang taat. Begitu juga dengan orang Israel pada zaman Musa. (Ul. 10:16; 30:6) Orang Yahudi perlu menyingkirkan fikiran, keinginan, atau niat yang menyebabkan mereka mengingkari perintah Tuhan.—Kis. 7:51.
jr 114 ¶2
Adakah Anda Bertanya Setiap Hari, “Di Manakah Yehuwa?”
2 Orang Yehuda suka mendengar pemimpin agama mereka berkata, “Semuanya baik-baik saja!” Mereka tidak benar-benar mempedulikan pandangan Yehuwa tentang kelakuan mereka. (Yer. 5:31; 6:14) Mereka seperti pesakit yang hanya mahu mencari doktor yang mengatakan hal-hal yang menyenangkan tetapi mengabaikan simptom-simptom penyakit mereka yang serius. Jika anda menghidap penyakit yang serius, pasti anda ingin mendapatkan bantuan doktor dan terima rawatan dengan segera. Begitu juga, orang Yahudi pada zaman Yeremia seharusnya memeriksa keadaan rohani mereka yang sebenar. Mereka sepatutnya bertanya, “Di manakah Yehuwa?”—Yer. 2:6, 8.
Permata Rohani
w22.10 20 ¶7
7 Orang yang “tidak berpengalaman” ialah orang yang naif, mempercayai sesuatu tanpa usul periksa, atau mudah ditipu. (Ams. 14:15) Kita sering berjumpa dengan orang sebegini semasa menginjil. Sebagai contoh, fikirkan jutaan orang yang disesatkan oleh pemimpin agama atau politik. Ada antara mereka yang sangat terkejut semasa mendapat tahu bahawa mereka telah ditipu. Namun orang yang disebut di Amsal 1:22 memilih untuk terus menjadi orang yang tidak berpengalaman kerana mereka menyukainya. (Yer. 5:31) Mereka suka bertindak mengikut keinginan hati dan tidak mahu mempelajari atau mematuhi ajaran Bible. Ramai daripada mereka mempunyai sikap seperti seorang wanita di Quebec, Kanada, yang berpegang kuat pada agamanya. Dia berkata kepada seorang Saksi, “Jika kami disesatkan oleh paderi, itu salah dia, bukan salah kami!” Sudah tentu kita tidak mahu meniru sikap sebegini.—Ams. 1:32; 27:12.
15-21 JUN
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN YEREMIA 7-8
Mereka Tidak Menghormati Rumah Tuhan
mwb17.03 3
Mereka Tidak Lagi Melakukan Kehendak Tuhan
• Dengan berani, Yeremia mendedahkan dosa-dosa serta kemunafikan orang Israel
• Mereka berasa bahawa dengan adanya Rumah Tuhan, Yehuwa pasti melindungi mereka
• Yehuwa menjelaskan kepada umat-Nya bahawa korban-korban yang dipersembahkan oleh mereka akan menjadi sia-sia jika mereka masih lagi berbuat dosa
Fikirkan: Bagaimanakah saya dapat memastikan bahawa ibadat saya adalah selaras dengan kehendak Yehuwa dan bukannya dilakukan secara rutin sahaja?
w15 15/9 27 ¶17
17 Pada zaman Samuel, tentera Israel kalah semasa berlawan dengan tentera Filistin. Umat Tuhan sangat memerlukan bantuan dan perlindungan. Jadi apakah yang dilakukan mereka? Mereka berkata, ‘Marilah kita membawa Tabut Perjanjian Yehuwa dari Silo, supaya Dia akan menyertai kita dan menyelamatkan kita daripada musuh.’ Hasilnya, ‘sebanyak 30,000 orang askar Israel terbunuh. Tabut Perjanjian Tuhan dirampas oleh musuh.’ (1 Sam. 4:2-4, 10, 11) Orang Israel berfikir bahawa dengan membawa Tabut Perjanjian bersama mereka, Yehuwa akan membantu dan melindungi mereka. Tetapi mereka tidak meminta bimbingan Yehuwa. Sebaliknya, mereka mengikut pandangan sendiri dan melakukan apa yang disangka betul. Akhirnya mereka menderita.—Baca Amsal 14:12.
Permata Rohani
w24.08 22 ¶7
7 Para penatua meniru kesabaran Yehuwa. Mereka akan ingat bagaimana Yehuwa bersabar terhadap pendosa pada masa lalu. Sebagai contoh, Yehuwa menasihati Kain dengan sabar. Dia memberitahu Kain apa akibatnya jika dia menyerah kepada dosa dan apa berkatnya jika dia sudi berubah. (Kej. 4:6, 7) Yehuwa juga menyuruh Nabi Natan untuk menasihati Daud, dan Natan telah memberitahu Daud sebuah cerita yang mendorongnya untuk bertaubat. (2 Sam. 12:1-7) Selain itu, Yehuwa “selalu mengutus” nabi-Nya untuk menasihati bangsa Israel yang sering memberontak, dan Dia berbuat demikian “tanpa henti.” (Yer. 7:24, 25) Perhatikan bahawa Yehuwa menghulurkan bantuan bahkan sebelum umat-Nya bertaubat. Dia mengambil inisiatif untuk menggesa mereka agar bertaubat.
hdu 30
Bagaimana Sumbangan Anda Digunakan—Kerja Penyelenggaraan Dewan Perjumpaan
1 APRIL 2024
“Saya sangat suka Dewan Perjumpaan saya!” kata Nicole, seorang saudari muda di Colombia. “Di sinilah saya boleh kumpul bersama-sama keluarga rohani saya.” Adakah anda juga ada perasaan yang sama seperti Nicole?
Di serata dunia, terdapat kira-kira 63,000 Dewan Perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Selain digunakan sebagai tempat ibadat, Dewan Perjumpaan juga memainkan satu lagi peranan yang penting. David, seorang perintis biasa di Colombia, berkata, “Dewan Perjumpaan kita menghiasi ajaran kita. Para pelawat sering kagum kerana tempat ibadat kita dijaga dengan baik sekali.” Sudah pasti ini merupakan hasil usaha saudara saudari yang bekerja keras untuk membersihkan dan menyelenggarakan Dewan Perjumpaan. Bagaimanakah kerja ini diaturkan?
Bagaimanakah Kerja Penyelenggaraan Diaturkan?
Sidang-sidang yang menggunakan sebuah Dewan Perjumpaan bertanggungjawab untuk menyelenggarakannya. Salah satu cara untuk menjaga bangunan ibadat kita adalah dengan melakukan kerja pembersihan secara tetap. Saudara saudari juga membuat sesetengah kerja pembaikan dan penyelenggaraan.
Untuk membantu sidang tempatan menjaga Dewan Perjumpaan mereka, Bahagian Rekaan dan Pembinaan Tempatan (LDC) melantik beberapa saudara sebagai pelatih penyelenggaraan. Setiap pelatih penyelenggaraan menyelia 6-10 Dewan Perjumpaan. Dia mengunjungi Dewan Perjumpaan itu dan melatih para penyiar dalam sidang untuk menjaga dewan mereka. Setiap tiga tahun, pelatih tersebut akan menilai keadaan bangunan dan mengenal pasti isu-isu berkenaan keselamatan atau penyelenggaraan.
Para penyiar amat menghargai latihan penyelenggaraan yang diberikan. Saudari Indhumathi dari India berkata, “Sesi latihan itu sangat baik. Saya belajar banyak tentang cara menjaga dewan kami.” Evans, seorang saudara dari Kenya, berkata, “Oleh sebab kami mengurus masalah yang kecil sebelum menjadi lebih serius, ini membantu kami menjimatkan banyak wang untuk membaikinya.”
Bagaimanakah Perbelanjaan untuk Kerja Penyelenggaraan Dibiayai?
Setiap tahun, jumlah wang untuk menggunakan dan menyelenggarakan Dewan Perjumpaan adalah sekitar ratusan hingga ribuan dolar,abergantung pada lokasi dewan, usia bangunan, dan jumlah sidang yang menggunakan tempat itu. Bagaimanakah perbelanjaan itu dibiayai?
Kerja penyelenggaraan Dewan Perjumpaan dibiayai melalui sumbangan sukarela. Seorang saudara di Kazakhstan yang bernama Alexander menjelaskan, “Sebahagian daripada wang sumbangan digunakan untuk membayar bil Internet, air, dan elektrik. Sebahagian lagi adalah untuk barang keperluan seperti kertas tisu, sarung tangan, alat pembersihan, dan cat.” Lebihan wang sumbangan akan disalurkan kepada kerja sedunia untuk digunakan dalam projek penyelenggaraan yang lebih besar atau mahal di tempat lain.
Projek Penyelenggaraan yang Lebih Besar
Jika kos penyelenggaraan Dewan Perjumpaan melebihi jumlah perbelanjaan untuk pengendalian Dewan Perjumpaan selama dua atau tiga bulan, para penatua harus berbincang dengan pelatih penyelenggaraan LDC. Jika projek itu diluluskan oleh LDC, perbelanjaan tersebut biasanya akan ditanggung oleh wang sumbangan kerja sedunia. Pada tahun aktiviti penyebaran 2023, terdapat 8,793 projek sedemikian yang telah dijalankan. Jumlah perbelanjaan bagi semua projek itu ialah $76.6 juta. Perhatikan dua contoh projek yang berikut.
Di Angola, sebuah Dewan Perjumpaan yang sudah digunakan untuk 15 tahun mempunyai beberapa masalah. Sistem elektriknya perlu digantikan, dindingnya retak, dan terdapat masalah kebocoran air yang telah menjejaskan rumah-rumah jiran. Maka, LDC telah membuat aturan untuk menyelesaikan isu-isu tersebut. Sejumlah $9,285 telah digunakan untuk projek tersebut. Jiran-jiran sangat berterima kasih dan kagum dengan kualiti serta cara kerja pembaikan dilakukan.
Di Poland, sebuah Dewan Perjumpaan mengalami beberapa kerosakan. Bumbung bangunan itu bocor dan karpet dalam dewan rosak teruk. LDC telah meluluskan projek untuk menggantikan karpet dan membaiki bumbung supaya kalis air. Seluruh projek itu telah memakan sebanyak $9,757. Oleh sebab kerja penyelenggaraan ini telah dibuat, kerja pengubahsuaian yang besar tidak perlu dibuat untuk Dewan Perjumpaan ini dalam tahun-tahun terdekat.
Kerja Penyelenggaraan Memuliakan Yehuwa
Kerja penyelenggaraan bukan hanya dapat membantu organisasi kita menggunakan wang sumbangan dengan cermat, tetapi juga memuliakan Yehuwa. Saudara Shaun di Tonga berkata, “Kerja penyelenggaraan membolehkan saudara saudari menyembah Yehuwa di tempat yang bersih, teratur, dan yang dijaga dengan baik. Dewan Perjumpaan mengharumkan nama Yehuwa dalam kalangan masyarakat setempat. Kami sangat berbesar hati dapat menjemput orang untuk datang ke Dewan Perjumpaan.”
Bagaimanakah Anda Dapat Menghulurkan Bantuan?
Kita semua dapat membantu dalam kerja pembersihan dan penyelenggaraan Dewan Perjumpaan. Saudara Marino, yang berkhidmat sebagai pelatih penyelenggaraan di Australia, kata, “Kita semua boleh mengambil bahagian untuk menjaga Dewan Perjumpaan kita. Sokongan kita dapat membantu menjimatkan wang sumbangan supaya wang itu dapat disalurkan untuk kerja-kerja yang lebih mendesak.”
Saudara Joel dari India meluahkan penghargaannya atas peluang untuk melakukan kerja penyelenggaraan di Dewan Perjumpaannya. Dia kata, “Apabila saya berganding bahu bersama rakan seiman saya untuk membuat kerja ini, ini bantu saya membayangkan kerja-kerja yang akan kita lakukan di dunia baharu.” Nicole, yang disebut di awal rencana, berkata, “Baru-baru ini, saya bantu mop lantai semasa saudara-saudara membaiki kebocoran di bilik air. Walaupun bukan saya yang membaiki kerosakan itu, kerja yang saya lakukan telah bantu menghindari kemalangan.”
Jika anda ingin membantu dalam kerja penyelenggaraan Dewan Perjumpaan anda, maklumkanlah para penatua sidang anda. Selain itu, wang sumbangan yang diberikan bukan hanya membantu menyelenggara Dewan Perjumpaan sidang anda, tetapi juga Dewan Perjumpaan lain di seluruh dunia. Sumbangan ini dapat dibuat menerusi peti sumbangan di Dewan Perjumpaan tempatan atau melalui donate.jw.org. Terima kasih atas kemurahan hati anda.
22-28 JUN
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN YEREMIA 9-10
Apakah yang Anda Banggakan?
w23.09 10 ¶8
8 Dengan adanya media sosial, kita dapat berkomunikasi dengan keluarga dan sahabat kita. Namun, banyak orang menggunakan media sosial untuk menunjuk-nunjuk. Mereka suka memaparkan foto atau video tentang apa yang mereka beli atau buat. Jika anda menggunakan media sosial, tanyalah diri, “Adakah saya menggunakan media sosial untuk membanggakan diri? Adakah saya ingin menguatkan orang lain atau minta dipuji? Adakah fikiran, tutur kata, atau kelakuan saya, menjadi buruk kerana dipengaruhi pengguna media sosial yang lain?” Saudara Nathan Knorr, seorang ahli Badan Pimpinan, memberikan nasihat ini: “Janganlah cuba menggembirakan manusia, kerana akhirnya kamu tidak akan menggembirakan sesiapa pun. Gembirakanlah hati Yehuwa, dan semua orang yang mengasihi-Nya pun akan gembira.”
w25.05 30 ¶14
Seberapa Pentingkah Nama Yehuwa bagi Kita?
14 Kita bangga dengan nama Yehuwa. (Baca Mazmur 105:3.) Yehuwa sangat gembira apabila kita berbangga kerana nama-Nya. (Yer. 9:23, 24; 1 Kor. 1:31; 2 Kor. 10:17) “Berbangga kerana Yehuwa” bermaksud kita berbesar hati untuk memuliakan dan mengharumkan nama Yehuwa. Oleh itu, kita sama sekali tidak akan berasa malu untuk memberitahu rakan sekerja, rakan sekolah, jiran, dan orang lain bahawa kita ialah Saksi-Saksi Yehuwa. Syaitan tidak mahu kita memberitahu orang lain tentang nama Yehuwa. (Yer. 11:21; Why. 12:17) Sebenarnya dia dan konco-konconya mahu semua orang melupakan nama Yehuwa! (Yer. 23:26, 27) Namun, memandangkan kita mencintai nama Yehuwa, kita mahu memujinya “sepanjang hari.”—Mzm. 5:11; 89:16.
w25.09 23 ¶12
12 Dari awal lagi, matlamat anda adalah untuk bantu pelajar Bible mengenali dan mengasihi Yehuwa dan Yesus. Maka, halakanlah perhatiannya kepada Firman Tuhan, dan bukannya kepada diri anda dan pengetahuan Bible anda. (Kis. 10:25, 26) Yehuwa mengutus Yesus untuk bantu kita mengenali dan mengasihi-Nya. Itulah sebabnya Paulus sering bertumpu kepada ajaran Yesus. (1 Kor. 2:1, 2) Paulus juga menjelaskan bahawa adalah penting untuk bantu murid baharu memupuk sifat-sifat baik, yang diibaratkan sebagai emas, perak, dan batu-batu berharga. (1 Kor. 3:11-15) Sifat-sifat Kristian merangkumi iman, kebijaksanaan, daya penilaian, dan rasa takut akan Yehuwa. (Mzm. 19:9, 10; Ams. 3:13-15; 1 Ptr. 1:7) Jadi, tirulah cara Paulus mengajar dengan membantu pelajar anda membina iman dan hubungan yang erat dengan Yehuwa.—2 Kor. 1:24.
29 JUN–5 JULAI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN YEREMIA 11-12
Bagaimana Kita Dapat “Berlumba dengan Kuda”
w11 15/3 32 ¶19
Berjaga-Jaga seperti Yeremia
19 Sekarang bukanlah masanya untuk menjadi leka dalam aktiviti rohani. Ingatlah kata-kata di Yeremia 12:5. (Baca.) Cabaran yang kita hadapi sekarang umpama perlumbaan “dengan manusia.” Tapi seraya “kesengsaraan besar” mendekat, kita juga akan menghadapi cabaran yang lebih susah. (Mat. 24:21) Pergelutan itu dapat disamakan seperti “berlumba dengan kuda.” Kita perlukan kekuatan dan ketabahan berkali ganda untuk berlari dengan kuda. Jika kita pupuk ketabahan semasa menghadapi cabaran sekarang, kita akan lebih bersedia untuk menempuh masa-masa susah yang bakal tiba.
w23.07 6-7 ¶15-16
Sudahkah Anda Bersedia Menghadapi Kesengsaraan Besar?
15 Sidang kita biasanya mempunyai saudara saudari daripada pelbagai latar belakang dan yang mempunyai keperibadian yang berbeza-beza. Kita dapat menguatkan kasih kita terhadap mereka semua jika kita bertumpu kepada sifat-sifat baik mereka. Seorang saudari di New Zealand yang bernama Vanessa pernah berasa susah untuk bersahabat dengan sesetengah orang di sidangnya. Namun, daripada mengelakkan orang yang tidak disukainya, dia memutuskan untuk meluangkan lebih banyak masa bersama mereka. Hasilnya, dia dapat memahami mengapa Yehuwa mengasihi mereka. Vanessa berkata, “Selepas suami saya menjadi penyelia litar, kami bergaul dengan lebih banyak saudara saudari yang beraneka ragam, dan saya berasa lebih senang untuk bersahabat dengan mereka. Saya bersyukur kerana organisasi kita terdiri daripada orang yang berbeza-beza. Yehuwa tentu menyukai kepelbagaian ini, kerana Dialah yang memimpin kita semua ke dalam organisasi-Nya.” Apabila kita memupuk pandangan Yehuwa terhadap orang lain, kita menunjukkan bahawa kita mengasihi mereka.—2 Kor. 8:24.
16 Kasih sangat penting semasa kesengsaraan besar. Semasa kesengsaraan besar bermula, di manakah kita dapat mencari perlindungan? Perhatikan arahan Yehuwa kepada umat-Nya semasa kota Babilon kuno diserang: “Hai umat-Ku, masuklah ke dalam bilik yang selamat dan tutuplah pintu. Bersembunyilah seketika sehingga kemurkaan-Ku berlalu.” (Yes. 26:20) Nampaknya, kita perlu mematuhi arahan yang sama semasa kesengsaraan besar. “Bilik yang selamat” itu mungkin merujuk kepada sidang kita. Semasa kesengsaraan besar, kita akan dilindungi Yehuwa jika kita tetap bersatu dengan saudara saudari kita. Oleh itu, kita mahu berusaha keras sekarang, bukan sahaja untuk bersabar dengan saudara saudari kita, tetapi juga untuk mengasihi mereka secara mendalam. Hal ini melibatkan hidup mati kita!
Permata Rohani
w25.10 21 ¶15
15 Baca Yeremia 12:1. Apabila Yeremia melihat orang jahat hidup makmur, dia berasa tawar hati. Dia juga berasa sedih apabila orang sebangsanya melayannya dengan buruk. (Yer. 20:7, 8) Seperti Yeremia, kita juga mungkin berasa tawar hati apabila melihat orang yang jahat hidup bahagia atau apabila kita sendiri dilayan dengan buruk. Walaupun Yeremia meluahkan rasa geram dan rasa marahnya kepada Yehuwa, dia tidak mempersoalkan keadilan Tuhan. Selepas Yeremia melihat Yehuwa mendisiplinkan umat-Nya yang memberontak, dia lebih yakin terhadap keadilan Tuhan. (Yer. 32:19) Begitu juga, kita boleh meluahkan perasaan marah dan geram kita dalam doa. Namun, kita mahu tetap yakin bahawa Yehuwa akan bertindak untuk membetulkan ketidakadilan yang kita hadapi pada masa yang ditetapkan-Nya.
a Nilai dolar dalam rencana ini merujuk kepada dolar Amerika.